HALAMAN SANTAI

Jumaat, 25 Jun 2010

Judi sukan: Ikram gesa kerajaan timbang konteks agama


KUALA LUMPUR — Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), gabungan terbaru badan bukan kerajaan Islam dilancarkan Ahad lalu, menggesa kerajaan mengkaji semula langkah mahu meluluskan lesen judi sukan dalam konteks agama.

Setiausaha Agungnya Zaid Kamaruddin berkata, keputusan untuk meluluskan lesen judi sukan sepatutnya perlu berpandukan kepada agama bukan pandangan pihak yang berkepentingan.

“Kerajaan perlu menilai keputusan itu dalam konteks agama kerana ia lebih penting daripada individu-invidu yang berkepentingan.

“Ini kerana pada pandangan saya sekiranya kerajaan menilainya dari konteks agama maka pemimpin-pemimpin akan sedar bahawa semua agama secara jelas menentang judi.

“Jadi adakah langkah kerajaan untuk meluluskan lesen judi sukan itu terlebih dahulu merujuk kepada agama?” kata Zaid (gambar) kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata jika kerajaan mengambil langkah untuk meluluskan lesen judi sukan kerana menganggap orang bukan Islam gemar berjudi ia seolah-olah tidak menghormati agama lain di negara ini.

“Kerajaan perlu fikir adakah langkah untuk meluluskan judi sukan ini diterima oleh agama lain, jika tidak mengapa perlu untuk meluluskannya?

“Tindakan kerajaan ini seolah-olah tidak menghormati agama-agama lain. Ini kerana semua agama termasuk Islam, Buddha, Hindu dan Kristian menentang judi.

“Jadi mengapa kerajaan tidak menerima kehendak rakyat supaya tidak meluluskan lesen judi sukan ini?

“Sepatutnya kerajaan perlu memikirkan tentang hak rakyat bukan menafikannya,” katanya.

Ikram adalah sebuah pertubuhan yang komprehensif bertujuan untuk menegakkan Islam di Malaysia melalui kegiatan dakwah seperti dakwah kepada orang bukan Islam, pendidikan, wanita, belia, kebajikan, bantuan kemanusian, hak asasi manusia dan tadbir urus.

Ikram ditubuhkan hasil gabungan lima NGO yang selama ini bergerak berdasarkan pengkhususan masing-masing iaitu Medical Interest Group Sdn Bhd, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Pendidikan SRI-SMI Berhad, Persatuan Islam Lepasan Institusi Pengajian Tinggi Australasia dan Aqsa Syarif Berhad.

Difahamkan Ikram mempunyai 69 cawangan daerah, 14 cawangan negeri yang melibatkan seramai 3,500 keahlian.

Ikram juga akan bergerak sebagai organisasi massa dan memilih pendekatan aman dalam mencapai matlamat dengan memberi keutamaan kepada pendekatan mendidik dan yakin perubahan masyarakat bermula dengan perubahan diri dari sudut ilmu, kepercayaan dan akhlak.

Zaid yang juga Presiden JIM berkata, kerajaan perlu ada pendirian moral dalam isu judi sukan ini bagi menentukan perkara baik dan buruk.

“Ini kerana kerajaan perlu bertanggungjawab dalam setiap keputusan yang dibuat. Jangan kerana seorang yang mahukan lesen judi sukan itu rakyat terima tempiasnya.

“Adakah keputusan yang akan dibuat itu akan diterima rakyat? Semua ini adalah tanggungjawab kerajaan untuk menentukannya,” katanya.

Menurutnya, memang diakui bahawa memang sukar untuk menghapuskan judi secara drastik, tetapi kerajaan perlu mempunyai pelan jangka panjang untuk menanganinya bukan menggalakkan dengan meluluskan lesen judi sukan.

“Apa yang penting adalah pelan jangka masa panjang iaitu bagaimana kerajaan mahu menangani isu judi ini. Mungkin melalui pendidikan atau cara lain.

“Bagi saya jalan terbaik adalah memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kesan judi iaitu mengubah fikiran mereka dari pemikiran sekunder kepada agama.

“Itu yang paling baik jika mahu menangani isu judi ini,” katanya.

Tiada ulasan: