HALAMAN SANTAI

Selasa, 8 Jun 2010

Kerajaan timbang pilihan lain jika skim gaji minimum kurang sesuai

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Kerajaan sedia menimbangkan pilihan lain jika cadangan mewujudkan skim gaji minimum nasional kurang sesuai, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata tujuan utama kerajaan ialah bagi memastikan struktur gaji yang berpatutan atau munasabah untuk pekerja rakyat Malaysia.

“Saya bersetuju bahawa gaji (yang dibayar kepada pekerja rakyat Malaysia)adalah rendah. Sama ada ia merupakan skim gaji minimum atau model lain, kami sedang mengusahakan satu struktur gaji yang berpatutan,” katanya ketika ditanya tindakan kerajaan dalam menangani isu gaji rendah di kalangan pekerja tempatan.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan temasya sukan pengurusan anjuran Institut Pengurusan Malaysia di sini, Subramaniam berkata kementerian itu masih menimbangkan cadangan skim gaji minimum nasional.

Beliau berkata maklum balas daripada pihak berkaitan termasuk kesatuan sekerja dan persekutuan majikan serta orang ramai masih dijalankan, terutama menerusi blog kementerian itu.

Subramaniam berkata kerajaan juga akan menggunapakai kaedah lain termasuk melatih semula hampir 65 peratus tenaga kerja tempatan yang hanya memiliki kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia.

“Kita akan meningkatkan kemahiran mereka menerusi latihan supaya gaji mereka dapat dinaikkan selaras dengan peningkatan produktiviti,” katanya.

Beliau berkata mengikut standard antarabangsa, Malaysia hampir mencapai kadar guna tenaga penuh berdasarkan jumlah pengangguran yang kini antara 3.4 dan 3.5 peratus, atau kira-kira 350,000 hingga 400,000 orang.

Mengenai kenaikan gaji pengawal keselamatan, beliau berkata tiada perubahan dalam keputusan kerajaan untuk menaikkan gaji mereka lebih 70 peratus.

Bagaimanapun, kementerian masih mengkaji cadangan pelbagai kesatuan mewakili pengawal keselamatan yang memohon supaya tarikh pelaksanaan struktur gaji baru itu ditangguh.

Pada 22 April lepas, Subramaniam mengumumkan struktur gaji baru bagi pengawal keselamatan akan dilaksanakan pada 1 Julai ini.

12 ulasan:

jack berkata...

gaji bagi golongan pekerja swasta adalah lebih rendah daripada pekerja sektor awam...diharap kerajaan boleh memberikan satu garis skala gaji mininum untuk pekerja sektor bukan kerajaan bagi membantu meningkatkan taraf sosioekonomi mereka sesuai dengan masyarakat malaysia berpendapatan tinggi..kos hidup yang semakin tinggi dengan pendapatan yang kecil menyukarkan mereka..moga2 ada pilihan lain yang sesuai untuk meningkatkan taraf pendapatan golongan ini...

tombolo berkata...

saya berpendapat gaji minimum perlu dilaksanakan di Malaysia, ini masih ramai lagi pekerja tempatan yang menerima kadar gaji yang amat rendah sehingga RM200 sebulan, nilai ini adalah terlalu sedikit untuk menampung hidup sedangkan kos hidup semakin bertambah. saya berharap gaji minimum dapat dilaksanakan. jika tidak pun, diharap pilihan lain yang dicadangkan dapat membantu para pekerja dalam menampung kehidupan mereka.

Tanpa Nama berkata...

tidak perlu adanya pilihan lain kerana matlamatnya adalah sama. skim gaji minimum masih belum dilaksanakan, oleh itu sukar untuk menilai keberkesanannya.

Tanpa Nama berkata...

sekiranya tiada bantahan dan pilihan lain, kerajaan perlu teruskan dan kuatkuasakan skim ini secepat yang mungkin. tidak perlu menunggu pilihan lain kerana apa2 kelemahan dalam skim ini boleh diperbaiki dan diselaraskan mengikut keadaan semasa.

khalid berkata...

sewajarnya gaji mimimum perlu dikaji dan cadangan yang pernah dikemukakan oleh QUEPECS ialah sebanyak RM1200/bulan. Namun saya agak isu ini sengaja dilewat-lewatkan kerana sehingga sekarang tiada kata putus terhadap perkara berkenaan.

Tanpa Nama berkata...

gaji min rm1200 untuk tanggagaji Diploma? apa yang memeranjatkan saya, gaji diploma kerajaan adalah basic 1200 dan ada elaun-elaun lain seperti rumah, wilayah dll yang seseorang boleh dapat about 1500-1600 sebulan. saya agak disebabkan oleh kegawatan ekonomi maka..isu ini sengaja dilambat-lambatkan kerana sehingga sekarang tiada sebarang keputusan

Tanpa Nama berkata...

hhmm, hal ni pasti akan bagi harapan kepada para pekerja terutamanya k/tgn swasta. Harap2 hal ni dapat dilaksanakan seadanya demi kebaikan semua pihak.

Tanpa Nama berkata...

Setuju urangulama. Gaji minimum perlu dilaksanakan kalaupun tak dapat disamaratakan sekurang-kurangnya gaji minimu haruslah ditetapkan mengikut keuntugang yang diperolehi oleh majikan - barulah adil kan :)

Tanpa Nama berkata...

Saya harap kerajaan akan laksanakan skim gaji minimum ni secepat mungkin. Jangan biarkan para pekerja (terutamanya yg bergaji rendah) menganggap kerajaan tidak serius akan hal ni.

Tanpa Nama berkata...

skim gaji minimum perlu dilaksanakan di Malaysia, sehingga ini gaji minimum belum lagi dilaksanakan di Malaysia. walaupun kerajaan sekarang telah memperkenalkan PLWS (productivity linked wage system), namun ia belum belum dapat lagi meningkatkan pendapatan pekerja.

somboi berkata...

PLWS ni memang antara skim lain yang diperkenalkan untuk menggantikan sistem upah minimum di malaysia. dalam PLWS pemberian upah pekerja adalah berdasarkan kepada usaha dan produktiviti pekerja. bererti pekerja perlu bekerja kuat untuk mendapat gaji yang tinggi. baaimanapu harap skim upah minimum tatap akan dilaksanakan.

polemic berkata...

harapan daripada majikan, jika gaji minimum akan dilaksanankan oleh kerajaan, diharap agar pekerja2 dapat melakukan pekerjaan mereka dgn lebih effisen & bersemangat...