HALAMAN SANTAI

Selasa, 8 Jun 2010

Sentral: Gerai gajah putih

GERAI Paya Jaras Permai rosak selepas terbiar tanpa penyelenggaraan sejak sekian lama.

Oleh Nor Hatina Shuib

Premis terbiar 2 tahun di Paya Jaras Permai gagal jana ekonomi penduduk

SUNGAI BULOH: Deretan 10 gerai yang terbiar hampir dua tahun di Paya Jaras Permai di sini, boleh diibaratkan sebagai projek gajah putih apabila kemudahan itu tidak dimanfaatkan sebaik mungkin dalam meningkatkan ekonomi penduduk.

Tinjauan Sentral mendapati deretan gerai yang masih elok terbiar begitu saja, manakala beberapa peralatan gerai sudah menjadi habuan pihak tidak bertanggungjawab.
Wayar elektrik, perkakasan gerai dan kotak fius juga dilihat sama ada rosak atau lesap.

Sentral difahamkan, deretan kedai itu dibangunkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) namun sehingga kini ia masih tidak disewakan atau mempunyai penyewa sehingga menjadi tanda tanya penduduk sekitar.

Penduduk, Zaini Din, 44, berkata sebagai penduduk di Paya Jaras beliau terkilan melihat projek pembangunan gerai itu terbiar tanpa dibangunkan bagi tujuan perniagaan.

Katanya, amat kerugian apabila projek pembangunan gerai yang membabitkan kos yang tinggi itu tidak diselenggara atau dijadikan pusat perniagaan makanan.

Saya sering lalu-lalang di sini. Projek ini sudah disiapkan sejak tahun lalu lagi tetapi sehingga kini tidak ada sebarang aktiviti perniagaan dijalankan. Saya sendiri tidak tahu status gerai ini sama ada akan dibangunkan dalam masa terdekat atau terus terbiar begitu saja, katanya.

Sebagai penduduk, beliau mencadangkan gerai itu dibangunkan semula supaya dapat menjadi pusat riadah dan destinasi pilihan untuk mendapatkan pelbagai juadah makanan.

Katanya, beliau bimbang jika gerai itu terbiar begitu saja, ia mungkin mengundang kepada aktiviti tidak bermoral di situ.

Setahu saya, kawasan itu kini menjadi tumpuan individu tidak bertanggungjawab mencuri wayar elektrik dan beberapa barangan berharga lain. Ini sangat mengecewakan.

Saya bimbang selepas ini kawasan gerai cuba dijadikan tempat melepak atau menjalankan aktiviti jenayah kerana pada waktu malam suasana di situ sunyi, katanya.

Seorang lagi penduduk, Zakiah Abdullah, 37, berkata suasana gelap di deretan kedai itu pada waktu malam membimbangkan beliau yang tinggal di kawasan berhampiran.

Saya akan melalui jalan berhampiran gerai terbiar itu setiap kali berjalan pulang daripada kerja. Saya bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku sepanjang perjalanan pulang ke rumah kerana keadaan gelap.

Keadaan kawasan gerai yang tidak dipasang lampu pada waktu malam mungkin menarik perhatian penjenayah untuk melakukan aktiviti seperti ragut. Saya minta deretan gerai itu dibangunkan, katanya.

Zakiah berkata, infrastruktur seperti jalan tar, gerai yang cantik dan selesa dan tandas awam sudah siap dibina serta diharapkan projek itu diteruskan secepat mungkin.

Hanya yang menjadi tanda tanya kami sebagai penduduk, di mana penyewa gerai itu dan kenapa ia tidak beroperasi seperti sepatutnya, katanya.

Tiada ulasan: