PETALING JAYA - Pemberian subsidi semasa dijangka tidak mampu bertahan lama kerana negara mungkin terpaksa mengimport gas dan dijualnya mengikut harga pasaran pada suatu hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd. (TNB), Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, pengguna kini menikmati tenaga elektrik separuh daripada apa yang sepatutnya dibayar ketika harga gas di pasaran semakin naik.
"Sebagai contoh, kalau Petronas membeli gas pada harga pasaran RM100, takkan dia nak jual pada pemain industri pada harga RM50, jadi sebagai pengguna kita terpaksa membiasakan diri dengan membayar harga tanpa subsidi.
"Kita perlu bersedia untuk membayar lebih daripada apa yang dinikmati ketika ini kerana Petronas tidak akan selama-lamanya menanggung beban dengan membayar separuh daripada harga pasaran untuk menjual gas kepada TNB dan industri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan 'Mini Tower Wagon' kepada Pusat Pengurusan Bekalan TNB Petaling Jaya di sini, hari ini.
Mini Tower Wagon yang berharga RM240,000 sebuah akan digunakan bagi kerja-kerja senggaraan dan pembaikan tiang-tiang sesalur atas bervoltan rendah.
Menggunakan teknologi Korea, Mini Tower Wagon akan digunakan bagi tempoh percubaan selama tiga bulan sebelum TNB membuat keputusan membeli 100 buah kenderaan yang sama bagi kegunaan pusat pengurusan bekalan di seluruh negara.
Che Khalib menambah, pengguna tenaga elektrik harus menerima kenyataan bahawa mereka tidak selamanya akan menikmati subsidi tenaga elektrik kerana tanggungan kerajaan ketika ini amat tinggi.
Beliau berkata, mengurangkan subsidi gas dan menaikkan tarif elektrik merupakan antara cadangan yang diusulkan oleh TNB untuk memantapkan ekonomi negara.
Bagaimanapun, langkah itu dijangka tidak memberi kesan kepada kebanyakan isi rumah kerana ia hanya akan melibatkan mereka yang menggunakan tenaga elektrik lebih daripada 200 kiloWatt (kWh).
Sehubungan itu, beliau meminta agar orang ramai berhenti berdebat tentang pengurangan subsidi tetapi membincangkan bagaimana caranya untuk mengurangkan subsidi secara berperingkat-peringkat.
Che Khalib menyarankan mereka membahaskan mengenai berapa jumlah yang akan dinaikkan atau bila subsidi boleh dihapuskan secara beransur-ansur, seperti sama ada dalam tempoh lima atau sepuluh tahun, katanya.
"Keputusan-keputusan ini boleh diperbahaskan, tetapi untuk menyatakan bahawa subsidi akan berterusan saya merasakan ia tidak berlaku,'' katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan