| Mohd Sabri Said |
| KEPALA BATAS : Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman mencadangkan kepada semua Jawatankuasa Bertindak Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Muda, Seberang Perai yang masih tidak selesai meniru langkah Orang Asli mengadakan demonstrasi aman dan menyerahkan memorandum kepada menteri di Putrajaya atau Parlimen. Jelasnya, demonstrasi aman tidak menyalahi perundangan dan dibolehkan kerana itulah cara rakyat meluahkan perasaan tidak berpuas hati setelah perundingan, pertemuan dan menyerahkan memorandum menemui jalan buntu. Tambahan lagi, katanya sewaktu mengadakan dialog dengan jabatan seperti Pejabat Daerah, Jabatan Parit dan Saliran (JPS) tidak dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) serta Ahli Parlimen sedangkan kawasan berkenaan adalah kawasan yang diwakili mereka. "Itulah cara yang paling berkesan kerana masyarakat Orang Asli berjaya mengadakanya. Kita pun patut tiru kerana setelah adakan demonstrasi menteri terus berikan tuntutan dengan jumlah yang besar," katanya. Menurutnya, beliau bukan menggalakannya tapi itulah hakikatnya jika apa yang diperjuangkan tidak ke mana kerana menteri, Adun atau Ahli Parlimen tidak bertindak sama. Apabila di Parlimen, katanya jawatankuasa bertindak boleh bertemu terus dengan menteri atau Ahli Parlimen Kepala Batas, Tun Abdullah Ahmad Badawi supaya beliau sendiri dapat merasakan ada desakan yang selama ini mungkin disembunyikan oleh orang bawahannya. "Saya rasa bila Pak Lah dapat tahu dan mahukan imejnya sebagai mantan Perdana Menteri tidak jatuh merudum, beliau pasti arahkan ia diselesaikan segera," katanya. RTB Sungai Muda melibatkan beberapa buah kampung di bawah pengendalian Jawatankuasa Kemajuan dan Komoniti (JKKK) Guar Kepah dan Pinang Tunggal masih bermasalah ekoran janji pihak berkenaan tidak ditepati sama ada dari segi penempatan kekal, rumah transit serta bayaran pampasan yang masih tertunggak. Kebimbangan masyarakat di situ ialah mahu ke mana selepas ini sama ada ditempatkan di rumah transit, penempatan kekal atau terpaksa mencari tempat lain termasuk menyewa sehingga selesai projek RTB. Pengerusi Badan Bertindak Guar Kepah, Yaacob Saad mempersoalkan kenapa apa yang dijanjikan sebelum projek bermula tidak ditunaikan atau mungkin ada unsur penipuan. Pengerusi JKKK Pinang Tunggal, Mohd Akhir Che Mat dalam ucapan ringkasnya pula menempelak sikap Adun Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin yang cuba mengucarkacirkan perpaduan masyarakat yang mahukan kata sepakat. "Bila dia (Adun) masuk campur masyarakat dah jadi tidak satu hati. Ada yang mahu ikut kita sebagai JKKK yang sering buat pertemuan dengan RTB, pejabat daerah atau JPS untuk dapatkan kepastian kedudukan sebenar dan ada pula yang nak ikut Adun kononnya mahu selesaikan masalah dengan sistematik padahal ketika isu ini membuak-buak Adun tidak tunjuk muka langsung," ujarnya. |
HALAMAN SANTAI
Jumaat, 4 Jun 2010
Tiru macam Orang Asli demo di Putrajaya
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan