MUAR – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan institusi pengajian tinggi (IPT) memperketatkan saringan pengambilanvpara pensyarah bagi membendung pergerakan militan di institusi masing-masing.
Beliau berkata langkah itu wajar dilakukan agar tidak ada pensyarah yang terpengaruh dengan kegiatan militan merekrut anggota di kalangan kakitangan dan penuntut IPT awam atau swasta berkenaan.
“Saringan yang lebih ketat wajar dilakukan supaya kegiatan seperti itu tidak berkembang dan memberi kesan kepada keselamatan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar di sini.
Selasa lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilaporkan berkata kini wujud cubaan untuk menghidupkan semula gerakan JI denganvmerekrut pelajar institut pengajian tinggi.
Beberapa hari sebelumnya Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dilaporkan berkata kumpulan JI warga asing dikesan aktif menghidupkan JI dengan cuba merekrut golongan remaja termasuk pelajar institusi pengajian tinggi.
Muhyiddin menyifatkan perkembangan terbaru yang didedahkan polis itu sebagai sesuatu yang membimbangkan, dan beliau sterusnya meminta pihak polis supaya mengambil tindakan tegas dalam menanganinya.
Katanya beliau berharap semua IPT bekerjasama dengan pihak polis untuk membendung pergerakan itu daripada terus menular.
Beliau berkata semua Naib Canselor IPT diminta mengadakan perbincangan dengan Ketua Polis Negara (KPN) untuk mendapatkan perkembangan serta maklumatvterkini mengenai perkara itu.
Dalam pada itu, Kementerian Dalam Negeri memberi jaminan bahawa keselamatan negara adalah terkawal dan pasukan keselamatan sentiasa memantau setiap ancaman daripada kumpulan-kumpulan pengganas.
Hishammuddin berkata polis dan pasukan khas keganasannya menjalin hubungan antarabangsa dengan Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI), badan risikan Australia dan negara Timur Tengah dalam usaha pemantauannya.
“Saya hendak memberi jaminan bahawa keadaan keselamatan negara kita adalah selamat dan kedudukan keselamatan adalah terkawal. Kita memantau (ancamanvkeganasan) setiap hari, 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun untuk memastikan negara kita selamat,” katanya di Kluang.
Hishammuddin yang juga Ketua Umno Bahagian Semberong mengulas tentang ancaman pengganas yang mahu menyerang beberapa rumah ibadat di Selangor dan Pulau Pinang sebagaimana yang didedahkan oleh media baru-baru ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan