SHAH ALAM: Pejabat editorial Parti Keadilan Rakyat, Suara Keadilan diserbu dengan kehadiran hampir 200 orang yang didakwa sebagai generasi kedua peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), berarak bagi menyerahkan memorandum kepada Ketua Editor akhbar terbabit.
Memorandum itu diserahkan kepada Dzulkarnain Taib selaku Ketua Editor Suara Keadilan sebagai menyatakan perasaan tidak puas hati terhadap laporan muka depan akhbar itu bertajuk ‘Felda Bangkrap’ yang disiarkan pada keluaran bertarikh 22 hingga 26 Jun lalu.
Malah kumpulan yang hadir sejak 1.30 petang tadi turut membakar naskah Suara Keadilan di jalan raya bertentangan pejabat berkenaan sehingga mengakibatkan gangguan aliran trafik.
Turut berlaku insiden provokasi yang diiringi kata-kata kesat daripada sebahagian ahli kumpulan terbabit ketika penyerahan memorandum kepada Dzulkarnain.
Menurut sumber dalaman Suara Keadilan, difahamkan kumpulan itu datang menaiki enam buah bas daripada sekitar Selangor, Johor dan Perak.
Kumpulan itu yang mula berhimpun di sebuah restoran berhampiran dan berarak menuju ke pejabat tersebut,malah turut kelihatan peronda polis berlegar-legar di kawasan sekitar.
Ketika ditanya Free Malaysia Today mengenai insiden ini, seorang kakitangan akhbar itu berkata "ia hanya benda biasa dan menerima kedatangan mereka dengan hati yang terbuka," katanya.
Sementara itu, sambil mengucapkan terima kasih di atas kehadiran kumpulan itu Dzulkarnain menyifatkan insiden tersebut sebagai satu lagi proses demokrasi.
"Terima kasihlan sebab datang jauh-jauh. Bagi kami tidak ada apa, ini merupakan satu proses demokrasi," katanya
Insiden ini rentetan daripada saman yang bakal dikemukakan oleh FELDA berhubung penyiaran laporan akhbar berkenaan yang disifatkan sebagai "fitnah yang berniat jahat".
Malah melalui sidang media pada 25 Jun lalu itu juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata, tuduhan yang dibuat dalam edisi terbaru akhbar itu, terutamanya di muka depannya dengan tajuk ‘Felda Bangkrap’ adalah keterlaluan.
Selain pemilik permit, pihaknya akan turut menamakan ketua pengarang akhbar itu, wartawan-wartawan terbabit dan empat pemimpin pembangkang iaitu penyelaras Pakatan Zaid Ibrahim, ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Tan Kee Kwong dan Suhaimi Said serta wakil rakyat PAS Mohd Abdul Wahid Endut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan