HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 Julai 2010

Rumah Titian Kasih berpindah

KUALA LUMPUR - Seramai 45 penghuni Rumah Titian Kasih (RTK) di Persiaran Titiwangsa akan berpindah esok sebagai meng hormati perintah mahkamah yang mengarahkan premis itu dikosongkan.

Pengasas rumah tersebut, Sharifah Adlan, 52, atau lebih dikenali sebagai Mak Pah berkata, kesemua penghuni itu akan menumpang buat sementara waktu di sebuah lagi RTK berhampiran yang terletak di Lorong Maran.

''RTK di Lorong Maran sebelum ini dikhaskan untuk penghuni lelaki manakala RTK Persiaran Titiwangsa untuk penghuni wanita.

''Namun, kita sudah tiada pilihan dan terpaksa akur dengan undang-undang kerana jika tidak akan dituduh ingkar perintah mahkamah,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas arahan mahkamah terhadap penghuni RTK supaya mengosongkan rumah itu mulai esok.

Sharifah memberitahu, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengunjungi RTK hari ini berhubung masalah yang mereka hadapi.

Bagaimanapun, beliau masih berharap mendapat bantuan kewangan daripada mana-mana pihak supaya rumah itu dapat dibeli daripada pemilik asalnya.

Menurutnya, sebelum ini pelbagai cara dilakukan untuk mengumpul wang bagi tujuan itu termasuk melancarkan Tabung Wakaf RTK, menjual kraf tangan, kuih-muih dan sumbangan oleh individu yang kini mencecah RM270,000, tetapi jumlah itu masih tidak mencukupi.

Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd. Khairun Aseh memberitahu, pihaknya berusaha untuk mendapatkan kuarters kerajaan yang kosong untuk dijadikan penempatan sementara penghuni RTK.

''Namun usaha itu gagal kerana setakat ini tiada kuarters kerajaan yang kosong,'' jelasnya.

Beliau berjanji akan mengusahakan cara lain supaya penghuni RTK dapat ditempatkan di rumah perlindungan baru yang lebih selesa.

Tiada ulasan: