HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 Julai 2010

PTPTN diminta lanjut tempoh permohonan

UTUSAN ONLINE

MELAKA - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diharap melanjutkan tempoh permohonan pinjaman yang berakhir hari ini kepada sebulan lagi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, ini disebabkan talian PTPTN ketika ini begitu sesak sehingga menyukarkan pelajar menghubungi perbadanan itu bagi mengemukakan permohonan.

Beliau berkata, sedangkan pihaknya menerima laporan mengatakan masih ramai pelajar di negeri ini tidak dapat menghubungi PTPTN untuk urusan permohonan pinjaman.

"Bukan sahaja hari ini, bahkan saya juga difahamkan, talian PTPTN sentiasa sibuk sejak seminggu yang lalu.

"Justeru, saya amat berharap agar PTPTN boleh melanjutkan lagi tempoh permohonan pinjaman ini untuk tempoh sekurang-kurangnya sebulan lagi demi kemudahan pelajar berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Seri Negeri di sini hari ini.

Mohd. Ali berpendapat, kesesakan talian itu disebabkan terlalu ramai pelajar di seluruh negara menghubungi perbadanan itu secara serentak.

Sehubungan itu, beliau berkata, bagi mencari penyelesaian terbaik, kerajaan negeri akan memaklumkan kepada PTPTN berhubung masalah tersebut.

"Saya sudah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Omar Kaseh untuk menguruskan perkara ini," katanya sambil menambah permohonan itu bukan hanya kepada pelajar lepasan SPM dan STPM di Melaka malah di seluruh negara.

Katanya, di Melaka sahaja, setiap tahun terdapat kira-kira 15,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang membuat permohonan pinjaman PTPTN.

Tiada ulasan: