HALAMAN SANTAI

Rabu, 4 Ogos 2010

Bekalan air penduduk Tapah, Bidor terjejas akibat tumpahan minyak

BERITA HARIAN ONLINE

TAPAH: Bekalan air kepada kira-kira 300,000 penduduk Perak meliputi Tapah, Bidor dan beberapa kawasan di Daerah Hilir Perak terjejas sejak Ahad lalu berikutan pencemaran sisa diesel dan petrol yang meresap masuk ke Empangan Batu 10 dan Loji Pembersihan Air Bukit Temoh di sini hingga menyebabkan penutupan empangan dan loji itu kelmarin bagi tujuan pembersihan.

Kira-kira 2,000 liter bahan petroleum itu berlaku selepas lori tangki milik syarikat Shell Malaysia (Shell) yang membawanya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 20, Jalan Tapah-Cameron Highlands, Sabtu lalu.

Bahan itu meresap masuk ke Sungai Batang Padang, iaitu punca air bagi Empangan Batu 10 yang membekalkan air ke loji terbabit.

Walaupun Shell dan Lembaga Air Perak (LAP) sudah membersihkan tumpahan minyak pada Sabtu dan Ahad lalu, namun penduduk merungut air yang dibekalkan ke rumah mereka masih berbau diesel dan petrol.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air negeri, Datuk Ramly Zahari, berkata bekalan air berbau bahan api itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat di Ringlet di Cameron Highlands pada awal pagi Isnin lalu menyebabkan tumpahan minyak yang sudah meresap ke dalam tanah mengalir semula ke Sungai Batang Padang, kemudian memasuki Empangan Batu 10 diikuti Loji Pembersihan Air Bukit Temoh sebelum memasuki sistem bekalan pengguna.

"Jika ujian makmal menunjukkan semua sampel air yang diambil di tempat kemalangan, empangan, loji dan rumah pengguna bersih sepenuhnya, bekalan air di Tapah, Bidor dan kawasan Daerah Hilir Perak dijangka pulih seperti biasa hujung minggu ini," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Qamar berkata, lori tangki Shell itu membawa 18,000 liter diesel dan petrol RON95 dan kira-kira 2,000 liter bahan api itu tumpah dan mengalir ke Sungai Batang Padang.

Katanya, Shell sudah menggerakkan pasukan kecemasannya Sabtu lalu bagi tujuan pembersihan dan kemudian mendapatkan bantuan pasukan kecemasan syarikat petroleum lain selepas mengesan masih ada sisa tumpahan pada Isnin.

Tiada ulasan: