Mencuri adalah kegiatan jenayah. Tidak kira apa bahan yang dicuri, segala usaha mestilah diambil untuk mencegah jenayah ini berleluasa.
Dalam Islam, kaedah amar makruf nahi mungkar (kerjakan kebaikan dan cegah kemungkaran) adalah pedoman yang amat jelas. Ini bermakna untuk menjarakkan diri dengan usaha mencegah kemungkaran, sudah pasti bertentangan dengan ajaran Islam.
Lantas, jawapan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang enggan terbabit dengan usaha pencegahan jenayah adalah tidak bertanggungjawab dan amat menyedihkan.
Alasan beliau bahawa soal tanah, alam sekitar adalah bidang kuasa dan tanggungjawab kerajaan negeri dan oleh itu Kerajaan Pusat tidak perlu campur tangan untuk turut mencegah jenayah curi pasir di Selangor, mengundang pelbagai persoalan.
Pertama, soal pegangan peribadi Muhyiddin terhadap isu jenayah. Yang pastinya, beliau keberatan menghayati ajaran Islam – amar makruf nahi mungkar!
Mana mungkin beliau mengizinkan jenayah terus berlaku hanya kerana Umno-BN tidak menguasai pemerintahan Selangor?
Kedua, timbul pula persoalan tanggungjawab Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan. Apakah beliau juga memandang jenayah hanya perlu dicegah dalam negeri yang dikuasai oleh Umno-BN sahaja?
Di mana jiwa kepolisiannya? Atau, beliau hanya menurut perintah Muhyiddin? Perihal sikap Peguam Negara dalam soal curi pasir dan bantuan Kerajaan Pusat untuk membanteras jenayah ini tidak perlu diharapkan.
Ketiga, adakah sikap kedua-dua pemimpin ini juga bermakna bahawa Selangor perlu bertindak sendirian untuk mencegah jenayah curi pasir di negeri itu?
Apakah ini bermakna Selangor boleh menubuhkan pasukan pemelihara keamanan atau polisnya sendiri?
Kita masih ingat sebelum ini kerajaan Selangor pernah bercadang menubuhkan pasukan kawalan trafiknya sendiri, tetapi ditolak oleh pihak berkuasa Persekutuan. Adakah inisiatif menubuhkan polis sendiri bukan lagi isu selepas ini?
Keempat, di mana agaknya sempadan kesumat politik pemimpin-pemimpin Umno seperti Muhyiddin dan sikap berat sebelah penguasa keamanan seperti Musa Hasan dan Gani Patail?
Pada masa yang sama, penyokong-penyokong Umno mendesak isu curi pasir di Selangor diselesaikan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim melalui tunjuk perasaan di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri.
Adakah mereka juga mahu isu ini diselesaikan tanpa campurtangan polis dan badan penguatkuasa Persekutuan?
Bagaimana kalau tindakan pertama Selangor ialah tubuhkan pasukan keselamatan sen-diri? Kita percaya bukan sahaja jenayah curi pasir boleh dicegah, tetapi isu keselamatan yang makin mendesak hari ini dapat ditangani.
Lebih elok lagi jika pasukan keselamatan sukarelawan dig-rakkan terlebih dahulu. Barulah tahap keamanan dan kesejahte-raan yang berbeza dinikmati di negeri-negeri di bawah pemerintahan Kerajaan Pakatan dengan negeri ditadbir Umno-BN.
Bagi kita isu pasir ialah isu politik. Ia dimulakan oleh Khir Toyo. Namun Timbalan Ketua Perhubungan Umno Selangor, Noh Omar cuba merebut kesempatan ini untuk menjadi juara rakyat.
Beliau menggunakan helikopter untuk meninjau keadaan tempat melombong pasir; berbeza dengan ketua pembangkang di Selangor, Khir Toyo yang hanya mengundang wartawan mengambil gambar keadaan di kawasan perlombongan.
Namun, walau disanggah secara fakta oleh pihak pengurusan pasir di Selangor, media arus perdana tidak dapat mengawal keghairahan untuk terus memburukkan lagi imej kerajaan Pakatan Rakyat.
Ini amat menyedihkan kerana baru beberapa minggu sebelum ini akhbar dan televisyen Kerajaan Umno-BN menyiarkan berita memetik sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu jenayah curi pasir di Malaysia.
Menurut SPRM sehingga 11 Mei tahun ini, 42 orang ditahan oleh suruhanjaya itu berhubung kegiatan mencuri pasir di Selangor (12); Johor (11); Pahang (10), dan Perak (9). Sejumlah 22 kes didaftarkan di mahkamah.
SPRM menganggap kegiatan ini serius kerana ia menyebabkan kerajaan kerugian berbilion ringgit; termasuk yang ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan mahu pun kerajaan negeri.
Namun demikianlah sikap media arus perdana. Yang ditumpukan perhatian ialah kepada apa dilihat sebagai kegiatan haram di negeri yang tidak sehaluan dengan Umno-BN, walhal kegiatan mencuri pasir di Johor begitu serius sehingga seorang menteri kehilangan jawatan kerana mempertikaikan pembabitan orang kenamaan dalam jenayah ini!
Muhyiddin nampaknya bersikap sempit atau kedaerahan. Dia lebih senang bersorak meraikan jenayah curi pasir terus berlaku di Selangor dan pada masa yang sama membisu terhadap jenayah yang juga berleluasa di negeri asalnya, Johor dan juga Perak, negeri yang dirampas daripada Pakatan Rakyat.
Tiada sekelumit pun sikap seorang negarawan dalam jiwanya. Yang nampak ialah nafsu politik sempit seorang yang berjiwa kerdil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan