HALAMAN SANTAI

Sabtu, 7 Ogos 2010

MP Khalid: ‘Lawatan saya ke Carlsberg mungkin meranjatkan ramai’

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mengadakan lawatan kerja ke kilang Carlsberg di Shah Alam petang semalam - dipercayai kali pertama dalam tempoh tiga dekad seorang pemimpin parti politik Melayu berbuat demikian, yang turut mengejutkan pengurusan syarikat tersebut.

“Maklumlah kata Datuk (Chin Voon Loong, Timbalan Pengarah Urusan), selama hampir 30 tahun dia bekerja di situ, tidak pernah kilangnya dilawati rombongan yang seperti kami!” kata Khalid yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam menerusi blognya hari ini.

Ketika dihubungi Khalid berkata, sebelum ini Umno melabel “saya sebagai Khalid Gereja, tetapi selepas ini tidak tahu apa mereka hendak berkata.”

“Saya mengadakan lawatan kerja juga kerana saya wakil rakyat kawasan Shah Alam,” kata Khalid lagi.

Bagaimanapun kata Khalid, beliau mengadakan lawatan kerja ke kilang dengan niat baik untuk mengetahui perancangan operasi mereka, selain mencari tapak sesuai untuk terminal baru.

Dalam blognya kata Khalid, pada mulanya beliau khuatir untuk memenuhi permintaan pekerja kilang itu untuk bergambar kenang-kenangan, takut akan disalahgunakan oleh Umno sebagaimana dilalui ketika isu demonstrasi kepala lembu tahun lalu.

“Namun, saya berserah kepada Allah dan saya rasa tiada yang perlu saya takutkan kerana saya tahu mengapa saya ke situ.

“Kerana, sekali lagi seperti biasa, Pakatan Rakyat perlu berusaha keras bagi merongkaikan ikatan dan simpulan akibat bercelaru hasil peninggalan Umno-BN,” kata beliau sambil menambah, “tajuk tulisan saya kali ini, lawatan kerja ke kilang Carlsberg barangkali akan memeranjatkan sesetengah pihak.”

Khalid berkata, lanjutan daripada perbincangan berhubung pembinaan terminal bas Shah Alam, beliau bersama beberapa ahli majlis Majlis Bandaraya Shah Alam telah melawat kilang Carlsberg.

“Kami disambut oleh Datuk Chin Voon Loong, Timbalan Pengarah Urusan Syarikat berkenaan.

“Beliau memberikan penjelasan dan latar belakang syarikat serta prestasi perniagaannya semenjak ia mula beroperasi,” katanya.

Ia beroperasi sejak 1972 dan merupakan antara kilang terawal di kawasan tersebut.

Dari segi operasinya, kata Khalid, kilang tersebut mempunyai 300 orang pekerja, sebahagian darinya orang Melayu beragama Islam.

Bagaimanapun beliau tidak pasti peratusan pekerja Islam di kilang itu.

Sehubungan itu Khalid memberitahu, bekerja di kilang tersebut bukan bermakna mereka “kurang Islam”, sebaliknya perlu mengambil langkah-langkah untuk menjaga pegangan mereka.

“Oleh yang demikian, saya beralih pula kepada persoalan kakitangan Melayu Islam yang bekerja di kilangnya.

“Keadaan mereka, lebih-lebih lagi memandangkan bulan Ramadan sudah menjelang, perlu diambil tahu.

“Walaupun mereka bekerja di kilang arak, sebagai pendakwah, maka tidak seharusnya terlalu cepat menghukum dan memutuskan hubungan dengan mereka,” katanya.

Kata beliau, mereka orang Islam dan usaha untuk meningkatkan kefahaman dan seterusnya penghayatan mereka terhadap Islam perlu dilakukan sepertimana ia dilakukan terhadap seluruh anggota masyarakat tanpa mengira latar belakang pekerjaan mereka.

Kata Khalid, seratus peratus dari bahan keperluan utama iaitu ‘Malt’ diimpot dan 50 peratus dari produk keluarannya diekspot.

“Dewasa ini, pasaran sasaran adalah di luar negara kerana pasaran Malaysia dianggap tepu,” katanya.

Khalid memberitahu bahawa Chin ada menyatakan bahawa beliau faham sensitiviti masyarakat Shah Alam berhubung kilang beliau dan “itulah di antara sebab pihak Carlsberg juga mengambil satu pendekatan ‘low profile’.”

“Mereka tidak menonjolkan kehadiran mereka dengan secara keterlaluan. Sambil itu, menurut beliau lagi, mereka telah menanamkan pelaburan yang tinggi di situ dan telah pun membeli tanah di tepi kilang mereka pada tahun 2000 atau 2001 yang seluas enam ekar untuk menampung keperluan pembesaran.

“Kawasan berlebihan ini masih kosong dan mencukupi untuk apa-apa perancangan pembesaran mereka,” kata beliau sambil menambah, ia menunjukkan mereka tidak akan berpindah.

Tiada ulasan: