HALAMAN SANTAI

Sabtu, 7 Ogos 2010

Pencarian imam muda mungkin ke peringkat nusantara

BERNAMA

PUTRAJAYA — Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata beliau mahu program realiti dakwah popular, Imam Muda akan diperluaskan pencariannya sehingga ke peringkat nusantara.

Beliau berkata jika tidak di peringkat nusantara, mungkin ia boleh dimulakan di negara-negara jiran dahulu seperti Indonesia dan Singapura.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Ihya’’ Ramadan peringkat kebangsaan di sini hari ini, beliau berkata bagi pencarian di Malaysia ia akan diadakan pada tiap-tiap tahun.

Program kerjasama antara Astro Oasis dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan telah mencetuskan fenomena di dalam dan luar negara seperti di Asia Tenggara dan Eropah.

Program pertama Imam Muda yang berakhir minggu lalu telah mendapat liputan meluas daripada media antarabangsa termasuk The Straits Times, Singapura; The Wall Street Journal; Associated Press (AP); Perbadanan Penyiaran British (BBC); Agence France-Presse (AFP); Reuters dan ARD Germany TC.

Jamil Khir turut memberitahu Juara Imam Muda musim ini, Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, akan berlepas ke Gaza esok bagi mengikuti misi kemanusian anjuran Kelab Putera 1 Malaysia.

“Saya berharap walau tidak dapat menjadi imam di salah satu masjid di Gaza, Asyraf dapat mengimamkan peserta misi sepanjang bulan Ramadan di sana kelak,” kata menteri itu.

Misi selama dua minggu itu akan disertai kira-kira 40 orang termasuk anggota jawatankuasa kelab tersebut, doktor, pegawai Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dan petugas media.

Misi itu akan bermula di Kaherah, Mesir dan akan melalui bandar Rafah sebelum sampai ke Gaza.

Selain Muhammad Asyraf yang berasal dari Sungai Gelugor, Pulau Pinang itu, penyanyi tanahair Fauziah Latif juga akan turut serta bersama rombongan itu.

Tiada ulasan: