HALAMAN SANTAI

Khamis, 5 Ogos 2010

Muhyiddin: Kabinet minta tidak bincang isu kalimah Allah

BERNAMA

PUTRAJAYA – Kabinet hari ini mengarahkan agar semua pihak, termasuk pemimpin Barisan Nasional (BN) dan pembangkang, supaya tidak membincangkan secara terbuka isu berkaitan kalimah Allah yang masih dibicarakan di mahkamah.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata jika isu berkenaan dibincangkan secara terbuka, ia boleh mencetuskan situasi yang boleh menghangatkan semula keadaan yang sudah baik sebelum ini.

“Kabinet hari ini sudah putuskan (perkara) ini tidak baik untuk kita debat kerana soal ini ada hubung kait dengan makhamah. Semua orang tahu, perkara yang masih dalam mahkamah, jangan kita bicara.

“Berdebat (isu ini) tiada hasil dan kebaikan yang boleh kita peroleh kerana ia boleh mencetuskan semula situasi yang tidak baik,” katanya kepada pemberita selepas menerima peruntukan RM50 juta bagi pihak Kementerian Pelajaran daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini.

Muhyiddin diminta mengulas kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dalam laporan akhbar hari ini, yang dipetik sebagai berkata kumpulan Kristian mahu isu berkaitan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Kristian diselesaikan secepat mungkin.

Chua turut menjelaskan bahawa MCA tidak berkongsi pendirian yang sama dengan DAP berhubung gesaan supaya larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam ditarik balik.

Muhyiddin berkata beliau sedar ada pihak yang cuba menghangatkan semula isu berkenaan sehingga menyebabkan wujudnya ketegangan dan persengketaan.

“Tetapi, sebagai kerajaan bertanggungjawab, pendirian kerajaan muktamad sama ada dalam komponen BN atau pembangkang kerana soal ini juga ada hubung kait dengan hukum (agama) dan masih (dibicarakan) di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata semua pihak harus menghormati suasana berkenaan dan tidak membincangkan perkara itu secara terbuka.

“Kalau saya sebut (isu ini), sana akan jawab lagi. Apa hasilnya?... porak-peranda, bergaduh. Tetapi kerajaan BN yang bertanggungjawab tidak mahu perkara ini berlaku,” katanya. –

Tiada ulasan: