HALAMAN SANTAI

Khamis, 5 Ogos 2010

SPRM tidak akan siasat kes Ronnie Liu


sprm-Shukri Abdul Oleh Fazy Sahir

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan menyiasat dakwaan penyalahgunaan kepala surat dan cop rasmi milik Exco Kerajaan Negeri Selangor Ronnie Liu, walaupun beliau sendiri yang membuat gesaan itu semalam.

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Mohd Shukri Abdul, pihaknya tidak akan menjalankan sebarang siasatan atau menyerahkan kes tersebut kepada pihak polis.

Ini kerana pihak polis sedang menjalankan siasatan termasuklah mengambil kenyataan serta dokumen berkaitan kes tersebut.

Shukri berkata, "polis dah mula siasat dan rakam kenyataan serta mengambil dokumen berkaitan. Malah Liu sendiri buat laporan polis. Biar polis siasat kes tersebut.

"Kita tidak akan siasat kes ini. Mengapa perlu ada siasatan yang sama…..percayalah pada kewibawaan polis," katanya kepada Free Malaysia Today hari ini.

Ketika ditanya sama ada SPRM menerima sebarang aduan daripada mana-mana pihak berhubung kes ini, beliau tidak dapat memastikan perkara tersebut.

"Saya tidak pasti pula. Perlu semak, jika saya kata tiada….tiba-tiba wujud pula aduan, nanti saya dikatakan sebagai pembohong. Jika ada saya akan serah kepada polis kerana mereka sudah memulakan siasatan," jelasnya.

Pelihara imej dan kewibawaan

Semalam, Liu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pandamaran menggesa agar siasatan dilakukan terhadap kes dakwaan salahguna kepala surat dan cop rasmi miliknya oleh ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK), Tee Boon Hock.

Menurut Liu, beliau sedia disiasat oleh Suruhanjaya berkenaan bagi memelihara imej dan membersihkan kewibawaannya berikutan tuduhan pelbagai pihak yang mengaitkan namanya disebalik tindakan Tee.

Untuk menjauhi salah sangka, Isnin lalu, Liu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam terhadap dakwaan tersebut.

Kepala surat dan cop rasmi berkenaan sebelum ini didakwa digunakan oleh Tee untuk mengeluarkan surat sokongan kepada 15 syarikat bagi mendapatkan kontrak bernilai lebih RM1.04 juta.

Tee telah dipecat oleh DAP apabila didapati salah sebuah dari 15 syarikat berkenaan ada kaitan dengan anak lelakinya.

Menurut Liu, beliau memutuskan untuk membuat laporan polis hari ini kerana Tee mendakwa beliau diarah mengeluarkan surat tersebut bagi pihak dirinya (Liu).

Exco Selangor itu menjelaskan bahawa beliau dipanggil oleh Jawatankuasa Disiplin DAP berikutan tuduhan Tee tersebut.

Tiada ulasan: