HALAMAN SANTAI

Khamis, 5 Ogos 2010

Subsidi Gula Untungkan Peniaga, Bukan Pengguna


sugar Oleh Muda Mohd Noor

KUALA LUMPUR: Subsidi tahunan kerajaan bagi gula berjumlah RM2.3 bilion tetapi 96 peratus dari jumlah itu adalah untuk golongan peniaga dan bukannya pengguna, dakwa seorang Senator.

Senator Datuk Akbar Ali berkata, "majoriti yang mendapat keuntungan dari subsidi gula itu ialah golongan yang sepatutnya tidak berhak iaitu pekilang gula, hotel dan pengusaha restoran.

"Jumlah keseluruhan subsidi kerajaan ialah lebih RM24 bilion setahun termasuk petroleum, makanan dan buku teks untuk pelajar sekolah," terang beliau.

Katanya, golongan yang tidak layak mendapat subsidi gula kerana dasar kerajaan yang memberi subsidi di peringkat pengeluaran dan bukannya kepada pengguna.

Beliau berkata, "kerajaan memberi subsidi kepada pekilang gula, hotel yang menyediakan makanan dan minuman serta pengusaha restoran."

Menurut Akbar, jumlah sebenar kalau betul, golongan miskin ialah 228,000 isi rumah berdasarkan bancian terbaru kerajaan. Ini bermakna, jika subsidi gula untuk golongan miskin ia lebih kecil daripada RM60 juta.

Akbar turut membangkitkan perkara ini dalam sidang Dewan Negara minggu lalu.

Menurutnya, beliau memberi angka isi rumah itu berdasarkan penyiasatan perbelanjaan isi rumah yang dibuat oleh Jabatan Perangkaan Malaysia 2007.

Beliau berkata, kerajaan telah menyedari ketidakadilan ini dan kerana itu mereka menstruktur semula dasar subsidi.

"Kalau ada golongan yang menentang penstrukturan semula subsidi mereka ialah pengusaha restoran, hotel dan pekilang kerana golongan inilah yang paling banyak mendapat manfaat dari subsidi kerajaan," katanya.

Akbar berkata, kerajaan perlu mempunyai data keluarga miskin di seluruh negara supaya skim subsidi kerajaan benar-benar dinikmati kumpulan sasaran.

Katanya, rakyat tidak mahu kumpulan yang tidak berhak turut mendapat subsidi manakala orang miskin tersisih.

Tiada ulasan: