HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Oktober 2010

NCER tidak beri manfaat kepada penduduk


mp-pendang1Oleh Muda Mohd Noor

KUALA LUMPUR: Projek Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER) tidak memberi faedah kepada penduduk utara khususnya di negeri Kedah, kata seorang ahli Parlimen Pakatan Rakyat hari ini.

Dr Hayati Othman (PAS-Pendang) berkata, sejak dilancarkan pada 2008, tidak nampak sebarang projek yang memberi manfaat kepada penduduk Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak.

Sehubungan itu, beliau meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Najib Tun Razak mengkaji semula NCER supaya ia benar-benar berfaedah kepada penduduk tempatan.

NCER dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi. "NCER tidak memberi apa-apa impak kepada penduduk utara, tidak berjaya menaikkan taraf hidup penduduk.

"Kerajaan umum RM636 juta untuk melaksanakan 33 projek di dalam kawasan NCER tetapi apakah projek-projek itu? "Hanya yang nampak projek tanaman jagung oleh Sime Darby di Bukit Kayu Hitam tetapi kurang berjaya.

"NCER ini hanya laluan kerajaan untuk memberi wang kepada kroni-kroni mereka," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Sebelum ini Dr Hayati menimbulkan ini semasa perbahasan sidang Parlimen hari ini.

Katanya, tiada guna NCER diteruskan dengan perbelanjaan yang banyak jika tidak menguntungkan rakyat. Agensi pelaksana NCER iaitu NCIA tidak melaksanakan projek-projek tertentu dengan sempurna seolah-olah tangkap muat sahaja.

"Sebagai contoh, projek menurap jalan ban sungai yang mencecah bilion ringgit oleh NCIA tidak dibuat dengan sempurna menyebabkan jalan cepat rosak.

"Dalam mesyuarat Lembaga Pembangunan Pertanian Muda (Mada), agensi itu menimbulkan isu jalan yang dilaksanakan oleh NCIA itu," katanya

Tiada ulasan: