HALAMAN SANTAI

Isnin, 6 Disember 2010

Galeri Tapak Warisan Dunia tarikan terbaru di Taman Kinabalu

BERNAMA

gunung kinabaluKUNDASANG: Galeri Tapak Warisan Dunia Kinabalu menjadi tarikan terbaru kepada pengunjung ke Taman Kinabalu di sini yang diisi dengan maklumat mengenai keunikan dan kekayaan semula jadi taman itu sehingga diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Galeri itu dibuka kepada orang ramai sejak dua hari lepas setelah dirasmikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Ellron Angin sempena 10 tahun Taman Kinabalu sebagai tapak warisan dunia dan Ekspo Biodiversiti Kinabalu 2010.

Pegawai Penyelaras Bahagian Penyelidikan dan Pendidikan Taman Taman Sabah Rimi Repin berkata ruang galeri dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu menyalurkan maklumat mengenai pengiktirafan dan kriteria taman Kinabalu sebagai tapak warisan dunia, fizikal yang menampilkan kawasan keseluruhan taman Kinabalu diperbuat menggunakan konsep tiga dimensi (3D).

Katanya satu lagi bahagian menggunakan landskap Diorama yang menonjolkan kekayaan biodiversiti secara langsung dengan menampilkan flora dan fauna yang terdapat di tiga jenis hutan di taman Kinabalu iaitu hutan tanah rendah, pergunungan bawah dan pergunungan atas.

"Pembukaan galeri ini menjadi elemen penting kepada Taman Kinabalu dalam usaha mengekalkan pengiktirafan sebagai tapak warisan dunia," katanya di sini hari ini.

Rimi berkata sejak dibuka, seramai 2,300 pengunjung melawat galeri itu dengan ruang landskap Diorama menjadi perhatian mereka disebabkan keunikan yang ada khususnya diisi dengan flora yang hidup.

Katanya maklumat mengenai pengiktirafan taman Kinabalu sebagai tapak warisan dunia penting disalurkan kepada orang ramai khususnya komuniti yang tinggal di sekitar taman Kinabalu.

Penglibatan mereka dalam pemuliharaan biodiversiti di taman Kinabalu adalah penting dan selaras dengan usaha pihaknya mengekalkan pengiktirafan sebagai tapak warisan dunia oleh Unesco, katanya.

Di taman Kinabalu terdapat juga pusat maklumat lain dibuka kepada orang ramai antaranya Galeri Alam Semula Jadi dan Taman Botani Pergunungan di sini, Taman Kupu-Kupu, Pusat Pemuliharaan Rafflesia, Kebun Tropika dan Pusat Konservasi Orkid di Stesen Mata Air Panas Poring Ranau.


Tiada ulasan: