HALAMAN SANTAI

Rabu, 1 Disember 2010

Kenyataan rasis: Pengawas peperiksaan SPM digantung tugas

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelajaran menggantung tugas seorang pengawas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Jumaat, Lukut, Negeri Sembilan yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata Lembaga Peperiksaan Malaysia memaklumkan kepada beliau bahawa pengawas peperiksaan itu telah digantung tugas sehingga sebuah jawatankuasa khas selesai menjalankan siasatan.

“Jawatakuasa khas ini masih menjalankan siasatan. Guru terbabit juga tidak akan menerima sebarang elaun sepanjang tempoh penggantungannya,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Dipetik Bernama, beliau diminta mengulas usul yang dibawa anggota Parlimen Bakri Er Teck Hwa semalam mengenai tindakan pengawas peperiksaan itu mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman kerana calon peperiksaan SPM lewat masuk ke dewan peperiksaan pada 24 November lepas.

Usul itu bagaimanapun ditolak Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia semalam menerusi satu notis yang diedarkan di Parlimen hari ini kerana Kementerian Pelajaran telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengambil tindakan berhubung perkara tersebut.

Ditanya mengenai tindakan lain yang boleh dikenakan terhadap guru berkenaan, Wee berkata kementerian akan membuat pengumuman selepas selesai siasatan.

Tiada ulasan: