Menggunakan perkhidmatan ETS KTMB sudah menjadi rutin bagi Kulasegaran untuk menghadiri sidang Parlimen semasa yang bermula awal Oktober lalu. — Gambar oleh Choo Choy May
Justeru, apabila Parlimen memulakan sidangnya awal Oktober lalu, Kulasegaran membuat azam baru — menggunakan ETS untuk berulang-alik antara Ipoh dan ibu negara.
“Secara kebetulan ETS mula operasi Ogos lalu dan sidang Dewan Rakyat bermula Oktober, jadi saya memutuskan untuk menggunakan ETS untuk menghadiri sidang Parlimen,” kata Kulasegaran yang seolah-olah sudah melupakan keretanya untuk ibu negara sejak KTMB menyediakan ETS.
“Kereta masih ada, cuma tak digunakan ke Kuala Lumpur seperti dulu,” katanya lagi.
“Sepatutnya ETS sudah mula beroperasi tahun 2003, tetapi ia tertangguh hampir tujuh tahun. Jika perkhidmatan ETS diadakan ketika itu, saya sudah pasti telah lama menggunakan ETS,” kata wakil rakyat DAP ini yang memenangi semula kerusi Parlimen pada 2004.
Wakil rakyat ini berkongsi bahawa beliau sama sekali tidak kisah mengenai status selaku Ahli Parlimen atau merasakan imejnya terjejas dengan menaiki kereta api untuk menghadiri sidang Parlimen.
“Tidak, tidak. Saya merasakan lebih selesa dan selamat... ini bukan soal status, tetapi saya dapat melakukan banyak kerja dalam dua setengah jam perjalanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur (menggunakan ETS),” kata Kulasegaran.
Kulasegaran lazimnya akan menaiki kereta api pada pukul 5.30 pagi setiap Isnin bagi membolehkannya berada di Parlimen menjelang pukul 10 pagi dan akan kembali ke Ipoh pada petang Khamis. Beliau akan kembali ke kawasannya jika ada urusan antara Isnin dan Khamis atau jika ada keperluan.
Kulasegaran bersama rakannya menggunakan perkhidmatan ETS ke Ipoh Khamis lalu. — Gambar oleh Choo Choy May
Di kalangan ahli-ahli Parlimen semasa, Datuk Shahrir Samad juga pernah menggunakan perkhidmatan ERL untuk pejabatnya di Putrajaya ketika menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dua tahun lalu.
Sudah pasti, satu kelebihan di pihak Kulasegaran ialah stesen kereta api Ipoh terletak di bahagian Parlimennya — Ipoh Barat.
“Semasa saya belajar di England, saya selalu menggunakan perkhidmatan kereta api... saya lihat ramai peguam, hakim dan ahli-ahli politik menggunakan perkhidmatan. Ia satu pemandangan biasa di Britain.
“Jadi, saya tidak rasa janggal atau pelik apabila menaiki tren selaku wakil rakyat sekarang, sepatutnya wakil rakyat menjadi teladan dalam hal-hal seperti ini,” kata Kulasegaran, Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, yang menjelaskan beliau berpeluang untuk menyempurnakan banyak kerja sepanjang perjalanan.
“Kalau nak lelap seketika, saya boleh habis membaca majalah TIME misalnya, boleh buat ‘kerja rumah’ sebagai persiapan menghadapi sidang Parlimen... macam-macam lagi,” kata beliau yang turut mengakui tidak pernah terlepas daripada menerima notis saman kerana kesalahan memandu laju.
“Saya juga pernah terlibat dalam kemalangan di lebuh raya... saya rasa saya lebih tenang tanpa kebimbangan mengenai hal-hal ini,” katanya lagi.
Selain itu, menurut Kulasegaran, beliau juga ruang waktu perjalanan menggunakan ETS sebagai jambatan untuk mengeratkan hubungan dengan pengundi kawasannya.
“Malah, saya juga biasanya akan bertemu dengan pengundi-pengundi saya yang menggunakan ETS. Jadi, ini peluang bagi saya berbual dengan mereka, dalam memahami masalah mereka dan menjalin hubungan mesra antara pengundi dan wakil rakyat... ini semua satu peluang,” kata beliau yang merupakan Ahli Parlimen Ipoh Barat sejak 2004. Beliau memenangi kerusi Parlimen Teluk Intan pada 1997 dan tewas dalam pilihan raya umum 1999.
Peguam ini menambah, beliau juga dapat menjimatkan kos perjalanan pada kadar yang cukup besar.
“Kalau saya menggunakan kereta, saya akan menghabiskan sekitar RM200, untuk perjalanan pergi balik (antara Ipoh-Kuala Lumpur). Jika menggunakan ETS sekarang, kos dalam lingkungan separuh sahaja,” katanya yang menghinap di hotel berhampiran dengan KL Sentral.
Ia juga dilihat satu kelebihan buat Kulasegaran.
Dari KL Sentral beliau akan menggunakan perkhidmatan awam teksi untuk ke bangunan Parlimen.
“Akhirnya, saya rasakan saya bebas daripada pelbagai masalah termasuk mencari ruang tempat letak kereta,” kata beliau sambil menambah, ETS di Malaysia seharusnya lebih canggih seiring dengan kemajuan teknologi.
“Kita seharusnya ada sistem ETS yang lebih ke hadapan (moden), saya melihat sistem yang ada sekarang ini ketinggalan dua tiga dekad berbanding apa yang ada di China,” katanya.
Projek perkhidmatan ETS menelan kos RM48 juta, yang merupakan tren pertama dilengkapi sistem kamera litar tertutup sebagai langkah keselamatan. ETS yang mula beroperasi sejak 12 Ogos lalu dilaporkan telah menarik purata antara 1,200 dan 1,400 penumpang setiap hari sepanjang dua bulan tersebut.
Waktu operasi dari Ipoh ke Kuala Lumpur bermula seawal pukul 4 pagi dan tamat 6.30 petang manakala tren dari Kuala Lumpur ke Ipoh pula bermula seawal pukul 6.20 pagi dan tamat pada 9 malam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan