HALAMAN SANTAI

Selasa, 14 Disember 2010

Langgar pekeliling: GAPS gesa SPRM siasat PKNS

TERKINI


Penyokong-penyokong GAPS berkumpul berhampiran Stadium Merdeka, 5 Disember 2010. — gambar fail

PUTRAJAYA — Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) hari ini menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) — didakwa tidak mematuhi Pekeliling Perbendaharaan dalam urusan melantik jurunding syarikat milik kerajaan Selangor itu.

Pada sidang media selepas membuat aduan di SPRM, Pengerusi GAPS Hamidzun Khairuddin berkata, pihaknya mahu suruhanjaya itu menyiasat salah laku yang dilakukan pengurusan PKNS.

Hamidzun mendakwa terdapat tiga penyelewengan yang berlaku dalam pengurusan PKNS yang harus disiasat oleh SPRM.

“Yang pertama adalah pelantikan tiga syarikat yang dimiliki orang yang sama dalam penubuhan tele-marketing PKNS dengan bayaran sebanyak RM2.6 juta.

“Kedua, pelantikan seorang warga asing sebagai konsultan PKNS dalam tempoh enam bulan dengan bayaran sebanyak RM935,000 dan ketiga pelantikan seorang pegawai perhubungan awam dan penulis ucapan pengurus besar PKNS dengan bayaran sebanyak lebih RM20,000 sebulan.

“Oleh yang demikian, GAPS mahu SPRM menyiasat perkara ini, sekiranya ia benar tindakan harus diambil dan kebenaran perlu didedahkan,” katanya.

Ini adalah laporan pertama dibuat GAPS di SPRM berhubung 30 penyelewengan didakwa berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor pimpinan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

GAPS sebelum ini telah menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor Sultan Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung 30 perkara itu.

GAPS merupakan gabungan 50 badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Majlis Belia Selangor, Perkasa Selangor dan persatuan-persatuan dari kaum Cina dan India di Selangor itu yang ditubuhkan sejak dua bulan lepas.

Hamidzun juga menolak dakwaan bahawa isu penyelewengan yang dibangkitkan GAPS adalah isu lama sambil menyatakan ini soal kepentingan rakyat dan ia perlu didedahkan.

“Ini bukan soal isu lama atau tidak, ini soal penyelewengan yang berlaku di Selangor.

“Jadi tidak kisah ia isu lama atau isu baru, yang penting rakyat perlu tahu kebenaran dan ini juga melibatkan kepentingan mereka.

“Oleh sebab itu saya minta SPRM menyiasat perkara ini,” katanya.

Antara penyelewengan yang berlaku di Selangor termasuk penyelewengan yang dilakukan kerajaan negeri antara membazirkan wang rakyat apabila membeli hutang syarikat korporat Talam Corporation bernilai RM392 juta dengan menggunakan wang rakyat.

Selain itu, GAPS juga mendakwa kerajaan Selangor juga menutup institusi latihan kemahiran untuk Bumiputera iaitu Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) dan membazir wang rakyat dengan membelanjakan RM800,000 dalam program sambutan ulang tahun ke-40 Yayasan Selangor.

Dalam 30 penyelewengan itu juga GAPS juga mendakwa kerajaan Selangor gagal mentadbir PKNS dengan baik sehingga menggadaikan semua hartanah kepada REIT yang mengakibatkan PKNS sekarang tidak mempunyai premis sendiri dan terpaksa menyewa bangunan untuk beroperasi.

Tambah Hamidzun, pihaknya akan mengatur langkah untuk membuat lebih banyak pendedahan berhubung penyelewengan yang berlaku di Selangor.

“Kita akan teruskan usaha ini, kita akan dedahkan satu persatu.

“Malah, kita juga akan buat laporan lagi kepada SPRM sekiranya mendapat lebih banyak bukti,” katanya.

Tiada ulasan: