PARLIMEN KUALA LUMPUR: Para pemimpin utama Pakatan Rakyat kesal dan kecewa dengan tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang didakwa gagal mengawal perjalanan sidang Dewan Rakyat hari ini.
Mereka juga mendakwa Pandikar kerap membuat keputusan yang tidak konsisten termasuk menerima usul yang dibuat menteri sesuka hati atas alasan menggunakan kuasa Speaker.
Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Speaker seolah-olah tidak berpendirian teguh dengan membiarkan prosedur parlimen diperalatkan oleh kuasa majoriti.
"Prosedur parlimen dipermainkan oleh kuasa majoriti," katanya dalam sidang media di lobi parlimen hari ini.
Ketua Umum PKR itu berkata, beliau tidak diberi peluang menjawab terhadap usul menggantung beliau selama enam bulan kerana membangkitkan isu Apco dan Umno.
Dinafi hak pertahan diri
"Saya tidak diberi hak untuk mempertahankan diri sedangkan saya telah siap dengan hujah-hujah," katanya.
Ketua Pembangkang parlimen juga mendakwa keputusan yang dibuat oleh Speaker sentiasa berubah.
"Hari ini beliau menerima usul untuk mengantung tiga ahli Parlimen iaitu R Sivarasa (PKR – Subang); Karpal Singh (DAP – Bukit Gelugor) dan Azmin Ali (PKR – Gombak) dengan hujah-hujah yang tidak munasabah.
"Kalau tindakan di ambil ke atas mereka kerana bercakap dengan blogger dan media, apa salahnya panggil mereka untuk memberi keterangan. Panggil mereka, ambil keterangan dua jam," katanya.
Kuasa majoriti
Sementara itu, Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke berkata, jika Speaker menggantung empat ahli Parlimen selama enam bulan bermakna Barisan Nasional (BN) seolah-olah mendapat semula kuasa majoriti dalam dewan. Katanya, secara otomatik empat ahli parlimen berkenaan terlepas peluang untuk menghadiri sidang parlimen selama dua penggal.
"Peluang ini boleh digunakan oleh BN untuk membuat apa-apa pindaan termasuk persempadanan semula kawasan pilihanraya," katanya.
Isu yang serius
Sementara itu Naib Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa berkata, isu menggantung ahli Parlimen selama enam bulan merupakan satu isu yang serius.
Katanya, semasa beliau menjadi ahli parlimen pada tahun 1990, apabila keadaan menjadi tegang Speaker akan menghentikan sidang sementara. Tetapi hari ini Speaker meneruskannya walaupun keadaan menjadi tidak terkawal," katanya.
Ahli Parlimen Bachok itu berkata, wakil rakyat pembangkang dalam perbahasan tidak menyentuh isu mengenai Raja-raja Melayu, rahsia dan kes mahkamah.
"Pakatan Rakyat berjanji jika kita berkuasa, kita akan membuat perubahan terhadap sistem parlimen negara," katanya.
Dalam perbahasan sebelah pagi, Speaker mengarahkan Sivarasa dan Azmin keluar Dewan Rakyat sehingga jam 2.30 petang kerana didakwa enggan mematuhi arahannya.
Usul gantung 3 MP PR
Pagi tadi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz membawa usul menggantung ketiga-tiga ahli parlimen terbabit kerana beberapa kesalahan.
Karpal Singh dan Sivarasa, merupakan ahli Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, didakwa menghina dewan selepas membuat kenyataan di luar Parlimen berhubung prosiding Jawatankuasa itu pada 3 Disember lepas.
Mereka dikatakan telah mendedahkan keterangan dan surat Apco semasa berlangsungnya mesyuarat jawatankuasa.
Tindakan itu dikatakan menyalahi Peraturan Mesyuarat 85, apabila menyatakan bahawa kenyataan dan surat yang diberikan kepada ahli jawatankuasa itu tidak boleh disiarkan kepada sesiapa sehingga notis itu dibentangkan di Dewan Rakyat
19 ulasan:
dewan itu kecoh kerana sikap ahli PR pembangnag yang tidak menghormati peraturan dewan, mmg patut mereka digantung.
janganlah mengatakan speaker gagal mengawal perjalanan sidang dewan. semua ini berlaku kerana sikap segelintir ahli parlimen yang tidak berdisiplin.
setiap ahli parlimen perlulah berdisiplin dan lebih beretika pada masa akan datang.
Apa pun, penghargaan harus diberi kepada Pandikar Amin yang tegas menjalankan tanggungjawabnya mengendalikan Dewan Rakyat. bukan speaker yang gagal mengawal perjalanan sidang dewan rakyat, tetapi pembangkanglah yang sebenarnya gagal membawa isu2 yang disokong oleh fakta serta hujah yang tepat dan benar. sudah banyak kali isu Apco dinafikan, tapi Anwar masih berkeras menimbulkan isu ini sedangkan beliau sendiri tahu isu itu hanya pembohongan dan fitnah semata2.
salah satu prinsip demokrasi Berparlimen adalah setiap Ahli Parlimennya mesti bercakap benar dan tidak menyelewengkan fakta. malah, mereka tidak harus berselindung di belakang kenyataan politik yang memudaratkan fakta. tindakan penggantungan yang diputuskan oleh Tan Sri Pandikar itu bukanlah sesuatu yang bermatlamat buruk sangka. sebaliknya, ia susulan daripada prinsip Parlimen yang demokratik – siapa yang tidak bercakap benar, maka terimalah natijahnya.
Diharapkan perkara ini tidak akan berlaku lagi.
Ketua penasihat pembangkang harus tahu, manusia bukan sempurna sepenuhnya. Sekiranya itu keputusan orang yang tertinggi harap terima seadanya.
Speaker ini sepatutnya menunaikan tanggungjawabnya untuk memastikan perjalanan sidang itu di bawah kawalan.
itu sahaja langkah yang paling wajar dilakukan bagi mengawal tindakan pembangkang yang membuat kecoh dan tidak menghormati dewan.
Semoga ini menjadi pengajaran kepada ahli-ahli dewan selepas ini supaya menjadi lebih berdisiplin.
Tak payah tunding jari dgn speaker dewan.. Yang patut ditegur tu ialah ahli parlimen yg suka sangat buat kecoh.
Semoga kekecohan dapat dielakkan bagi memastikan persidangan berjalan lancar...
Jika sudah ada complaint, ini bermakna perlu ada siasatan dan kata putus harus di dilakukan dengan segera. Jika betul apa yang telah didakwa saya rasa tidak teragak2 untuk pihak diatas untuk menjatuhkan hukuman setimpal dengan perbuatan.
Walau speaker dari BN beliau harus berkecuali dan adil mengendali dewan.
Semua parti harus diberi peluang saksama berbahas dan jika soalan dituju, pihak yang berkenaan kenalah berjawap.
Speaker seharusnya seorang yang dihormati semua pihak dan mampu mengawal segala keadaan yang berlaku semasa sidang dijalankan.
Selagi pembangkang tidak merasa keadilan dalam dewan, kekecohan akan terus berlaku.
Tidak mampu bermakna kenalah tukar speaker. Tukar orang yang lebih berkemampuan.
Bukan mudah bagi speaker mengawal sidang Dewan kerana MP ini sudah besar matang dan kebanyakan mereka berpendidikan tinggi.
Catat Ulasan