HALAMAN SANTAI

Rabu, 6 Julai 2011

AJK Bersih, Peguam Disoalsiasat Polis

Ditulis oleh Naeem Raffi


PETALING JAYA : Polis hari ini menyoalsiasat Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH, Maria Chin Abdullah di bawah Akta Pertubuhan susulan serbuan pihak berkuasa ke atas Pejabat Sekretariat BERSIH 2.0 minggu lalu.

Maria yang juga Pengerusi Kumpulan Empower berkata pegawai polis Petaling Jaya bertanya soalan- soalan yang kabur dan tidak relevan kepada himpunan aman Bersih 2.0.

Dua peguam yang mengiringi Maria juga terpaksa memberi kenyataan kepada polis.
Antara lain, Maria ditanya mengenai latar belakang beliau dalam Kumpulan Empower serta hak milik premis yang diserbu oleh polis.

Pada 29 Jun, Seketariat Bersih di Seksyen 4 diserbu sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Dalam serbuan itu, sebanyak tujuh beg plastik hitam berisi baju T yang mempunyai logo Bersih dilihat dibawa keluar daripada rumah berkenaan.

Selain itu, enam kotak berisi dokumen, empat helai kain rentang dan beberapa poster turut dirampas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah dilaporkan sebagai berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya mendapat maklumat awam berhubung aktiviti sebuah pertubuhan haram di premis itu.

Petang tadi, dua peguam yang mewakili Maria, Fadhia Nadwa Fikri dan Honey Tan menyifatkan polis bertindak tidak adil dengan menyoal anak guam mereka di bawah Akta Pertubuhan.

Mengulas lanjut perkara itu Fadhia menjelaskan akta itu tidak sepatutnya didakwa keatas Maria kerana Empower pertubuhan berdaftar dan ianya adalah sebahagian daripada gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

"Mereka(Polis) menjadikan Empower sasaran mereka dalam kes ini, sedangkan dengan jelas BERSIH 2.0 adalah gabungan 62 badan bukan kerajaan yang bekerjasama menuntut lapan permintaan dalam pelaksanaan pilihan raya yang bersih dan adil untuk SPR laksanakannya.

Akta yang dikenakan keatas Maria amat tidak patut, " kata Fadhia

Dalam pada itu, Fadhia turut menyifatkan soalan yang diajukan kepada Maria Chin sebagai soalan yang kabur.

"Berdasarkan soalan- soalan yang diajukan, ianya jelas tidak munasabah dan kenapa mereka perlu tahu penama bagi bil air dan elektrik premis yang diserbu, sedangkan bil itu ada pada mereka dan mereka sendiri boleh memproleh maklumat dari bil itu sendiri," katanya lagi.

Fadhia dan rakannya terkejut apabila polis turut berkeras mahu mengambil kenyataan daripada mereka kerana mewakili Maria.

"Dipertengahan soalannya polis bertanyakan kepada kami sama ada Maria Chin mempunyai peguam ataupun tidak, setelah itu polis mahu mengambil kenyataan daripada kami atas alasan kami turut ada bersama Maria.

Ini amat bertentangan dengan Artikel 5 (3), Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 28 Kanun Prosedur Jenayah," kata Fadhia.

"Ini mencabuli keadilan kepada Maria untuk mempunyai peguam semasa dirinya disoal siasat," katanya.

Tiada ulasan: