KUALA LUMPUR : Polis Diraja Malaysia hari ini mengaku menembak air berkimia ke dalam perkarangan Hospital Tung Shin namun menafikan segala tuduhan lain dalam bertindak menyuraikan perhimpunan Bersih 2.0 9 Julai lalu.
"Memang kita akui ada buat semburan air ke kawasan hospital. Kita akui,” kata Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Salleh Mat Rashid.
"Kita juga tidak nafikan mungkin gas pemedih mata masuk ke kawasan Hospital Tung Shin," tambah beliau.
Bagaimanapun beliau berkata gas pemedih mata itu dibawa oleh angin menyusup ke perkarangan Hospital Tung Shin dan bukan akibat ditembak oleh polis ke arah hospital itu.
Penjelasan Salleh itu menafikan dakwaan Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai sebelum ini mendakwa hospital itu tidak pernah menjadi sasaran polis ketika bertindak terhadap peserta Bersih.
Selepas hampir dua minggu, PDRM tampil hari ini untuk menayangkan video yang menurut badan itu menunjukkan polis bertindak mengikut batas undang-undang dalam menyuraikan perhimpunan aman Bersih.
Puluhan ribu orang menyertai perhimpuan itu untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil walaupun terpaksa menongkah arus tembakan air berkimia dan gas pemedih mata oleh polis.
Lebih 1,600 orang ditahan manakala Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pengawal peribadi beliau, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad antara yang cedera.
Seorang meninggal dunia, namun polis hari ini mendakwa kematian Baharuddin Ahmad, 59, adalah akibat sakit jantung dan bukan kerana tindakan polis.
Bagaimanapun keluarga Allahyarham belum menerima laporan bedah siasat mangsa manakala saksi-saksi di tempat kejadian memberikan versi yang bercanggah dengan hujah polis.
Menjawab soalan media, Salleh berkata pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung tindakan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) bersabit dakwaan-dakwaan yang membabitkan hospital Tung Shin.
Beliau menegaskan segala tindakan polis adalah disisi undang-undang dan tidak bangkit soal polis bertindak keterlaluan ke atas peserta Bersih.
Bagaimanapun, Salleh enggan mengulas sama ada tindakan polis itu melanggar syarat konvensyen antarabangsa yang menyenaraikan hospital dan rumah ibadat sebagai kawasan yang harus bebas daripada sebarang serangan.
Pada siding akhbar itu, Salleh berkata peserta Bersih terhadap tindakan polis melepaskan gas pemedih mata dan air berkimia untuk menyuraikan perhimpunan berkenaan.
Video yang dirakam oleh polis dan diperolehi dari orang ramai, menurut beliau, menunjukkan peserta-peserta perhimpunan mencetuskan provokasi sehingga pasukan FRU, Unit Rusuhan Awam (PORU) dan Pasukan Tindakan Ringan terpaksa menggunakan kekerasan.
Beliau berkata video-video itu akan dimuat naik di Internet untuk membolehkan ia dinilai oleh semua pihak.
Pada masa sama beliau memberi amaran akan bertindak terhadap yang cuba memuat-naik video palsu.
Antara lain video tersebut memaparkan pandangan dari udara memperlihatkan seluruh kawasan yang menjadi laluan peserta Bersih.
Turut dipertontonkan rakaman video bantuan perubatan yang diberikan kepada ahli parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad, ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan Pengerusi Bersih, Datuk S Ambiga di lokasi KL Sentral.
Mereka ditembak dengan gas pemedih mata di lokasi itu. Ambiga dan beberapa pihak lain menuduh polis melepaskan tembakan itu dari dua arah bertentangan dengan tujuan untuk memerangkap mereka yang berada dalam terowong itu.
Salleh bagaimanapun menafikan dakwaan itu. Beliau sekali lagi menyalahkan angin atas kehadiran gas pemedih mata dalam terowong berkenaan.
"Pada waktu itu ada hujan dan angin," kata Salleh lagi.
Salleh juga menolak dakwaan Timbalan Presiden Pas, Mat Sabu yang dikatakan dilanggar kenderaan Pajero polis.
Beliau berkata Mat Sabu jatuh sendiri daripada motorsikal selepas melanggar pembahagi jalan dan bukan dirempuh oleh Land Rover polis seperti yang didakwa oleh pemimpin itu.
"Malah rakaman CCTV menunjukkan beliau terjatuh dari kenderaannya selepas terlanggar pembahagi jalan,” katanya.
"Menurut siasatan kami, Mat Sabu cedera ringan dan diberi rawatan unit pesakit luar. Kami tidak faham mengapa beliau perlu berkerusi roda. Kami tidak tolak kemungkinan mengambil tindakan ke atasnya,” katanya.
Dalam pada itu, Mat Sabu ketika dihubungi Tv Selangor menolak kenyataan polis itu dan bersedia membawa hal itu ke muka pengadilan.
"Perkara ini tidak seharusnya berlaku, sudah tentu polis (akan) menafikan (tindakan) polis. Perkara ini seharusnya dilaksanakan oleh jawatankuasa penyiasat(bebas), kalau tanya Polis memang mereka akan memberi kenyataan macam itu.
"Saya tak mahu buat apa-apa kenyataan (bersabit insiden itu) melainkan di mahkamah," kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan