KUALA LUMPUR — Ekspedisi Jejak Warisan Jawi II (JWJ II) akan mendokumenkan hasil misi mencari susur galur budaya Melayu termasuk menjejaki warisan budaya tulisan Jawi untuk menyedarkan generasi semasa terhadap warisan budaya orang Melayu.
Pengarah JWJ II Zaid Muhammad Mohd Rais berkata, beliau akan mengumpul semua gambar dan video yang diperoleh sepanjang ekspedisi mereka selama 25 hari.
“Saya akan membuat dokumentari untuk mengingatkan generasi kini supaya berterima kasih kepada ‘bumi emas’ (Malaysia) kerana mempunyai warisan budaya yang meluas.
“Saya telah membuat perbandingan budaya Melayu kita dengan budaya Melayu luar, mendapati budaya kita lebih meluas,” katanya selepas Majlis Pasca Ekspedisi JWJ II di sini malam tadi.
Bermula sejak pertengahan Mei lalu, ekspedisi disertai 35 orang yang berkonvoi telah mengharungi perjalanan sejauh 12,000 kilometer dengan menyusuri perkampungan Melayu di Semenanjung Malaysia, Thailand, Myanmar, Laos, Kemboja, Vietnam dan China.
Selain itu, pengarah ekspedisi ini juga berkata, ekspedisi JWJ II bersifat multi fungsi dan objektif.
“Kami bukan pergi untuk suka-suka, tetapi berfungsi sebagai pembawa dan mempersembahkan kajian warisan ini.
“Antara aktiviti yang dilakukan sepanjang ekspedisi adalah menjejak warisan budaya Melayu, memperkembangkan budaya Melayu, promosikan Malaysia, memberi bantuan kemanusiaan di setiap destinasi ekspedisi dan memberi motivasi pendidikan daripada pelajar Universiti Islam Antarabangsa,” katanya.
Program ini dianjurkan oleh Kelab Putera 1Malaysia, Majma’ Budaya dan Warisan Jawi (MBWJ) serta disokong oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.
Justeru, Zaid turut bercadang untuk mengadakan JWJ III yang akan menjejaki warisan di Kalimantan dan Sumatera pada 2013.
“Saya harap, kami mendapat sokongan dan penaja untuk meneruskan ekspedisi akan datang,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan