Banyak pengajaran yang mampu diperolehi negara daripada perhimpunan Bersih 2.0 yang berlangsung di ibu kota Kuala Lumpur pada Sabtu, 9 Julai lalu.B
agaimana sebuah perhimpunan aman bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil bertukar menjadi isu ‘keselamatan negara’ juga amat menarik untuk diulas.Apatah lagi perhimpunan aman itu hanya bertujuan menyerahkan memorandum kepada Ketua Negara, Yang di-Pertuan Agong berhubung syor-syor Bersih 2.0 bagi menambah baik sistem pilihan raya negara.
Bersih 2.0 sebenarnya adalah lanjutan daripada kempen sama yang dilancarkan pada 23 November 2006. Pada November 2007, perhimpunan Bersih pertama diadakan di Kuala Lumpur bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.
Empat tuntutan Bersih pada waktu itu adalah penggunaan dakwat kekal bagi mengelak pengundian berganda; pemansuhan undi pos kecuali bagi ahli-ahli diplomat dan pengundi-pengundi di luar negara; pembersihan senarai pemilih bagi memastikan nama-nama yang tidak sepatutnya berada di dalam senarai pemilih dikeluarkan; dan memastikan semua pihak yang bertanding diberi akses sama rata di dalam media milik kerajaan, terutama sekali televisyen dan radio.
Sebahagian tuntutan Bersih diambil perhatian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) termasuk penggunaan dakwat kekal pada kuku jari pengundi. Janji-janji dibuat untuk memenuhi tuntutan itu.
Bagaimanapun, menjelang pilihan raya umum 2008, SPR secara drastik memungkiri janjinya untuk menggunakan dakwat kekal atas alasan ‘keselamatan negara’. Akhirnya, pengerusi SPR sendiri mengakui cadangan penggunaan dakwat kekal itu dibatalkan atas arahan kabinet.
Kegagalan SPR bagi melaksanakan penambahbaikan dalam sistem pilihan raya dan tanda-tanda jelas menunjukkan suruhanjaya yang sepatutnya bebas itu dipengaruhi pihak eksekutif (pemerintah) melahirkan kembali Bersih pada 2009.
Ia adalah gabungan 62 badan NGO termasuk pertubuhan politik. Empat lagi tuntutan ditambah bagi kempen Bersih 2.0 iaitu masa berkempen minimum 21 hari; pengukuhan institusi awam; menghentikan rasuah; dan menghentikan politik kotor.
Pada awal kempen ini digerakkan, pengerusinya Ambiga Sreevenasan berpendirian bahawa Bersih 2.0 adalah pertubuhan bebas yang tidak dipengaruhi parti politik. Malah beliau juga membayangkan bahawa Bersih 2.0 tidak akan ke jalan raya seperti berlaku pada November 2007.
Bagaimanapun, rundingan demi rundingan yang gagal membuahkan hasil mendorong jawatankuasa pemandu Bersih 2.0 mengambil keputusan mengadu kepada Yang di-Pertuan Agong.
Bagaimanapun reaksi melampau pentadbiran Najib terhadap cadangan Bersih 2.0 untuk berhimpun di ibu negara pada 9 Julai 2011 memeranjatkan umum. Pelbagai bentuk kempen berbaur ugutan dilancarkan bagi menggagalkan perhimpunan itu.
Bagi mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong, Bersih 2.0 membatalkan program “Berjalan Untuk Demokrasi” dan bersetuju menerima cadangan Perdana Menteri bagi berhimpun di stadium. Bagaimanapun, sekali lagi kabinet berdolak-dalih dengan melarang pula Stadium Merdeka dan Stadium Bukit Jalil dijadikan tempat berhimpun.
Keputusan kabinet itu bagaimanapun tidak melunturkan semangat penyokong Bersih 2.0 untuk terus berhimpun di Stadium Merdeka. Hasilnya dunia menyaksikan bagaimana Kuala Lumpur dijadikan kawasan larangan pada 9 Julai dan seramai 91 individu dihalang masuk ke kawasan tertentu atas perintah mahkamah.
Atas dasar melaksanakan hak-hak mereka yang digariskan Perlembagaan, puluhan ribu rakyat tetap hadir di ibu kota mencari jalan ke Stadium Merdeka. Maka berlakulah insiden-insiden di mana rakyat pelbagai kaum yang berhimpun secara aman tanpa senjata menjadi mangsa tindakan ganas polis dengan lebih 1,600 orang ditahan.
Tertekan dengan bantahan dari dalam dan luar negara, pelbagai usaha dilakukan pentadbiran Najib untuk mengelakkan imej buruk di mata rakyat dan khalayak antarabangsa. Nampaknya ratusan juta ringgit yang dibelanjakan untuk mengupah Apcopcopco Worldwide bagi meningkatkan imej kerajaan BN sia-sia begitu sahaja akibat pendekatan primitif dan oppresive (menindas) rejim Najib dalam melayani suara rakyat.
Majoriti senyap yang sering diulang-ulang Najib kini sudah mula bersuara menyatakan kejengkelan mereka terhadap kepincangan sistem negara. Sasterawan, ahli akademik, ulama, doktor, profesional, anak muda dan rakyat daripada pelbagai golongan sudah berani menyatakan pendirian. Demokrasi nampaknya mula mengalir deras.
Semua ini tidak akan berlaku jika rakyat diberi hak untuk berhimpun secara aman selama tiga jam di Stadium Merdeka pada Sabtu, tanggal 9 Julai lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan