KUALA LUMPUR— Putrajaya harus dengan segera membebaskan kesemua pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM), yang ditahan di bawah Ordinan Darurat tanpa didakwa di mahkamah selain menggugurkan dakwaan ke atas 21 yang lain, kata badan pemantau antarabangsa Human Rights Watch.
Menurut maklumat terbaru kesemua enam mereka termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar ditahan kerana disyaki pihak utama mendalami perhimpunan Bersih 2.0 9 Julai lalu.
Maklumat akhir bulan lalu menyebut mereka ditahan kerana cuba melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong dan mahu menghidupkan semula fahaman komunis di negara ini.
Timbalan Pengarah Rantau Asia Human Rights Watch, Phil Robertson berkata kerajaan Malaysia telah menggantikan tuduhan-tuduhan jenayah palsu dengan penahanan pencegahan untuk menghalang pemimpin-pemimpin pembangkang.
“Enam (pemimpin) PSM seharusnya dibebaskan dengan segera sama ada mereka menganjurkan perhimpunan 9 Julai atau tidak,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Berdasarkan laporan media semalam, PSM mencabar dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz sama ada enam pemimpin terbabit ditahan di bawah Ordinan Darurat kononnya ada kaitan dengan usaha menghidupkan semula fahaman komunis.
Peguam PSM Edmund Bon berkata, perkara itu sangat jelas berdasarkan kandungan 37 afidavit yang diserahkan kepada parti itu kelmarin sebagai respons kepada permohonan habeas corpus, sekali gus menunjukkan polis hanya menyoal siasat keenam-enam mereka, didakwa mendalangi perhimpunan Bersih 2.0.
Selain Jeyakumar, mereka yang ditahan di bawah Ordinan Darurat ialah Sukumaran Munisamy, Letchumanan Aseer Patham, Choo Chon Kai, Sarasvathy Muthu dan Sarat Babu Raman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan