KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu menahan Ketua Pemuda PAS Dungun, Syeikh Mohamad Hanafi Abdul Aziz, dan enam lain kerana didakwa cuba bersuhabat menghasut orang ramai menyertai perhimpunan haram di Kuala Lumpur pada 9 Julai ini.
Ketua Polis Negeri, Datuk Jamshah Mustafa, berkata Syeikh Mohamad Hanafi, 38, ditahan di Jalan Alor Tembesu, Dungun, pada 6 petang Khamis lalu, kerana menghalang polis daripada menurunkan kain rentang yang dipasangnya di jalan berkenaan.
Katanya, lima lagi individu ditahan ketika mengedarkan risalah ceramah berkaitan perhimpunan itu selepas solat Jumaat di sebuah masjid di Dungun.
Jamshah berkata, polis turut merampas beberapa kain rentang, risalah, baju-T dan beberapa barangan lain yang digunakan untuk mempromosikan perhimpunan itu.
Katanya semua mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 27(5) Akta Polis, Seksyen 108 Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan 1948.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan