Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang tidak mahu terheret secara langsung dengan kontroversi Anugerah Ibrahim Ali yang ditawarkan kepada mahasiswa UiTM berkata menjadi kelaziman bagi universiti mendapatkan sumbangan daripada bekas pelajar mereka.
"Di (Universiti) Harvard, ia mengumpulkan berbilion dolar daripada bekas-bekas pelajarnya, kerana dia (pelajar) tahu dia dapat ilmu daripada institusi ini. Sekarang giliran dia pula untuk memulang balik (sumbangan).
"Jadi Ibrahim Ali pun sama. Dia pun nak pulang balik (sumbangannya). Jadi beliau menawarkan kepada pelajar-pelajar di UiTM sesiapa nak anugerahnya," katanya dalam satu sidang media.
Menurut Mohamed Khaled, anugerah tersebut bukan ditawarkan oleh pihak universiti, sebaliknya ditawarkan oleh presiden PERKASA itu sendiri.
Sehubungan itu, beliau berharap perkara tersebut tidak "digembar gembur".
Anugerah itu menawarkan RM5,000 yang ditaja oleh Ibrahim sendiri .
Bagaimanapun naib canselor UiTM, Datuk Profesor Sahol Hamid Abu Bakar dalam kenyataannya di Facebook berkata pihak universiti belum membuat sebarang keputusan berhubung cadangan Anugerah Ibrahim Ali itu.
Katanya lagi senat UiTM adalah badan yang kuat dan berkecuali dan mereka yang bakal menentukan sebelum sesuatu anugerah boleh diberikan,
“Di senat ada 60 orang professor, dekan-dekan dan rektor-rektor kampus. Masing-masing bertindak secara individu. Tidak boleh lobi. (Ia) satu badan yang kuat dan independent di UiTM,” katanya.
Menurut naib canselor itu, isu itu berlaku kerana Impak terlepas pandang dan membuat hebahan mengenainya di laman web mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan