SHAH ALAM : Setiausaha publisiti kebangsaan DAP, Tony Pua mendesak Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai agar mendedahkan kemajuan siasatan kementerian itu berhubung insiden di Hospital Tung Shin semasa perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu.
Tony Pua mengingatkan Liow bahawa parti itu telah menawarkan empat orang saksi ketika polis didakwanya menembak gas pemedih mata dan air bercampur kimia ke dalam perkarangan hospital, tempat peserta perhimpunan itu berlindung.
Keempat-empat mereka ialah ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching, ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong serta setiausaha politik kepada setiausaha agung DAP, Zairil Khir Johari dan beliau sendiri.
"Bagaimanapun, selepas menunggu selama seminggu, kami tak dengar apa-apa dari Liow atau kementeriannya, kecuali janji-janji yang berterusan secara lisan untuk menyiasat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Tony Pua turut menyuarakan kekecewaannya dengan Liow yang didakwanya "mengelak daripada tanggungjawab".
Tony Pua berkata, ini kerana tidak ada sebarang pengumuman maklumat mengenai "jawatankuasa tinggi" yang mahu ditubuhkan oleh kementerian tersebut bagi menyiasat perkara itu.
Tambahnya, beliau juga mempersoalkan ketiadaan maklumat seperti anggota jawatankuasa tersebut, terma rujukan dan garis masa untuk ia menjalankan siasatan.
Pada 11 Julai lalu, Lembaga Hospital Tung Shin memaklumkan bahawa insiden pelepasan gas pemedih mata dalam kawasan hospital berkenaan tidak berlaku ketika perhimpunan 9 Julai.
Bagaimanapun 11 doktor mendakwa sebaliknya.
Dalam satu kenyataan Rabu lalu, sekumpulan 11 doktor menegaskan mereka bersedia untuk menyediakan afidavit berkanun untuk mengatakan bahawa pihak polis ada melepaskan air berasid dan gas pemedih mata ke atas kawasan Hospital Tung Shin dan Bersalin Cina, Sabtu lalu.
Seramai 11 doktor menegaskan, mereka kecewa dengan tindakan polis itu tanpa mempedulikan keselamatan pesakit dan doktor.
Justeru, kenyataan itu bercanggah dengan respons Menteri Kesihatan yang telah menafikan polis ada melepaskan air berasid dan gas pemedih ke atas kawasan hospital, sebaliknya tambah beliau ia disebabkan oleh pergerakan angin pada masa kejadian.
Kenyataan media itu ditandatangani oleh Dr Musa Nordin, Dr Sheikh Johari Bux, Dr Ng Kwee Boon, Dr Ng Swee Choon, Dr Ronald Macoy, Dr David Quek, Dr Mary Cardozo, Dr Farouk Musa, Dr Mazeni Alwi, Dr Pixie Low dan Dr Steve Wong.
“Adalah menjijikkan pihak berkuasa yang diamanahkan tanggungjawab kepolisian menjaga negara dan melindungi mereka yang lemah, tanpa rasa malu menafikan perbuatan mereka secara umum, di sebalik kejadian itu disokong banyak gambar, video dan pengakuan saksi termasuk pemerhati berkecuali,” kata mereka dalam kenyataan itu.
Ekoran kenyataan mereka, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai memutuskan untuk mengadakan satu jawatankuasa inkuiri tahap tinggi bagi menyiasat insiden pihak polis menyasarkan Hospital Tung Shin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan