BERNAMA
Berikutan itu, pengurus harta Umno Kedah, Salleh Saad buat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar kira-kira pukul 10.50 pagi.
Logo Umno diconteng 'Jom Bersih', 'Bodoh'
Umno Negeri Kedah hari ini membuat laporan polis berikutan tindakan pihak tertentu menyembur cat dan menconteng logo Umno di Bangunan Tunku, Jalan Tunku Ibrahim di Alor Setar dengan perkataan 'Jom
Bersih' dan 'Bodoh'.
Pengurus Harta Umno Negeri Salleh Saad membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar kira-kira pukul 10.50 pagi.
Salleh berkata beliau dimaklumkan oleh pengawal keselamatan yang bertugas pada pukul 7.40 pagi ini mengenai perkara itu dan memaklumkan kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.
"Laporan polis ini dibuat bagi membolehkan polis menjalankan siasatan menyeluruh terhadap orang yang melakukan perbuatan itu," katanya pada pemberita selepas membuat laporan polis itu.
Perbuatan menyembur cat itu turut berlaku di sebuah kedai makan berhampiran bangunan Umno itu.
Pengurus sebuah restoran di situ, Naser Ahmad Parwez Ahmad berkata perkara itu dimaklumkan oleh pekerjanya Nor Azrah Mohd Shoeb pada kira-kira pukul 7 pagi yang terlihat perkataan itu.
Katanya perkataan 'Jom Bersih' dengan cat kuning tertera pada dapur membuat roti canai restoran itu dan menyifatkan perbuatan itu boleh menjejaskan perniagaannya.
Tinjauan Bernama mendapati selain bangunan Umno Kedah dan restoran itu, pondok bayaran tempat letak kereta berhampiran juga dicat dengan perkataan 'Jom Bersih'.
Sementara itu, Ahmad Bashah ketika dihubungi berkata beliau percaya perbuatan itu oleh golongan tertentu yang mahu melakukan provokasi terhadap Umno berikutan tindakan Umno menentang perhimpunan haram yang dirancang kumpulan pengacau pada 9 Julai ini.
Beliau menyifatkan tindakan itu menggambarkan sikap kumpulan itu yang pengecut.
Bernama difahamkan beberapa kejadian lain menyembur cat dengan perkataan "Bersih" turut dilaporkan di beberapa tempat di negeri ini, yang melibatkan kenderaan orang ramai, mesin ATM dan pintu jeriji di Stadium Darul Aman di Alor Setar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan