Pemuda UMNO yang diketuai Lokman Noor Adam sekali lagi menjejak langkahnya ke Merchant Square, bangunan ibu pejabat PKR untuk membuat laporan polis - menafikan bahawa dirinya pernah mengugut untuk membakar ibu pejabat PKR dan mencederakan Anwar Ibrahim serta Ambiga Sreenevasan, pada malam 27 Jun 2011.
Kedatangan kumpulan Pemuda UMNO dengan pakaian merah "Patriot" dan "1Malaysia" ini dilihat sebagai provokasi oleh AMK. Justeru itu, AMK turut mengerah tenaganya untuk hadir di bangunan ibu pejabat PKR dan "menyambut" kedatangan Pemuda UMNO. Kira-kira 10 orang FRU berada di situ untuk memisahkan antara AMK dengan Pemuda UMNO.
AJK Pusat Pemuda UMNO Lokman Noor Adam membuat laporan polis di balai yang berdekatan dengan ibu pejabat PKR, menafikan tudahan bahawa dirinya pernah membuat ugutan membakar ibu pejabat PKR dan mencederakan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim, dan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0), Ambiga Sreenevasan.
Lokman Adam menegaskan bahawa ia adalah fitnah, dan beliau telah melantik peguam untuk menyaman Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution, menuntut pampasan RM500 ribu dan 99 sen. "500 ribu dan 99 sen, 500 ribu kerana menyusahkan saya dan 99 sen sebagai nilai diri Saifuddin sebagai pembohong besar," katanya.
Malah Lokman Adam mencabar agar Saifuddin Nasution menyerahkan video yang didakwanya sebagai bahan bukti beliau membuat ugutan.
Lokman menambah, "Kita pergerakan Pemuda UMNO dan pergerakan BN tahu bahawa bangunan ini bukan bangunan PKR, bangunan ini milik Dato Soh Chee Wen. Dato Soh Chee Wen ini sekarang berlaga angin dengan Anwar Ibrahim. Takkan kita nak bakar bangunan yang dimiliki oleh musuh Anwar? Musuh Anwar kawan kita."
Turut hadir menemani Lokman Adam termasuk Ketua Penerangan Pemuda UMNO Reezal Merican Naina Merican, Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan Rizalman Mokhtar, dan Ketua Pemuda Negeri Selangor Ungku Salleh.
Reezal Merican (gambar kiri) yang tidak berpuas hati dengan gelaran "mamak" yang dijerit oleh AMK di situ, dan beliau menuduh AMK "keterlaluan". Reezal berkata, mereka memilih untuk membuat laporan di balai polis yang bersebelahan dengan ibu pejabat PKR kerana sedar bahawa tujuan PKR menyokong perhimpunan anjuran BERSIH 2.0 adalah untuk menggulingkan kerajaan.
Beliau berkata, TV3, Bernama dan Astro Awani telah menyiarkan klip video bahawa Ketua AMK Shamsul Iskandar pernah berkata, "Kalau tak boleh nak gulingkan kuasa secara pilihanraya, maka gulingkan secara jalanraya!"
Provokasi Pemuda UMNO
Di samping itu, Ketua Penerangan AMK Lee Khai Loon ketika berkata kepada MerdekaReview, melihat tindakan Pemuda UMNO sebagai provokasi. Beliau berkata, balai polis ada di mana-mana, mengapa pula Pemuda UMNO memilih untuk membuat laporan polis di balai yang bersebelahan dengan ibu pejabat PKR?
"Jelas, Patriot yang ditunjangi Pemuda UMNO dengan sengaja datang untuk memprovokasi PKR tadi. Anda boleh lihat, banyak balai polis yang mereka tidak mahu pergi, tetapi memilih untuk membuat laporan di balai polis yang bersebelahan dengan ibu pejabat PKR. Jelas mereka berharap agar konflik tercetus, membawa ketidaktenteraman kepada ibu pejabat kami."
"Tak kiralah apa yang mahu dilakukan, nak saman di mahkamah, nak tuntut pampasan dari pemimpin kami, perkara ni boleh dilakukan di banyak tempat, tidak perlu datang ke sini," kata Lee Khai Loon.
Selain itu, Lee Khai Loon berkata, daripada apa yang ditunjukkan polis pada hari ini, polis sememangnya boleh mengawal tatatertib. "Patriot" yang berpakaian merah tidak mengakibatkan huru-hara dan kesesakan lalu lintas, katanya. Justeru itu, beliau berharap agar polis tidak mengamalkan double standard, dan memastikan perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011 dijalankan dengan lancar.
Baca: Pemuda UMNO ugut bakar ibu pejabat jika PKR tetap sertai BERSIH 2.0
*Chan Wei See ialah Ketua Pengarang MerdekaReview, Disedut, sunting dan diterjemah dari teks asal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan