PUTRAJAYA — Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan gabungan Bersih 2.0 masih kekal haram meskipun sekretariat itu telah mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong semalam, sekali gus mengisytiharkan telah membatalkan perhimpunan jalanan Sabtu ini.
Bagaimanapun Menteri Dalam Negeri ini berkata Bersih 2.0 masih boleh memohon mendapatkan permit menggunakan cara lain.
“Tidak, mereka masih haram, tidak sah. Tiada siapapun mengatasi undang-undang. Hanya kerana Tuanku bertemu mereka, tidak bermakna mereka sudah tidak haram lagi,” kata beliau (gambar) pada sidang media hari ini.
“Mereka tidak perlu memohon atas nama Bersih,” katanya.
Semalam Bersih menerima tawaran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar perhimpunan mereka diadakan di stadium.
Katanya, Bersih masih dianggap sebagai sebuah badan haram oleh Pendaftar Pertubuhan atas nasihat Peguam Negara dan akan kekal sedemikian kecuali Pendaftar Pertubuhan memutuskan sebaliknya.
Justeru kata Hishammuddin, kemeja-T juga satu barang yang dilarang dan undang-undang terpakai ke atas mereka yang ditahan di seluruh negara sejak dua minggu lalu.
Kata Hishammuddin sekiranya Bersih 2.0 berjaya dalam permohonannya dalam menggunakan stadium, kerajaan akan menyediakan perkara yang perlu bagi perhimpunan tersebut.
“Sudah tentu kami akan membenarkan. Tujuannya ialah membenarkan mereka menyuarakan rintihan mereka.
“Ini harus dilihat sebagai langkah ke depan yang positif,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan