Ahli parlimen Kota Kinabalu, Dr Hiew King Cheu (kiri), yang merasakan bahawa tindakan ini akan dapat membantu rakyat untuk membaiki taraf hidup mereka melalui sektor pertanian, dan secara tidak langsung turut menyumbang kepada ekonomi negeri.
“Kerajaan Sabah seharusnya membenarkan rakyat menggunakan tanah negeri yang luas untuk menanam lebih banyak tanaman pertanian. Terdapat lebih kurang dua juta ekar tanah terbiar dan tidak produktif. Ia telah ditumbuhi dengan semak-samun dan belukar,” katanya.
Beliau memberikan cadangan ini setelah merasakan bantuan kerajaan persekutuan, melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, adalah tidak memadai untuk meningkatkan sektor pertanian di daerah Kudat ke tahap yang lebih tinggi.
Semasa persidangan parlimen bulan lalu, Hiew mengemukakan soalan kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok, mengenai cara-cara kerajaan untuk membantu penduduk di daerah Kudat, khususnya dalam pemprosesan buah kelapa sawit serta bantuan peruntukan yang diberikan untuk produk-produk pertanian yang lain
Dompok (kanan) dalam jawapan bertulis beliau menjelaskan bahawa terdapat 10 syarikat yang akan membeli hasil kelapa sawit daripada pekebun-pekebun kecil di daerah tersebut. Selain itu, terdapat dua buah kilang pemprosesan yang akan memproses hasil-hasil kelapa sawit tersebut.
Tidak memadai
Manakala bantuan-bantuan lain yang diberikan dan meliputi seluruh negara menurut Dompok lagi adalah; menyediakan bantuan bagi penanaman semula getah bagi RISDA sebanyak RM9, 230 bagi setiap hektar di semenanjung Malaysia, RM13, 000 setiap hektar bagi Sarawak dan RM14, 000 bagi Sabah untuk tempoh masa selama lima tahun.
Selain itu, bantuan untuk penanaman semula kelapa sawit bagi pekebun-pekebun kecil adalah sebanyak RM7,000 bagi satu hektar; dan pemegang kecil diberikan jumlah yang sama iaitu RM7,000 bagi setiap hektar di bawah skim penanaman minyak kelapa sawit yang baru.
Walaubagaimanapun, di sebalik semua bantuan ini, Hiew berpendapat bahawa ia masih tidak memadai sekiranya kerajaan negeri Sabah benar-benar serius hendak meningkatkan sektor pertanian di daerah tersebut ke tahap yang lebih tinggi.
Katanya bahawa kerajaan negeri juga perlu melakukan sesuatu dengan membuka tanah-tanah terbiar di daerah tersebut agar ianya dapat dimanfaatkan, selain bantuan-bantuan yang diberikan.“Terdapat ramai rakyat Sabah yang berkeupayaan untuk membuat kerja-kerja penanaman tetapi tidak mempunyai tanah.
"Bayangkan sahaja jika jutaan ekar tanah terbiar tersebut dibuka oleh mereka dengan bantuan kerajaan, berapakah jumlah pendapatan yang akan diperolehi oleh negeri dan juga rakyat?
"Jumlah ini tentunya amat besar dan boleh membawa progress yang banyak terhadap daerah Kudat,” ujar beliau yang juga Penasihat DAP.
Secara percuma
Beliau seterusnya memberi penekanan mengenai polisi tanah di Sabah yang perlu diubah, agar rakyat Sabah yang berkelayakan, dapat menggunakan tanah-tanah kerajaan yang terbiar tersebut secara percuma.Penggunaan tanah-tanah tersebut hendaklah berdasarkan pajakan yang tidak boleh dipindah untuk suatu keadaan khas dan untuk suatu tempoh masa penggunaan, dan ianya tidak dibenarkan untuk dijual atau dicagarkan kepada institusi kewangan, cadang Hiew.
“Ia hanya dibenarkan untuk permohonan peribadi, manakala saiz tanah yang dipohon hendaklah tidak lebih daripada 20 ekar supaya ramai rakyat Sabah yang tidak bertanah boleh memohon untuk sebidang tanah untuk dikerjakan.”
Mengenai kemasukkan syarikat-syarikat besar ke daerah Kudat dan Kota Marudu beliau berkata, orang-orang kampung lebih memerlukan tanah-tanah tersebut bagi meningkatkan hasil ekonomi dan taraf hidup mereka.
“Mengapa tanah-tanah ini tidak diberikan sahaja kepada orang-orang kampung supaya mereka dapat melakukan sesuatu terhadap tanah tersebut dan menambahkan pendapatan mereka?” katanya.
Beliau juga mempersoalkan mengapa perlunya syarikat-syarikat besar datang ke daerah Kudat dan Kota Marudu dan mengambil tanah daripada orang kampung.
Ketika ini, sebanyak 7026 hektar tanah di daerah Kudat telah ditanam dengan kelapa sawit, dan kebanyakkanya yang mengusahakanya adalah terdiri daripada para pekebun-pekebun kecil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan