KUALA LUMPUR— Datuk Seri Najib Razak akan mengadakan pertemuan dengan Pope Benedict XVI di Rom pada 18 Julai ini dalam usaha mewujudkan hubungan diplomatik dengan ketua Gereja Roman Katolik, kata sumber.
The Malaysian Insider difahamkan lawatan peribadi perdana menteri ini bertujuan membantu memperbaiki hubungan yang menegang ekoran siri isu termasuk tindakan perundangan Gereja Katolik untuk menggunakan kalimah “Allah” dalam penerbitan mereka.
Pope Benedict ialah ketua Gereja Roman Katolik. — Gambar Reuters
“Ia lawatan peribadi, sebagai seorang individu. Ia bukan lawatan rasmi... kerana tiada hubungan diplomatik (dengan Malaysia),” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.
Sumber-sumber juga memberitahu Najib akan ditemani pegawai-pegawai kerajaan termasuk dari Kementerian Luar dan Gereja Roma Katolik Malaysia, diketuai oleh Ketua Biskop Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam.
Malaysia merupakan antara 17 negara yang Vatican belum mempunyai hubungan formal meskipun gereja sudah lama wujud di negara ini.
Daripada 17 negara itu, sembilan adalah negara Islam manakala empat lagi merupakan kerajaan komunis termasuk China, Korea Selatan, Laos dan Vietnam.
Satu sumber lain, yang tidak mahu identitinya didedahkan berkata, pertemuan itu tidak akan berlangsung di Vatican tetapi kediaman musim panas pope di pinggir ibu negara Itali.
Sumber-sumber berkata, Najib telah meminta pertemuan dengan Benedict atas kapasiti peribadi beliau. Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mengadakan lawatan kerja ke Vatican sembilan tahun lalu.
Dr Mahathir merupakan perdana menteri pertama mengadakan pertemuan dengan ketua Vatican sebelum ini iaitu mendiang John Paul II pada 6 Jun 2002 ketika mengadakan kunjungan ke Switzerland dan Luxembourg.
Bagaimanapun lawatan Najib ini dikritik sesetengah pihak sebagai “usaha” mendapatkan sokongan Kristian menjelang pilihan raya umum.
Komuniti Kristian di Malaysia dipercayai kira-kira 10 peratus daripada 28 juta penduduk dengan penganut Roman Katolik sahaja mencecah sejuta orang.
Kunjungan ini diadakan di sebalik siri isu yang menyentuh komuniti Kristian termasuk keputusan Putrajaya mengehadkan pengimportan Alkitab, kitab dalam Bahasa Malaysia, yang diimport dari Indonesia.
Mei lalu, media dikawal Umno-BN mendakwa ada usaha di kalangan komuniti Kristian untuk menjadikan Islam sebagai agama rasmi dan melantik wakil mereka sebagai perdana menteri satu hari nanti.
Terbaru, akhbar Utusan Malaysia juga mendakwa masyarakat Kristian bergandingan dengan ejen-ejen komunis dan ahli politik pembangkang untuk menggulingkan kerajaan di sebalik perhimpunan anjuran Bersih 2.0 hujung minggu ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan