HALAMAN SANTAI

Sabtu, 2 Julai 2011

Patriot kepada BERSIH 2.0: Jumpa pada 9 Julai di jalan raya!

Chan Wei See


Pemuda UMNO yang bakal turun ke jalan raya atas nama "Patriot" mendakwa diri mereka mewakili "majoriti yang berdiam diri" (silent majority), malah menegaskan bahawa sekiranya BERSIH 2.0 tetap mahu berdemonstrasi, maka Patriot akan berjumpa dengan mereka di jalan raya!

"Kami turun pada 9 Julai atas dasar nak mempertahankan negara dan tanahair," kata Ketua Penerangan Pemuda UMNO Reezal Merican Naina Merican, "We are the representative of the silent majority!"

Reezal Merican tetap menganggap bahawa PKR cuba menggulingkan kerajaan yang sedia ada dengan perhimpunan BERSIH 2.0, dan menubuhkan kerajaan haram kemudiannya. Beliau berkata, daripada adegan yang disiarkan TV3, Bernama dan Astro Awani, Ketua AMK Shamsul Iskandar memang pernah berkata, "Kalau tak boleh nak gulingkan kuasa secara pilihanraya, maka gulingkan secara jalanraya!"

Reezal Merican mempersoalkan, "Apa maksudnya? Nak merampas hak rakyat, merampas demokrasi, kuburkan perlembagaan, apakah orang muda seperti Patriot nak berdiam diri, tidak mempertahankan hak majoriti rakyat?"

Wawancara ringkas ini dijalankan selepas Patriot membuat laporan polis di Merchant Square, semalam. Wartawan MerdekaReview mempersoalkan mengapa kenyataan Shamsul Iskandar dijadikan pendirian BERSIH 2.0, sedangkan perhimpunan ini dianjurkan BERSIH 2.0 dan bukan PKR?

Reezal berkata, "Shamsul (gambar kiri) sebut BERSIH dalam ucapannya. Kemudian, Anwar kata dirinya boleh mengarahkan Ambiga (Pengerusi BERSIH 2.0) untuk membatalkan perhimpunan. Apa maksudnya? Ia menyampaikan satu mesej yang jelas, beliau (Ambiga) ada hubung kait dengan Anwar."

Wartawan kemudian berkata Ambiga telah menafikan bahawa BERSIH dikawal Anwar. Reezal berkata, pemimpin Pakatan Rakyat seperti Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu juga menyertai BERSIH.

"Biar saya tanya kamu... Mereka mempunyai 79 kerusi, mengapa tidak sekalipun mereka membawa usul untuk meminda Akta Pilihan Raya? Meminda Akta Pilihan Raya adalah tuntutan tertinggi mereka. Seandainya mereka mengemukakan usul ini, dan kemudian dinafikan Barisan Nasional atau majoriti ahli parlimen, maka mereka ada alasan untuk membawa ke jalan raya."

Beliau meneruskan, "Keduanya, mengapa BERSIH tidak membuat (perhimpunan) di negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat? Mengapa tidak buat di Pulau Pinang? Kamu boleh buat bila-bila sahaja di Pulau Pinang dan Selangor."

Polis boleh tangkap mereka yang berpakaian merah jika bersalah

Ketika diajukan soalan sama ada Reezal bersetuju dengan tindakan polis yang menangkap mereka yang berpakaian kuning, beliau berkata, "Polis semestinya menangkap berdasarkan maklumat yang dikumpul. Seandainya mereka tidak (bersalah), mereka boleh membela diri di mahkamah."

"Ketika penangkapan, ada baju, ada slogan, ada bunyi. Ada suara yang besar menunjukkan mereka adalah sebagaimana yang dituduh," katanya.

Wartawan terus bertanya, "Patriot akan berdemonstrasi pada hari yang sama. Mereka akan berpakaian merah. Tetapi polis tidak menangkap mereka. Apakah anda rasa polis mengamalkan double standard?"

Reezal berkata, "Seandainya polis menangkap atas niat yang baik, seandainya siapa-siapa 'Patriot' yang melanggar undang-undang, maka tangkaplah mereka, tak ada masalah. Namun kami turun pada 9 Julai bukan untuk menggulingkan negara, bukan untuk create huru-hara, bukan untuk menafikan hak silent majority."

"Kami berada di situ demi majoriti yang berdiam diri, mempertahankan hak mereka. Pada masa yang sama, kami nak beritahu majoriti yang berdiam diri, suara kamu didengar, kerana kami adalah majoriti yang berdiam diri."

Wartawan menyusul dengan soalan sama ada beliau menghormati kebebasan berhimpun? Reezal berkata, SUHAKAM telah bersuara dalam hal ini, dan beliau menganggap isu ini boleh dibincangkan, dan tujuan mereka turun ke jalan raya pada kali ini adalah untuk menafikan suara pengkhianat negara.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan Rizalman Mokhtar memohon permit perhimpunan daripada polis, untuk mengadakan perhimpunan sebagai bantahan terhadap himpunan BERSIH 2.0. Reezal berkata mereka belum mendapat maklumat selanjutnya daripada pihak polis setakat ini.

*Chan Wei See ialah Ketua Pengarang MerdekaReview. Disunting dan diterjemah dari teks asal.

Tiada ulasan: