| Harakahdaily |
| SUNGAI SIPUT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hendaklah menegakkan undang-undang negara terutamanya Perlembagaan Persekutuan dan bukannya secara membuta tuli mendewakan dan mengikut arahan menteri yang mempunyai kepentingan politik.
“Tidak ada undang-undang lain yang lebih tinggi di negara kita melainkan Perlembagaan Persekutuan. Tidak ada orang yang lebih tinggi kedudukannya daripada Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada majlis ceramah PAS di Pekan Karai, dekat sini, kelmarin. Katanya, kuasa Perlembagaan Persekutuan itu tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak. “Perkara 1(1) Perlembagaan inilah yang memberi nama bagi negara kita yang dikenali sebagai ‘Malaysia’,” jelasnya. Menurutnya, undang-undang itu mewujudkan satu persekutuan yang terdiri daripada semua negeri-negeri dan wilayah-wilayah persekutuan di negara ini. Jelasnya lagi, mengikut Perkara 4(1), Perlembagaan itu adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu. “Perkara ini mengesahkan bahawa Undang-undang inilah yang paling tinggi dalam menentukan corak pentadbiran negara dan hak asasi rakyat. “Jika kita meneliti Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan iaitu hal berhubung dengan hak asasi manusia, semua warganegara adalah berhak berhimpun secara aman dan dengan tidak bersenjata,” katanya. Dalam erti kata yang lain, ujarnya hak untuk berhimpun merupakan hak asasi rakyat yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan. Tambahnya, tidak ada pihak yang patut mencabar atau menafikan hak rakyat ini. Tetapi, katanya Kerajaan BN telah melampaui batas dengan menafikan hak rakyat untuk berhimpun secara aman semata-mata untuk menjamin keselesaaan dan kepentingan politik mereka. Beliau berkata, arahan yang tidak munasabah dan tidak berperlembagaan telah dikeluarkan oleh Datuk Seri Hishammudin selaku Menteri Dalam Negeri untuk menangkap mereka yang membuat persediaan untuk berhimpun secara aman. Adun Tronoh itu menambah, tindakan mematahkan persediaan untuk berhimpun secara aman adalah sesuatu yang tidak menepati Perlembagaan Persekutuan. Katanya, segala usaha untuk menggunakan kekerasan hanya dilakukan oleh pihak kerajaan dengan menggunakan PDRM dan bukannya oleh pihak-pihak yang mahu berhimpun secara damai. Menurutnya, segala tindak-tanduk polis yang dilakukan atas arahan pihak-pihak tertentu telah menjengkelkan hati rakyat. Pihak polis juga, ujarnya harus menegakkan undang-undang negara terutamanya Perlembagaan Persekutuan dan bukannya secara membuta tuli mendewakan dan mengikut arahan menteri yang mempunyai kepentingan politik. “Jika polis juga terpengaruh dengan diayah politik kotor dan bersubahat dengan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional dan menafikan hak rakyat, maka ini akan membawa kepada ketirisan terhadap nama baik PDRM itu sendiri,” katanya lagi. Justeru, ujarnya PDRM harus mengutamakan dan mengangkat panji-panji rukun negara yang ketiga dan keempat iaitu ‘Keluhuran Perlembagaan’ dan ‘Kedaulatan Undang-undang’. |
HALAMAN SANTAI
Selasa, 5 Julai 2011
PDRM perlu utamakan Rukun Negara
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan