MALAYSIA KINI
Penunjuk perasaan berarak ke sebuah pusat tahanan imigresen Australia hari ini kerana membantah perjanjian dengan Malaysia, di mana beratus-ratus pelarian bot akan dipindahkan ke negara Asia.Kerajaan Australia minggu ini dijangka menandatangani perjanjian tersebut di Kuala Lumpur di mana Malaysia akan mengambil 800 pemohon suaka yang tiba di Australia dengan bot dalam pertukaran untuk penempatan semula 4,000 pelarian mereka.
Perjanjian yang dicadangkan itu, yang dikecam kerana Malaysia tidak menandatangani konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai pelarian, adalah sebahagian daripada usaha Canberra untuk mencari penyelesaian serantau terhadap masalah penyeludupan manusia.
Kira-kira 200 orang membantah perjanjian tersebut di luar pusat tahanan imigresen Villawood, Sydney hari ini.
"Kami di sini untuk mengatakan 'tidak' kepada penyelesaian Malaysia," kata Ian Rintoul dari Gabungan Tindakan mengenai Pelarian. "Ia akan melanggar hak asasi manusia 800 pemohon suaka yang datang ke sini."
Kerajaan Australia telah berkata perjanjian itu bertujuan untuk menghentikan pelarian yang mempertaruhkan nyawa mereka cuba datang ke Australia dengan menaiki bot, dan sejak ia diumumkan pada awal Mei, terdapat "penurunan yang sangat signifikan" dalam kedatangan pemohon suaka.
"Kira-kira 500 orang telah tiba, berbanding dengan sekitar 1,700 dalam tempoh yang sama tahun lalu, " kata Menteri Dalam Negeri, Brendan O'Connor.
"Jadi kami sudah dapat melihat, saya fikir, kesan daripada pengumuman tersebut."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan