HALAMAN SANTAI

Ahad, 24 Julai 2011

Rais anggap pihak mahu hidupkan komunisme golongan sesat

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR– Golongan yang tertarik terhadap fahaman komunisme dan mahu mewujudkan kembali fahaman itu di negara ini adalah golongan yang sesat, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Justeru, beliau berkata masyarakat tidak harus melayan atau terpengaruh dengan golongan tersebut yang disifatkannya sebagai golongan yang tidak memahami sejarah negara.

“Gerakan menentang komunisme mesti menyeluruh di Malaysia ini sebab ianya telah diputuskan oleh sistem perundangan dan sistem demokrasi iaitu pelaksanaan atau pewujudan Parti Komunis Malaya adalah haram,” kata beliau dipetik Bernama Online.

“Sebab itu, apa-apa ajaran dan amalan yang dikemukakan oleh mereka perlu dianggap haram dan tidak boleh diamalkan di negara kita,” katanya selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) kali ke-35 di sini.

Sehubungan itu, beliau berkata, amat perlu bagi semua pihak, termasuk bekas anggota pasukan polis, memainkan peranan dalam menerangkan kepada masyarakat terutama di kawasan luar bandar tentang agenda golongan tersebut.

Rais berkata, kementeriannya juga bercadang menggunakan khidmat bekas anggota polis yang mempunyai pengalaman luas dan hubungan baik dengan masyarakat untuk menerangkan kepada masyarakat tentang perkara itu.

Tiada ulasan: