| SHAH ALAM: Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor bersedia dengan semua kelengkapan dan prasarana dalam usaha merealisasikan konsep perumahan mampu milik di seluruh negeri.
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hari ini menganjurkan Seminar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangor 2011 disempurnakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Turut membentangkan kertas kerja utama dalam seminar sehari itu adalah Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Ir Iskandar Abdul Samad bertajuk Dasar dan Hala Tuju Perumahan Mampu Milik Selangor.
Menurut Pengurus Besar PKNS, Othman Omar, seminar ini adalah lanjutan pengumuman Menteri Besar pada 3 Jun lalu bagi memahamkan semua pihak tentang konsep sebenar Perumahan Mampu Milik.
“Program perumahan mampu milik ini adalah usaha Kerajaan Negeri Selangor menyediakan perumahan selesa, selamat dan tersusun tanpa membebankan rakyat, sejajar dengan kemampuan pendapatan mereka.
“Keutamaan diberikan kepada golongan muda yang baru menceburi bidang pekerjaan, warga emas malah Orang Kelainan Upaya (OKU).
“Projek perintis bagi konsep ini telah pun menjadi realiti di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi melibatkan pembinaan 124 unit pangsapuri di kawasan seluas 4 ekar di mana Menteri Besar meletakkan batu asas pada 3 Jun lalu,” jelasnya.
Menurutnya, ini adalah konsep baru di mana pendekatan dari segi pembangunan fizikal dan insaniah dititikberatkan untuk mewujudkan komuniti berintergrasi dengan semangat kejiranan tinggi.
Katanya, pembangunan fizikal termasuk menyediakan kemudahan awam seperti surau, dewan orang ramai, taman didikan kanak-kanak, perpustakaan, pusat tuisyen, kedai, padang permainan, taman rekreasi, kawasan bercucuk tanam, pejabat pengurusan serta lorong pejalan kaki berbumbung.
Unit-unit kediaman dibina dalam pelbagai tingkat dan keluasan, turut disediakan unit-unit khas bagi warga emas, OKU, ibu tunggal dan keluarga tiada punca pendapatan.
Pembangunan insaniah pula menitikberatkan ciri-ciri reka bentuk kondusif dan ekonomikal, unit pangsapuri untuk warga emas dan OKU dengan reka bentuk menepati syarat serta kawasan hijau melebihi keperluan perancangan biasa bagi membolehkan penduduk bertanam cucuk. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan