Ditulis oleh Shakira Buang
KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menggunakan nada Umno-Barisan Nasional(BN) apabila membidas Bersih sebagai perhimpunan yang bertujuan membina momentum Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya.
Menurut Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar, perhimpunan pertama BERSIH pada 2007 berjaya menyebabkan tsunami politik pada pilihan raya umum 2008.
“Terdapat demonstrasi (pada 2007) dan hasilnya, momentum dibina dan pada pilihan raya 2008 (pembangkang) menang besar... sekarang spekulasi bahawa pilihan raya umum akan diadakan bila-bila masa dan sejarah akan berulang.
“(Mereka fikir) jika kita adakan BERSIH 2.0 dengan lebih ramai penyokong, momentum akan berterusan dan kemungkinan akan dapat menang Putrajaya,” katanya pada forum bertema “Tuntutan Bersih, apa penjelasan SPR” hari ini.
Awal minggu ini, Perdana Menteri Najib Tun Razak mengatakan Pakatan menganjurkan Bersih 2.0 kerana ingin merampas momentum memenangi pilihanraya yang kini berpihak kepada beliau.
Najib turut mempertahankan SPR sebagai sebuah badan berwibawa dan menolak keperluan mengadalah perhimpunan aman Bersih pada 9 Julai untuk menuntut pilihanraya yang adil dan telus.
SPR adalah sebuah badan yang sepatutnya berkecuali dalam mengendalikan pilihanraya negara ini namun badan itu dan sistem pilihanraya sendiri dicemari dengan pelbagai tuduhan ia berat sebelah kepada kerajaan.
Antaranya ialah ketelusan undi pos, isu pengundi hantu dan pemberian kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi Umno-BN.
Pada tahun 2008, SPR bersetuju menggunakan dakwat kekal untuk mengatasi masalah pengundian bertindih namun langkah itu dibatalkan sebelum PRU ke 12 meskipun dibantah oleh pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan serta badan pemantau pilihanraya.
Diforum pagi tadi, Wan Ahmad meletakkan syarat hanya akan berunding dengan Bersih jika Presidennya Ambiga Sreenevasan menyisihkan gerakan itu daripada parti pembangkang.
"Saya minta Ambiga jauhkan diri daripada parti politik dan mempermantapkan agendanya.
"Jika BERSIH mengasaingkan diri daripada parti politik, maka kita boleh jumpa BERSIH sebagai anggota masyarakat sivil kerana agendanya adalah untuk kebaikan semua pihak,” kata Wan Ahmad.
Ambiga sebelum ini menggesa semua parti politik untuk turun menyertai Bersih kerana tuntutan untuk pilihanraya adil dan telus akan memberi manfaat kepada semua pihak.
Undangan itu bagaimanapun ditolak oleh Umno-BN namun disokong oleh Pakatan Rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan