HALAMAN SANTAI

Jumaat, 22 Julai 2011

Transparency: Orang ramai perlu yakin keputusan s'jaya

BERNAMA


Orang ramai perlu yakin dan percaya dengan keputusan Suruhanjaya Diraja Menyiasat berhubung punca kematian Teoh Beng Hock kata Presiden Transparency International-Malaysia (TIM) Datuk Paul Low.

NONE"Kita perlu yakin dan percaya dengan keputusan suruhanjaya berkenaan kerana ia dianggotai mereka yang berintegriti," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Bengkel Sistem Integriti Korporat Malaysia di Putrajaya hari ini.

Suruhanjaya berkenaan memutuskan kematian Teoh, 30, setiausaha politik kepada exco Selangor Ean Yong Hian Wah, adalah akibat perbuatan membunuh diri.

Mayat Teoh, 30, ditemui di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terletak di tingat 14 bangunan itu.

Keputusan mengenai punca kematian Teoh itu terkandung dalam laporan setebal 124 muka surat prosiding di depan panel lima anggota diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen.

Empat lagi anggota panel suruhanjaya itu ialah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman; bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan; Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh; dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik yang juga Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Bagaimanapun, Low berkata cara siasatan SPRM dikendalikan perlu dirombak.

NONE"Ini bagi memastikan ia dilakukan secara profesional dan dengan cara yang betul.

"Sekiranya mereka melanggar prosedur standard operasi (SOP), maka berdasarkan prosedur disiplin SPRM, tindakan sewajarnya perlu diambil," katanya merujuk kepada anggota SPRM yang menyoal siasat Teoh.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pendidikan Pencegahan Rasuah Malaysia (PPPRM) Datuk Shahrul Nizam Yunos berkata semua rakyat Malaysia perlu menerima keputusan tersebut tanpa sebarang prejudis kerana ia dibuat oleh sebuah suruhanjaya yang telus, berkaliber dan yang paling penting, dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Beliau berkata kelemahan SPRM dalam menjalankan siasatan bukan punca utama mendiang Teoh mengambil keputusan drastik untuk membunuh diri.

"Pada pendapat saya, beliau (Teoh) adalah seorang yang gagal menyerap tekanan. Kalau dilihat, bukan beliau sahaja yang pernah disiasat SPRM, malah beribu-ribu rakyat Malaysia pernah disiasat SPRM, dan mereka ini semua berjaya melalui proses itu.

"Apa yang dapat dilihat di sini, dan boleh ditafsir, bahawa kemungkinan mendiang juga mahu menyelamatkan maruah mereka yang pernah berjasa kepadanya dengan menjadi wira kepada majikan yang selama ini membantu beliau," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shahrul Nizam berkata SPRM tidak harus dijadikan korban bagi merealisasi cita-cita sesetengah pihak untuk berada di tampuk pemerintahan.

"Saya ingin merayu kepada pihak-pihak yang mempunyai agenda politik dalam membahaskan isu kematian Teoh ini, tolong keluarkan SPRM daripada senarai mangsa politik sempit mereka," katanya.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner Shah Alam, yang mengendalikan inkues berhubung perkara itu, membuat keputusan terbuka.

Suruhanjaya itu bersidang selama 50 hari mulai 14 Februari hingga 10 Mei, dan mendengar keterangan 70 saksi.


Tiada ulasan: