HALAMAN SANTAI

Khamis, 24 November 2011

4 peristiwa ‘hitam’ 100 hari rektor baru UIA

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Sehingga kini, dalam tempoh kurang lebih 100 hari di bawah pentadbiran Prof. Datuk Seri Dr. Zaleha Kamaruddin selaku rektor telah berlaku sekurang-kurangnya empat peristiwa ‘hitam’ yang sangat mengecewakan warga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan telah menjatuhkan serta memalukan nama baik universiti pada pandangan umum.

Pengerusi Pro-M (Wufi) UIAM, Muhammad Hafizuddin M. Noor berkata, bermula dengan kes Ustaz Azhar Idrus dilarang berkuliah di dalam Masjid UIAM, pembatalan penyertaan Presiden SRC-IIUM sebagai panel dalam program Hujah TV 9, Prof. Dr. Aziz Bari digantung tugasan dan dikenakan siasatan, dan terkini program In Person with Dato’ Saifudin dibatalkan secara ad-hoc.

“Pro-Mahasiswa UIAM (Wufi) melihat, dalam kejadian terbaru ini, tindakan pihak pentadbiran UIAM membatalkan program secara ad-hoc, dengan alasan ‘isu AUKU belum diputuskan’ dan ‘...saya tidak tahu program itu dihadiri oleh Timbalan Menteri’, dan diikuti dengan kenyataan berbeza yang diberikan oleh pihak pentadbiran UIAM kepada wakil penganjur dan pihak media, adalah satu tindakan yang sangat menjelekkan, tidak professional dan telah mengundang rasa kecewa serta marah pihak penganjur, warga UIAM dan rakyat Malaysia,” katanya.

Dengan ini, tegasnya pihak Pro-Mahasiswa UIAM (Wufi) ingin memaklumkan, akan menganjurkan demontrasi ‘Tolak 1.0’, sebagai desakan menolak sebarang campur tangan luar terhadap hal ehwal pengurusan dan pentadbiran UIAM, dan menolak sikap tidak berprinsip pihak pentadbiran dalam mempertahankan hak mahasiswa dan universiti sebagai sebuah institusi keilmuan.

Sehubungan itu, Pro-Mahasiswa UIAM (Wufi) ingin mengajak dan menyeru seluruh mahasiswa dan warga Malaysia, untuk turut hadir ke demontrasi ‘Tolak 1.0’ yang akan diadakan esok, Jumaat, 2.00 petang, di halaman belakang Masjid UIAM.

Tiada ulasan: