HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Mac 2012

Perarakan ke pejabat PM bantah penyenaraian Felda

Kira-kira 200 orang berarak dari Masjid Putrajaya ke depan Pejabat Perdana Menteri tidak jauh dari situ bagi membantah penyenaraian Felda Global Venture Holding (FGVH) di Bursa Malaysia.

NONEPerhimpunan yang diketuai Pengerusi Anak Peneroka Felda (ANAK) Mazlan Aliman (kiri) itu turut disertai, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan Ketua Biro Felda PKR Suhaimi Said.

Orang ramai yang menyertai perarakan itu turut membawa sepanduk yang bertulis "kami tolak FGHV", "Selamatkan Felda" kain panjang yang ditandatangan orang ramai bagi menolak penyenaraian.

Mereka juga melaungkan melaungkan "Reformasi" dan slogan anti-Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad berbunyi "Turun Isa Samad" dan "Isa Samad tipu peneroka".

NONEBagaimanapun, ketika hendak menyerahkan memorandum, hanya lima wakil sahaja yang dibenarkan masuk ke dalam pejabat perdana menteri, termasuk A Samad, Mazlan, Suhaimi dan Pengerusi JINGGA 13 Fariz Musa.

"Kita dah beri penerangan pada (wakil pejabat Najib) S Azhar. Kita juga minta perdana menteri meluangkan masa untuk bertemu dan bersemuka dengan kita untuk nyatakan tuntutan daripada peneroka," katanya pada sidang media selepas menyerahkan memorandum di Putrajaya hari ini.

Selain itu, Mazlan sekali lagi mengulangi desakannya supaya perdana menteri agar membatalkan penyenaraian Felda kerana ia merupakan kepentingan orang Melayu.

NONE"Bagaimana nasib orang Melayu nanti jika tanah orang Melayu nanti lenyap. Hampir 97 peratus Felda ini orang Melayu.

"Felda kini dalam krisis dan pergolakan yang mana ia tak pernah berlaku sebelum ini. Saya harap jangan sebab nak pertahankan Isa Samad, (seramai) 1.6 juta warga Felda hancur," katanya.

Perarakan itu juga kelihatan penuh warna warni apabila terdapat peniaga mengambil kesempatan baju-T kempen membantah penyenaraian FGVH.

Kotakan katamu, kata majlis agama pada PM


MALAYSIA KINI
Kerajaan ditegur kerana membenarkan Jabatan Pelajaran Johor melangsungkan seminar berkaitan pengajian Islam kepada guru hari ini dengan memfokuskan kepada isu penyebaran agama Kristian.

Bimbang dengan perkara itu, Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) mengeluarkan rayuan penuh emosi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Kami gesa anda kotakan kata. Jadilah pemimpin pada kerajaan yang bertanggungjawab, yang melaksanakan apa yang kamu seru. Konsep 1Malaysia yang dilaungkan kini kucar kacir semuanya."

Seminar itu asalnya berjudul "Pemantapan Aqidah, Bahaya Liberalisme dan Pluralisme Serta Ancaman Kristianisasi Terhadap Umat Islam. Apa Peranan Guru?".

Bagaimanapun, selepas dijadikan isu oleh pembangkang, perkataan "ancaman Kristianisasi" digugurkan daripada tajuk itu.

BN yakin menang di 36 DUN Selangor

MALAYSIA KINI
Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar yakin BN akan berjaya merampas kembali negeri itu dalam pilihan rayan umum akan datang.

Katanya, mereka yakin akan menang di 36 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan, hanya kurang satu kerusi untuk membentuk majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), lapor Nanyang Siang Pau.

NONEDalam wawancara eksklusif itu juga, Noh meramalkan Umno akan menang 30 daripada 35 kerusi yang ditandingi, MCA mampu mendapat lima daripada 14 kerusi sementara GERAKAN dan MIC masih-masing mendapat satu kerusi.

Noh berkata, mereka memang mahu merampas Selangor dengan majoriti mudah tetapi jika berjaya mendapat majoriti dua pertiga, ia dikira "bonus".

Katanya, walaupun mendapat sokongan kurang memberangsangkan selepas kalah dalam pilihan raya umum 2008, situasi kini berubah bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak secara langsung.

Menteri kesihatan tolak nadir bumi jika jejas kesihatan


MALAYSIA KINI
Kementerian kesihatan akan menolak pembinaan kilang memproses nadir bumi sekiranya terbukti menjejaskan kesihatan masyarakat Malaysia, kata menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Liow juga berkata, kerajaan tidak akan memberi mana-mana lesen kepada syarikat yang memproses nadir bumi jika didapati ia membahayakan kesihatan masyarakat setempat.

NONE"Kerajaan sangat jelas bahawa jika Lynas memberi masalah kesihatan, kita tidak akan memberi apa-apa lesen kepada Lynas.

"Kementerian sangat mengambil berat mengenai isu kesihatan tidak kira tempat sama ada di Bukit Merah atau di Kuantan.

"Kita juga telah mengambil langkah dengan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memantau isu Lynas," katanya pada sidang media selepas merasmikan siri jelajah bertemu pelbagai pihakdi Institut Pengurusan Kesihatan Kuala Lumpur hari ini.

Beliau diminta mengulas kematian anak kepada bekas buruh di kilang nadir bumi Asian Rare Earth (ARE) Bukit Merah Cheah Kok Leong yang dilahirkan kurang upaya semalam akibat jangkitan bakteria yang serius.

Projek nadir bumi di Bukit Merah, Perak itu sebelum ini mendapat perhatian apabila ia dijadikan contoh oleh pembangkang untuk menolak projek baru oleh syarikat Australia Lynas di Kuantan.

Selain itu, terdapat juga penduduk di kawasan itu mendakwa masih mengalami kesan radiasi daripada tapak tersebut yang menyebabkan penyakit leukemia dan kecacatan bayi ketika kelahiran.

PTPTN: Kenapa demo, undi sudahlah, kata menteri

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin supaya mahasiswa yang menyokong pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) supaya tidak mengambil jalan lain selain peti undi.

NONEBeliau mempersoalkan tindakan kumpulan mahasiswa hendak berdemonstrasi pada 14 April depan sedangkan pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi.

Jika terdapat parti yang mahu memansuhkan PTPTN dan pinjaman pelajaran, mahasiswa boleh memilih parti itu, kata Khaled ketika ditemui dalam pesta pendidikan di Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Pembangkang sebelum ini berjanji memansuhkan PTPTN dan memberikan pendidikan percuma hingga ke peringkat universiti sekiranya menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.

Ikrar itu dikongsi parti rakan PAS yang turut mahu menghapuskira pinjaman yang belum dibayar.

Anwar dedah cara tangani PTPTN

MALAYSIA KINI

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) bernilai RM43.6 bilion dapat dilepaskan dalam masa tiga tahun.

Jika kita dapat memperuntukkan beberapa bilion daripada RM150 bilion pendapatan negara setiap tahun, beban itu mampu dibersihkan dalam tiga tahun, kata Anwar dalam dialog bersama lebih 100 profesional muda di Putrajaya.

anwar ceramah at melakaDana itu, katanya, akan diperoleh daripada pemotongan perbelanjaan yang membazir seperti pembayaran untuk meningkatkan imej negara di mata dunia dan daripada syarikat kerajaan yang membuat keuntungan tinggi seperti Petronas.

Anwar mendedahkan, sebuah jawatankuasa ditubuhkan pembangkang untuk melihat persoalan sekitar isu itu, antaranya termasuk pendapatan keluarga peminjam.

Ditemui selepas itu, Anwar bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut berhubung perkara itu dan hanya akan memaklumkan sehingga penggubalan dasarnya siap.

PROJEK MEMBAZIR KKLW DI AMBANG PRU?

Oleh : PERISIK LIAWAN


BEBERAPA Projek Jalan Perhubungan Desa yang dilaksanakan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar (KKLW) di Liawan, Keningau dianggap sebagai projek membazirkan dana awam dan membantu kroni mendapat keuntungan mudah.

Agak menghairankan kerana banyak Jalan Perhubungan Desa ini dibina untuk kepentingan orang tertentu tetapi terlepas pandangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Audit Negara.

Sebagai contoh, jalan masuk ke rumah mantan Pengerusi JKKK di Kampung Tanah Merah yang baru diturap (aspal). Persoalannya, adakah projek ini menggunakan kewangan sendiri ataupun berlaku pecah amanah dan salah guna kuasa dalam pelaksanaan projek tersebut; apatah lagi dilihat dilaksanakan oleh kroni pemimpin tertentu.

Anehnya, jalan berbatu kelikir sejauh 300 meter menuju jalan utama kampung tersebut tidak dinaiktaraf; sebaliknya jalan menuju ke kebun-kebun di Kampung Bangau telah diturap sekalipun kebun tersebut tidak berpenghuni.

Menurut sumber yang boleh dipercayai, banyak jalan masuk ke rumah penduduk tidak diturap kerana kontraktor melakukan kerja terpilih dan hanya menurap jalan menuju ke rumah persendirian sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk.

TANAH MERAH.....Kawasan ramai penghuni dan tetapi jalan tidak diturap.

TURAP.....Jalan berturap menuju ke sebuah rumah.

JANJI....Jalan kampung Pamalan yang pernah dijanjikan untuk diaspal tetapi jalan ke kebun Kg Bangau lebih penting dari kampung yang berpenghuni.

PINTU.....Rumah Mantan Pengerusi JKKK Kg Tanah Merah diaspal sehingga ke depan pintu rumah.

Dalam pada itu, Penyelaras PKR Liawan, Risham Mail berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) perlu masuk campur untuk menyiasat mengapa hanya orang tertentu yang menikmati projek penurapan jalan sehingga ke tangga rumah; sedangkan penduduk lain masih menggunakan jalan becak dan berdebu.

“Ada halaman rumah turut diaspal sehingga ke tangga. Adakah itu termasuk dalam skop kerja? Jika ya, mengapa hanya melibatkan orang tertentu?” tanya Risham yang kesal kerana pemantauan terlalu longgar dan mutu kerja ala kadar.

Tegas Risham, memang ada yang tidak kena dengan projek tersebut kerana tidak memberi manfaat kepada penduduk Kampung Tampulan dan Kg Tanah Merah kerana selain meninggalkan sejauh 350 meter jalan tidak berturap; malah turut membazirkan premix untuk menurap jalan masuk ke kawasan perkebunan.

“Lebih ramai yang menggunakan jalan besar dari kampung Tampulan tapi malangnya walaupun hanya sejauh 350 meter, jalan ini terus diabaikan,” kata Risham yang mendesak agar Menteri KKLW memberikan jawapan telus kepada penduduk kampung yang teraniaya.

Beberapa Bekas Menteri UMNO & Pegawai Tinggi Kerajaan Temui Presiden PAS

KELAB GREENBOC





H
adi bertemu bekas menteri Umno, pegawai tinggi kerajaan

PETALING JAYA: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau telah megadakan pertemuan dengan tokoh Umno termasuk bekas menteri dan exco Umno Selasa lalu.

Pemimpin PAS itu berkata, tokoh Umno berkenaan dari Johor, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Mereka pernah menjadi menteri dan exco berjumpa dan berbincang bagaimana mahu meyakinkan rakyat supaya menolak Umno, lapor laman web rasmi PAS Terengganu.

“Tokoh-tokoh Umno mahu PAS membuat perubahan politik dan menyelamatkan negara dari pemerintahan BN yang diterajui Umno.

“Saya turut dikunjungi oleh Ketua Setiausaha Kementerian, pegawai-pegawai tinggi polis dan tentera.

“Jeneral-jeneral yang bersara, bekas pegawai tinggi polis Bukit Aman yang berjumpa (kerana mereka) melihat sudah muak dengan Umno, (mereka berkata) Umno kena berundur,” kata bekas Menteri Besar Terengganu itu dalam ceramah di Dungun, Rabu lalu .

Menurut Abdul Hadi, pemimpin Umno berkenaan memaklumkan kepada beliau bahawa Jawatakuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), ketua-ketua cawangan Umno dan imam-imam masjid adalah yang berpengaruh di kalangan masyarakat kampung.

Katanya, pengundi-pengundi peringkat kampung, peringkat Felda dikuasai oleh JKKK, Ketua-ketua cawangan (Umno) dan imam yang mereka lantik.

“(Cuma) 20, 30 orang sahaja yang menguasai beratus-ratus pengundi, (tetapi) rakyat yang miskin, yang terima duit, tak tahu apa,”jelasnya.

Edar Dokumen Akaun Sulit, NFCorp Dakwa Rafizi Langgar BAFIA

MSTAR ONLINE

PETALING JAYA: National Feedlot Corporation (NFCorp) mendakwa Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli telah melanggar Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) apabila mengedarkan dokumen akaun sulit dan persendirian tanpa izin milik syarikat itu kepada media untuk disiarkan pada 7 Mac lalu.

Menerusi satu kenyataan media pada Jumaat, NFCorp berkata, Rafizi yang merupakan ahli Institut Akauntan Berkanun di England dan Wales serta Institut Akauntan Malaysia (MIA) sepatutnya mengetahui undang-undang yang tidak membenarkan pengedaran dokumen akaun sulit kepada umum.

Kata NFCorp, Rafizi, Zuraida Kamaruddin dan Nurul Izzah Anwar yang mengedarkan dokumen tersebut pada sidang media harus disiasat dan didakwa kerana melanggar undang-undang ditetapkan BAFIA.

Pada sidang media terdahulu, ketiga-tiga mereka bukan saja mengedarkan dokumen berkaitan akaun milik NFCorp tetapi akaun bank syarikat berkaitan dan juga akaun individu kepunyaan pengarahnya.

Menurut NFCorp, pihak bank juga perlu disiasat kerana melanggar BAFIA dengan menyerahkan maklumat sulit pelanggannya kepada pihak ketiga.

Jelas NFCorp, dokumen yang diedarkan merupakan cetakan penilaian kredit dan baki akaun serta bukannya penyata tetap yang dihantar kepada pelanggan untuk dimuat turun dari perbankan internet.

NFCorp berkata, adalah lebih mudah bagi Bank Negara Malaysia (BNM) dan bank tersebut untuk mengesan individu yang mendedahkan maklumat itu kerana tarikh dan masa cetakan turut disertakan.

Namun, nama pegawai bank tersebut telah dipadamkan dengan sengaja.

Satu laporan polis ke atas Rafizi, Zuraida dan Nurul Izzah turut dibuat pada Jumaat.

Ribuan rakyat Malaysia ditahan

KL TODAY



Seramai 889 rakyat Malaysia ditahan di luar negara atas kesalahan dadah sejak 10 tahun lepas, sekaligus menjadikan jumlah paling tinggi rakyat negara ini ditahan atas kesalahan itu berbanding kes jenayah lain yang dilakukan di negara luar.Ini diikuti dengan pemalsuan kad kredit iaitu 248 orang, lain-lain (158), mencuri (105), Imigresen (85), jenayah komersial (84), menipu (65), pemerdagangan manusia (50), pemalsuan dokumen (44) dan membunuh seramai 27 orang.

Statistik Kementerian Luar yang diambil dari tahun 1991 hingga tahun lepas itu juga mendedahkan jumlah keseluruhan rakyat negara ini ditahan di negara luar adalah seramai 1,941 orang, menurut Pegawai Khas Menteri Luar Neow Choo Seong.

“Seramai 1,755 yang ditahan telah disabitkan kesalahan, manakala 186 lagi telah dibebaskan,” katanya dalam satu seminar Kesedaran Rakyat Mengenai Keldai Dadah (SEDARLAH) di Kolej Universiti Sains Kesihatan Masterskills di sini, Khamis.

Daripada statistik itu, katanya seramai 81 orang rakyat negara ini dipenjarakan seumur hidup, 33 dikenakan hukuman mati manakala selebihnya dipenjarakan antara lima hingga 30 tahun di luar negara, katanya.

“Daripada 33 orang yang dikenakan hukuman mati itu, 25 daripada mereka melakukan kesalahan berkaitan dadah, manakala lapan lagi kerana membunuh.

“Tahun paling tinggi rakyat negara ini ditahan atas kesalahan dadah pula adalah pada 2007 iaitu seramai 145 orang, 2008 seramai 138 ditahan, 2009 (135), 2010 (126) dan tahun lepas seramai 72 orang ditahan,” katanya.

Beliau berkata ini membuktikan kesalahan paling serius dilakukan rakyat negara ini di negara luar adalah dadah dan perkara yang sering dikaitkan dengannya adalah ‘keldai dadah’.

“Keldai dadah merujuk kepada seseorang yang secara sukarela atau terpedaya untuk menjadi kurier membawa dadah atau barang seludup ke negara lain. Antara taktik penyeludupan adalah menyembunyikan dadah tersebut di dalam kenderaan, dalam bagasi atau beg pakaian, mengikat atas badan atau menelannya,” katanya.

Neow juga mendedahkan, kira-kira 80 peratus daripada kalangan rakyat negara ini yang dikesan terlibat menjadi keldai dadah adalah terdiri daripada golongan lelaki. Katanya laporan dari Bahagian Konsular Wisma Putra itu membuktikan bilangan lelaki adalah golongan tertinggi terlibat menjadi keldai dadah berbanding wanita iaitu hanya 20 peratus.

“Bila bercakap mengenai keldai dadah, tentu kita akan terbayangkan wanita selalunya yang akan jadi mangsa atas faktor terjerat dalam percintaan atau mengejar kemewahan. Tetapi sebenarnya lelaki juga tidak terkecuali dan golongan ini dikesan paling ramai terlibat,” katanya kepada Bernama.

Neow berkata, kebanyakan golongan lelaki yang dikesan menjadi keldai dadah pula ditangkap secara berkumpulan kerana mereka sebelum itu mengagih-agihkan dadah tersebut bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan hukuman lebih berat dikenakan sekiranya ditangkap.

“Kalau wanita melakukannya (keldai dadah) secara seorang diri, lelaki pula melakukannya secara berkumpulan seperti apa yang berlaku di New Zealand tahun lepas. Enam lelaki kita ditahan di sana kerana membawa dadah. Ini adalah satu strategi bagi mengelakkan mereka dikenakan hukuman berat.

“Contohnya kalau seorang sahaja yang bawa tiga kilogram dadah, tentulah hukuman berat dikenakan ke atasnya. Tapi kalau seorang ditahan dengan membawa 500 gram dadah sahaja, (selepas dibahagikan dengan ahli kumpulan lain) hukuman yang dikenakan tentulah lebih rendah,” katanya.

Beliau berkata apa yang boleh dilakukan kementerian itu untuk membantu mangsa yang ditahan di luar negara adalah dengan membuat lawatan konsular ke pusat-pusat tahanan atau penjara, mendapatkan bantuan guaman dengan memberi jaminan perbicaraan dilakukan secara adil dan saksama.

“Kementerian juga bertanggungjawab menjamin hak-hak asasi rakyat Malaysia terlindung di bawah undang-undang tempatan dan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Neow berkata antara kesan sosial dari gejala ‘keldai dadah’ ini adalah keruntuhan akhlak dan moral, modal insan kepada negara berkurangan dan pembangunan sosial terbantut.

“Dari segi ekonomi pula, ia akan mengakibatkan ketidakstabilan ekonomi akibat ketidakstabilan sosial. Ia akan menjejaskan pelaburan asing sekaligus membantutkan ekonomi negara,” katanya.

Neow berkata dari segi politik pula, imej negara di arena antarabangsa akan tercalar, menjejaskan hubungan baik dengan negara lain dan wawasan serta dasar negara sukar tercapai.

Saham FGVH bakal dikuasai pelabur asing?

KL TODAY



Saham Felda Global Ventures Holding (FGVH) dipercayai bakal dimiliki pelabur asing sejurus selepas diseneraikan di bursa saham. Penasihat Ekonomi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Dr Rosli Yaakop mendakwa, FGVH akan memberikan sahamnya sebanyak 20 peratus kepada sebuah syarikat antarabangsa terkenal yang pakar dalam kejuruteraan ‘poliochemical’. “Pemilik dan CEO syarikat itu adalah orang asing, bukannya rakyat tempatan,” katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS di sini hari ini.

Katanya, butiran terperinci syarikat tersebut serta bakal rakan kongsi asing FGVH yang lain akan didedahkan dalam masa terdekat.

Selain itu, beliau turut mendakwa anak syarikat Felda, FGV USA Properties Inc yang ditubuhkan pada tahun 2008 membeli kondominium di Amerika Syarikat dengan harga RM8.6 juta.

Kondomonium mewah yang terletak di Braintree, Massachussetts itu turut dilengkapi demgan alat perabot dan perhiasan bernilai RM238,948, namun tidak dinyatakan jumlah unit yang dmiliki.

`Manfaat apa kepada peneroka’

Manakala modal berbayarnya berjumlah RM9.2 juta dengan 275,000 unit saham.

Namun pada 31 Disember 2010, kewangan syarikat itu mencatatkan kerugian terkumpul berjumlah RM513,323 sejak ia ditubuhkan.

Sementara unit kondominium itu juga disewakan kepada syarikat atau kakitangan yang ada kaitan dengan Syarikat FGV USA Properties Inc.

“Isunya, apa manfaatnya kepada peneroka? Kamu (Felda) berniaga kelapa sawit atau hartanah,” soalnya.

Beliau bimbang sekiranya Felda hilang fokus dan hanya mementingkan pelaburan tanpa memikirkan kesan yang akan dihadapi peneroka.

Pas akan terus guna kempen 'undi, syurga'

MOHD ZAILANI ABD RAHMAN

Nik Aziz Nik Mat

KOTA BHARU - Pas tetap dengan pendiriannya meneruskan kempen menegakkan syiar Islam dengan menekankan soal syurga apabila seseorang itu melahirkan sokongan kepada parti itu semasa pilihan raya, kata Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Berang dengan dakwaan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan, Nik Aziz berkata, pemimpin Barisan Nasional (BN) perlu mempelajari agama terdahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Tiap-tiap orang yang bercakap soal Islam dia akan sebut soal syurga dan neraka, dia (Datuk Abd Rahman) kena ingat, bercakap ini ada soal pahala dan dosa, jangan cakap sembarangan,” kata beliau ketika ditemui selepas kuliah Jumaat di Dataran Ilmu pagi ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Abd Rahman ketika Wacana Sinar Harian ke-12 kelmarin, yang mendakwa Pas melakukan rasuah politik paling tinggi dengan menjanjikan syurga kepada pengundi.

Abdul Rahman berkata, pembangkang menuduh BN rasuah, namun mereka sendiri terlupa turut melakukan perkara sama pada setiap pilihan raya.

Nik Aziz berkata, Nabi Muhammad SAW sebagai contoh pemimpin yang sentiasa mengingatkan umatnya mengenai hal dosa dan pahala yang membawa manusia itu ke syurga atau neraka.

Dalam pada itu, Nik Aziz melahirkan rasa gembira dengan tindakan Kerajaan Pusat yang membantu dalam membangunkan Pelabuhan Tok Bali di Pasir Puteh yang dilancarkan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V semalam.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau meminta projek itu dibangunkan sejak pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, namun bekas Perdana Menteri itu memberikan pelbagai alasan tidak munasabah.

Melalui projek itu katanya, beliau mengharapkan Kelantan terkenal di peringkat antarabangsa dengan menjadi persinggahan kapal-kapal dagang dari negara-negara Timur.

“Insya-Allah selepas ini kita akan mendapat persinggahan kapal-kapal dari negara Arab dan negara jiran Asia seperti China dan Kemboja.

“Kita bukan sahaja nak eksport barang kita sahaja, tetapi kita nak eksport perangai sekali, jangan menipu, berbohong dan caj keting, insya-Allah, ia jadi buah mulut, kepada masyarakat antarabangsa,” katanya.

NFCorp dakwa 3 pemimpin PKR bocor dokumen bank

Wartawan Sinar Harian

nfc

SHAH ALAM – National Feedlot Corporation (NFCorp) membuat satu laporan polis terhadap tiga pemimpin tertinggi PKR - Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Pengarah Strategi, Rafizi Ramli dan Ketua Wanita, Zuraida Kamaruddin hari ini mendakwa mereka membocorkan rahsia dokumen bank syarikat itu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, NFCorp mendakwa Rafizi melakukan kesalahan serius melanggar Akta Institusi Perbankan dan Kewangan 1989 (BAFIA) apabila mengedarkan dokumen akaun bank yang sepatutnya rahsia kepada media pada 7 Mac lalu.

“Pada sidang media tersebut, bukan sahaja maklumat dan dokumen akaun bank NFCorp didedahkan tetapi juga akaun bank milik syarikat lain selain akaun individu pengarah juga diedarkan.

“Jika disabit bersalah mengikut Jadual Empat, Seksyen 103 BAFIA kerana melanggar Seksyen 97(1) dan (3) adalah penjara tiga tahun dan denda RM3 juta,” kata NFCorp dalam kenyataan itu.

Kata NFCorp lagi, pihak bank yang membocorkan rahsia ini patut disiasat kerana terlibat sekali melanggar BAFIA kerana mengeluarkan maklumat sulit pelanggan kepada pihak ketiga tanpa kebenaran.

Tambah NFCorp, maklumat yang diedarkan itu adalah cetakan dalaman bank untuk penilaian kredit dan baki bank, bukannya penyata biasa yang dihantar kepada pelanggan atau maklumat yang boleh di muat turun dari internet.

“Adalah mudah bagi Bank Negara dan bank terbabit menjejaki dalang yang membocorkan maklumat itu berdasarkan kepada tarikh dan masa cetakkan itu dibuat.

“Bagaimanapun nama pegawai yang tercatat di dokumen itu telah sengaja dipadamkan,” kata mereka.(CIDB) Melaka bersama 10 badan dan agensi penguatkuasaan negeri, di sini.

Jumaat, 30 Mac 2012

Pemuda PAS kesal penari tiang hanya didenda RM25

MALAYSIA KINI
Pemuda PAS terkejut dan kesal dengan keputusan tiga wanita yang bersalah berkelakuan kurang sopan dengan melakukan aksi tarian tiang hanya didenda RM25 sahaja sedangkan imam yang dituduh menghina mahkamah di penjara setahun.

Ketua Penerangannya Riduan Mohd Nor secara menyindir menyifatkan hukuman itu sebagai "definisi keadilan Islam sebenar" menurut perspektif penguasa hari ini.

"Pemuda PAS merasa terkejut dengan hukuman ini kerana berpendapat kesalahan yang mereka lakukan amat serius dan berat.

"Perbuatan yang mereka lakukan merupakan suatu dosa besar di sisi Islam kerana membuka aurat dan mendorong perbuatan zina kepada pengunjung yang hadir," katanya.

Mahkamah Majistret Seremban menjatuhkan hukuman denda RM25 kepada Faiqah Azizan, 24, Nurul Huda Abdul Rahman, 23, dan Nooranishah Mohamad Isa, 19, selepas mereka mengaku bersalah kerana berkelakuan demikian di pusat hiburan di Nilai.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 21 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang mengenakan hukuman denda tidak lebih RM25 atau penjara maksimum 14 hari jika sabit kesalahan.

Dakwa Riduan, hukuman tersebut" hanya menjadi bahan ketawa dan perlecehan masyarakat" terutama mereka yang terlibat dengan aktiviti tersebut.

Sehubungan itu, dakwanya, kes tersebut membuktikan kerajaan BN tidak mampu membendung perbuatan maksiat di kalangan masyarakat, malah didakwa memandang ringan perbuatan tersebut.

"Apalah pembelaan yang boleh diharapkan dari sebuah kerajaan yang kononnya memperjuangkan Islam di negara ini jika agama Islam terus diperlekehkan," katanya.

PRU13: Rakyat gusar taktik kotor Umno BN

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: PAS Wilayah Persekutuan (PAS WP) merasa yakin sekiranya Pilihan raya Umum ke 13 dijalankan dengan adil, bersih dan telus berkemungkinan besar Pakatan Rakyat akan menguasai Putrajaya.

Ketua Penerangannya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, ini hasil kajian daripada pelbagai pihak, dan daripada ‘mood’ serta momentum yang dicetuskan oleh rakyat dengan semangat mahukan angin perubahan dalam pilihanraya umum ke 13.

Namun demikian, ujarnya sejak akhir-akhir ini, sudah beberapa gambaran taktik dan strategi kotor dalam PRU digunakan dapat dikesan melalui pendedahan beberapa individu.

Ini, katanya termasuk pendedahan bekas pemimpin terrtinggi Umno, Tan Sri Syeikh Abdul Kadir Syeikh Fadzir bahawa Umno mengamalkan taktik membeli undi dalam pilihanraya sebelum ini.

“Pengakuan bekas Ketua Penerangan Umno bahagian Pekan, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz bahawa Umno mengamalkan taktik persempadanan kawasan mengundi bagi memenangkan mereka menguatkan lagi hujah penipuan yang telah dan bakal dicipta,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Selain itu, katanya isu pertukaran tempat mengundi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari Parlimen Petaling Jaya Utara di Selangor kepada Parlimen Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan amat menggusarkan rakyat.

Tambahnya, tidak pasti pula berapa jumlah sebenar ‘mangsa’ pemindahan tempat mengundi dan tiada jaminan pengundi lain tidak akan diperlakukan perkara yang sama dalam PRU ke 13 nanti.

SPR pula, ujar beliau telah mendaftarkan seramai 240,000 petugasnya sebagai pengundi pos, suatu jumlah yang agak besar dan cukup untuk membantu memenangkan banyak parlimen yang terlibat kepada satu pihak.

“Pendedahan Dr Hatta Ramli, Pengarah Pilihanraya PAS Pusat yang juga ahli Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen bagi penambahbaikan pilihanraya bahawa terdapat seramai 79,098 pengundi ragu dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang mempunyai alamat sama menambah keraguan adakah pilihanraya kali ini akan berlangsung dalam suasana yang amat kotor,” katanya lagi.

Oleh yang demikian, katanya PAS WP meminta pemimpin serta jentera Pakatan Rakyat bersiap sedia dengan menumpukan usaha memastikan segala penipuan dalam PRU13 nanti dapat dihidu dan dibongkarkan agar taktik ini tidak dapat dilaksanakan nanti.

Tambahnya lagi, tidak mustahil semua taktik yang telah didedahkan termasuk ‘taktik tawan Terengganu 2004’ digunapakai di seluruh negara bagi memenangkan sebuah kuasa yang dalam keadaan terdesak sekarang.

Tegasnya, PAS WP percaya rakyat mahukan sebuah pilihan raya yang benar-benar adil dan bersih yang ditentukan oleh rakyat sebagai pengundi yang sah.

Rakyat juga, ujarnya lagi tidak mahukan sebuah pilihan raya kotor yang sarat di dalamnya dengan unsur penipuan.

“Masa depan negara perlu ditentukan oleh pengundi sah, bukan ditentukan oleh pengundi yang bukan mendapat warganegara segera, pengundi yang telah mati, serta pengundi pos,” katanya.

Justeru, kata beliau PAS WP mengingatkan Umno BN agar tidak berniat mahupun melakukan apa juga taktik kotor dalam menghadapi PRU13.

“Jadilah insan yang berjiwa besar dengan menerima apa juga keputusan rakyat dengan menjalani sebuah pilihanraya yang adil dan bersih.

“Jika tidak, jangan dikesali jika rakyat kemudiannya bangkit meruntuhkan rejim yang kotor dan korup ini dengan cara yang paling menghinakan,” katanya lagi.

Kajian: 70% pemilih di KL tidak dapat dijejaki

Harakahdaily,



PETALING JAYA:
Gabungan beberapa NGO yang menjalankan audit bebas daftar pemilih mendapati Kuala Lumpur adalah kawasan paling tinggi mempunyai pemilih yang tidak dikenal pasti menurut alamat yang direkodkan dalam daftar pemilih suku ke-4 2010 iaitu sebanyak 70 peratus.

Mengekorinya pula adalah Selangor dengan 45 peratus, Melaka (38%), Johor (32%), Negeri Sembilan (31%) dan negeri-negeri lain di bawah 30 peratus.

Keseluruhannya, hanya 74 peratus sahaja daripada responden di seluruh negara boleh dijejaki sama ada bertemu dengan mereka di rumah atau mendapat pengesahan dikenali oleh jiran.

Manakala 26 peratus lagi adalah tidak dapat dijejaki atau disahkan.

Dapatan itu direkodkan oleh NGO pemantau pilihan raya Institut Kebangsaan Integriti Pilihan Raya (NIEI), Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dan badan penyelidik Merdeka Centre yang menjalankan audit daftar pemilih pada Disember 2010 lalu.

Kajian dibuat terhadap 2,400 responden melibatkan 60 kawasan parlimen di seluruh negara.

Hasil kajian audit mereka itu didedahkan pada satu sidang media hari ini.

Kajian itu juga mendapati, wujud 8 peratus alamat pemilih yang tidak sah manakala 92 peratus lagi adalah sah dan dikenalpasti.

Alamat yang tidak diketahui paling tinggi juga di Kuala Lumpur sebanyak 27 peratus, Negeri Sembilan 26 peratus manakala Selangor 14 peratus.

SPRM siasat semua kes tapi Pejabat AG tentukan ke mahkamah

Post Pic

ANTARA POS.COM


SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa badan itu menyiasat semua kes rasuah yang dilaporkan bagaimanapun ada di antaranya tidak didakwa di mahkamah oleh pejabat Peguam Negara.

Hal ini kerana menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Mohd Shukri Abdull, terdapat kes yang dilaporkan tidak mempunyai bukti yang mencukupi.

Beliau berkata demikian memberitahu hadirin di sidang forum anjuran akhbar Sinar Harian, di sini, semalam.

"Masalahnya adalah ramai orang mahu kes yang dilaporkan didakwa di mahkamah, tetapi jika anda menanyakan saya berhubung isu ini, anda bertanyakan orang yang salah," katanya kepada hadirin.

"Kita telah mengesyorkan banyak kes kepada timbalan pendakwaraya. Bagi kami kes-kes berkenaan adalah kes yang mempunyai sebab dan bukti kukuh untuk dibawa ke mahkamah, tetapi bagi timbalan pendakwaraya, ia (kes) tidak mempunyai bukti yang kukuh, jadi apa boleh kami buat?" katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menyertai forum wacana bertajuk 'Rasuah politik: Realiti Atau Persepsi', bersama Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan,Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli dan penganalisis politik, Dr Chandra Muzaffar.

"Jika pegawai-pegawai saya mahu bertindak mengikut naluri hati kami, kami akan tangkap semua (pesalah rasuah), tetapi kami tak boleh kerana dakwaan mesti berasaskan bukti ...bukan sentimen," katanya lagi.

Shukri, juga menekankan bahawa pegawai-pegawainya di SPRM bertindak secara profesional dalam melaksanakan tugas mereka walaupun memiliki kecenderungan politik yang berbeza.

"Saya perlu bersikap telus dalam hal ini. Ibu bapa saya adalah hijau (menyokong Pas), tetapi orang ramai, malah ibu bapa saya sendiri tidak tahu apa 'warna' saya...itu adalah hak saya," katanya.

"Apabila ia membabitkan siasatan, saya adalah seorang profesional, saya buta warna," tambahnya lagi.

Nazri gagal jawab soalan Tian Chua berkenaan dakwat kekal

Oleh: Mohd Martin Kahar

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz gagal menjawab soalan apabila diminta menjelaskan pengakuan SPR yang diarahkan Kabinet untuk membatalkan dakwat kekal pada pilihanraya umum 2008.

Sebelum itu dalam perbahasan, Nazri yang juga Ahli Parlimen Padag Rengas begitu lantang dan yakin mempertahankan bahawa SPR adalah badan bebas daripada cengkaman eksekutif dan perundangan (legislatif).

“Apabila menyebut tentang kebebasan SPR, ia bermaksud bebas dari eksekutif ia juga bebas daripada legislatif.

“Kita boleh memberi pandangan tetapi akhirnya SPR kena ambil keputusannya sendiri… Ada cadangan yang kita cadangkan mungkin agak sukar dilaksanakan, jadi kita perlu beri kebebasan untuk mereka buat keputusan,” kata Nazri.

Tidak berpuas hati dengan jawapan Nazri, Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua bangun mencelah dan meminta penjelasan Nazri berhubung pengakuan Pengerusi SPR beberapa tahun lalu.

“Saya menghormati pendirian kerajaan bahawa SPR perlu bebas daripada cengkaman eksekutif dan legislatif.

“Tetapi saya inginkan penjelasan, Pengerusi SPR pernah mendedahkan pada pilihanraya lepas, beliau dan SPR sudah bersedia untuk menggunakan dakwat kekal tetapi diarah kabinet supaya dakwat kekal tidak diteruskan.

“Saya ingin penjelasan sekali lagi sama ada Pengerusi SPR tidak berkata benar? Kalau tidak, bolehkah berikan penjelasan seperti kerajaan dakwa menghormati kebebasan SPR?” soalnya di Dewan Rakyat.

Nazri yang menyedari terperangkap dengan soalan itu terdiam seketika sebelum menjawabnya dalam keadaan tergagap beberapa saat kemudiaan.

“(Terdiam seketika) Tuan yang dipertua… dia.. dia.. Tuan Yang Dipertua.. dia.. kita ni.. di negara kita ni..banyak… (terdiam seketika).

“Tuan Yang Dipertua di Malaysia ini kita selalu dikongkong mantan – mantan setiausaha, mantan menteri, mantan pengerusi, mantan Umno..

“Selalunya begitulah mantan ini akan bercakap setelah dia tidak lagi memegang apa-apa jawatan dan dia memang bebas untuk bercakap,” kata Nazri sambil mengelak menjawab soalan itu kerana mendakwa telah menjawab soalan itu beberapa tahun lalu.

Mei 2008, SPR mendedahkan kabinet memutuskan pada hari pembubaran Parlimen untuk menolak pelaksanaan dakwat kekal di jari pengundi dalam pilihanraya umum 8 Mac.

Pengerusinya pada masa itu, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, SPR sudah bersedia memperkenalkan langkah tersebut demi menolak keraguan orang ramai tentang pengundian berganda.

Anwar tidak gentar disapina ke mahkamah

Oleh: Ahmad Fadli KC

BANGI : Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah gentar dan mengelak untuk hadir ke mahkamah jika diperintahkan berbuat demikian.

Menurutnya, beliau sudah lali dengan taktik Umno yang cuba menyekat kemaraan politiknya dengan membuatkan beliau turun naik ke mahkamah dan jugda ianiaya polis.

Namun, beliau enggan menerima satu perintah sapina yang diserahkan kepadanya di bangunan Parlimen semalam kerana tidak dimaklumkan dengan jelatentang kes itu.

“Saya disapina ke mahkamah. Saya tak terima sebab saya tidak tahu kes apa,” kata Anwar merujuk kepada agensi Bernama yang melaporkan berita itu.

Berita itu menyebut Anwar diminta hadir sebagai saksi pembela dalam satu prosiding sivil melibatkan kemudahan pinjaman bersindiket RM445 juta sewaktu beliau menjadi Menteri Kewangan.

Defendan dalam kes itu adalah seorang ahli perniagaan Low Thiam Hoe. Pada tahun 1998, Low dikenakan perintah undang-undang oleh Hong Leong Finance Berhad untuk membayar semula pinjaman sebanyak RM28 juta.

Low bagaimana pun mendakwa beliau diminta bertindak sebagai penama untuk urusniaga pinjaman bersindiket itu oleh dua orang, Hamzah Harun dan Mohd Faiz Abdullah.

Low berkata Mohd Faiz Abdullah pada masa pinjaman itu dibuat mendakwa dirinya bertindak bagi pihak Anwar selaku Menteri Kewangan.

Dalam ceramahnya di Kompleks Sukan Seksyen 15 Bangi semalam, Anwar sempat menempelak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang enggan menjadi saksi Fitnah II sehingga ke akhir perbicaraan.

“Saya tahu nama saya Anwar Ibrahim, pantang dicabar. Dipanggil ke mahkamah aku pergi ke mahkamah.

“Ingat aku macam pemimpin kamu? Ingat aku Najibkah?” soal Anwar disambut gelak ketawa hadirin.

Bersih 3 diadakan jika daftar pemilih tidak dibersihkan

Oleh: Aedi Asri



KUALA LUMPUR: Ketua Umum KEADILAN, Datu Seri Anwar Ibrahim berkata demonstrasi Bersih 3 akan diadakan jika Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) masih enggan melaksanakan tuntutan reformasi pilihan raya.

Beliau membidas SPR yang dilihat kurang serius membersihkan daftar pengundi walaupun pemeriksaan Institut Sistem Mikroelektronik Berhad (MIMOS) menemui pelbagai kejanggalan di dalamnya.

“Terlalu banyak kes apabila lebih seratus pengundi berkongsi satu alamat sama, dan ia melibatkan seramai 78,000 nama pengundi.

“Bagaimana dengan kes yang melibatkan 80 dan 90 pengundi dengan alamat yang sama? Kita dimaklumkan kes paling kerap adalah 20 hingga 30 nama dalam satu alamat,” jelasnya.

Anwar membandingkan situasi ini dengan situasi di India, apabila tidak wujud pengundi hantu di sana kerana pegawai pilihan raya yang cekap dan komited menjalankan tugas.

“Saya bertemu bekas Pengarah Pilihan Raya India, dan beliau memaklumkan tiga bulan menjelang pilihan raya, kerja mereka hanya membersihkan daftar pengundi.

“Jadi, apa lagi pilihan yang kita ada? Kecuali Bersih 3,” tegasnya.

Beliau berucap semalam dalam program di kediamannya, yang mengumpulkan beberapa bekas pimpinan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), antaranya ialah Profesor Dr Razali Nawawi, Dr Muhammad Nur Manuty dan Datuk Idris Jauzi.

Ia dianjurkan secara bersiri oleh rakan-rakan lama Anwar – bertujuan menerangkan peribadi dan perjuangan Anwar yang diserang hebat oleh Nallakarupan dan Zulkifli Nordin dengan bantuan media Umno BN.

Tolak hapus PTPTN hina kebijaksanaan mahasiswa

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR: Kumpulan mahasiswa menyifatkan kenyataan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menolak tuntutan menghapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai menghina keintelektualan mahasiswa dan ahli akademik.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Muhamad Safwan Anang berkata, walaupun peruntukan pinjaman itu bernilai berbilion ringgit ia masih realistik untuk dimansuhkan.

“Itu bukannya suatu benda yang tidak boleh dibuat… RM6.1 bilion, (berbanding) dengan ketirisan puluhan bilion. Takkan kerajaan tidak boleh selesaikan,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, seperti dilaporkan Malaysiakini.

Khaled sebelum itu menyifatkan cadangan Pakatan Rakyat yang mahu menghapuskan pinjaman itu jika berkuasa sebagai tidak relevan, mengurangkan semangat daya saing dan membebankan kerajaan.

Turut hadir dalam sidang media itu adalah wakil Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Sementara itu, Mandeep Singh yang kini menggerakkan “Kelab Mangsa PTPTN” dalam PSM berkata, kerajaan patut membebaskan kira-kira 130,000 peminjam tabung berkenaan daripada disenaraihitamkan.

Ini kerana, tindakan itu menyukarkan peminjam untuk ke luar negara seperti yang dihadapinya pada Julai tahun lalu – sehingga beliau bertindak menyaman PTPTN di mahkamah.

Beliau turut mendesak Pakatan Rakyat berbuat demikian jika memerintah kelak.

KEADILAN dan PAS sebelum ini memberikan komitmen untuk menghapuskan PTPTN dan memberikan pendidikan percuma hingga ke universiti jika berjaya menawan Putrajaya.

Najib, Muhyiddin belanja RM609 juta keliling Malaysia

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin membelanjakan RM608.68 juta sepanjang tempoh 11 minggu mereka membuat lawatan ke seluruh negara.

Wang itu dibelanjakan Najib dan Muhyiddin sebagai “peruntukan segera” dari Januari hingga 15 Mac sewaktu mereka membuat lawatan ke 14 negeri, dengan Perak merekodkan kelulusan tertinggi sebanyak RM220.38 juta untuk 34 projek.

Pendedahan itu terkandung dalam jawapan bertulis di Parlimen kepada soalan Ahli Parlimen PAS Jerai, Mohd Firdaus Jaafar.

Memetik Malaysiakini, Firdaus pada 27 Mac lalu meminta Jabatan Perdana Menteri menyenaraikan semua peruntukan yang diluluskan untuk lawatan rasmi Perdana Menteri ke negeri-negeri berkenaan.

Persatuan Ulama: Tugas kerajaan untuk bertindak terhadap ancaman ‘Kristianisasi’


KUALA LUMPUR — Kerajaan Johor seharusnya tidak mengemukakan permohonan maaf kerana menganjurkan seminar terhadap ancaman ‘Kristianisasi’ kerana itu merupakan tugas oentadbiran agama kata Persatuan Ulama Malaysia (PUM).

Guru agama daripada sekolah kebangsaan di Johor akan menghadiri seminar Sabtu ini yang memberikan fokus terhadap “ancaman Kristianisasi” yang telah menimbulkan rasa kurang senang komuniti Kristian.

Program berkenaan dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran Johor dan Jabatan Mufti Johor bertajuk “Pemantapan Aqidah, Bahaya Liberalisme dan Pluralism Serta Ancaman Kristianisasi Terhadap Umat Islam. Apa Peranan Guru?” yang mana setiap sekolah perlu menghantar dua guru agama daripada kesemua 55 sekolah kebangsaan di negeri tersebut.

“Kita perlu adakan seminar sedemikian. Saya rasa masyarakat Kristian tidak perlu berasa terganggu terhadap penganjuran seminar tersebut ... masalah berkenaan cubaan Kristianisasi sudah wujud sejak sekian lama dan memang wujud,” kata Presiden PUM Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir kepada The Malaysian Insider.

“Selain itu, mana-mana pihak berkuasa dan kerajaan berhak untuk melakukan seminar sedemikian, kita perlu memberikan pendedahan kepada guru, terutamanya kepada generasi muda yang tidak menyedari perkara ini.”

Abdul Halim menjelaskan “kewujudan” mubaligh Kristian secara “agresif” telah sejak sekian lama cuba untuk memurtadkan umat Islam dan pihak jabatan agama hanya menjalankan “tugas” mereka dengan penganjuran seminar berkenaan.

“Mubaligh Kristian lebih kuat daripada sesetengah Muslim, dan itu apa mereka buat.

“Kita sebagai Muslim harus memperkuatkan akidah. Muslim sekarang berjuang menentang Kristianisasi,” katanya.

Ditanya apakah bukti berlakunya gejala memurtadkan umat Islam, Abdul Halim berkata kegiatan itu berlaku secara langsung dan tidak langsung.

“Bukti sudah ada sejak sekian lama ... rancangan televisyen, model, pakaian, itu semua cubaan secara tidak langsung. Kita sedar perkara itu.

“Sebagai Muslim, kita harus laksanakan tanggungjawab kita. Tugas berat tersebut tidak boleh dilaksanakan secara individu, jadi dengan penglibatan kerajaan, ia akan menyokong usaha ini,” katanya.

Salinan surat berkenaan seminar itu daripada Jabatan Pelajaran Johor turut diletakkan di laman web mereka.

Penasihat Unit Pendidikan Agama Jabatan Pelajaran Johor, Hasimah Abdul Hamid, yang dihubungi The Malaysian Insider, enggan mengulas lanjut berkenaan program itu yang seakan-akan menunjukkan ancaman Kristian terhadap Islam.

“Objektif utama program ini adalah untuk memperkukuhkan ajaran Islam,” katanya kepada The Malaysian Insider.

“Tapi saya tidak boleh mengulas berkenaan tajuknya, kerana ia diserahkan penganjur.”

Kristian membentuk 9.2 peratus daripada 28.3 juta populasi rakyat Malaysia.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Kristian dan Muslim komuniti bertelagah berkenaan perkataan “Allah” yang mana mereka mendakwa hanya Islam yang boleh menggunakan perkataan itu kerana ia melambangkan tuhan untuk orang Muslim.

Sekumpulan konservatif Muslim turut menuduh Kristian cuba memurtadkan orang Islam, telah menimbulkan ketegangan terhadap kedua-dua agama tersebut.

'Siasat anak PM berhubung manipulasi harga saham'

MALAYSAI KINI

Suruhanjaya Sekuriti (SC) digesa menyiasat anak kedua Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak - Nazifuddin - berhubung dakwaan manipulasi harga saham.

NONEDalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua (kiri) berkata penglibatan Nazifuddin baru-baru ini dalam dua syarikat yang harga saham banyak turun naik, adalah sangat mencurigakan.

Dalam kes pertama, harga saham Harvest Court Industries Bhd melonjak 2.575 peratus selepas Nazifuddin menyertai lembaga pengarahnya akhir tahun lalu, dan harganya merudum selepas dia berhenti sebulan kemudian.

Kes terbaru melibatkan Supercomnet Technologies Bhd, yang menyaksikan harga sahamnya melonjak 362 peratus selepas syarikat itu mengumumkan bahawa Nazifuddin telah ditawarkan pilihan untuk memperolehi 18.66 peratus saham.

Harga saham Supercomnet merudum dua hari kemudian selepas syarikat itu mengumumkan bahawa Nazifuddin telah menolak tawaran saham tersebut.

Rasuah: M'sia antara terbaik dakwa ahli politik

Malaysia antara negara yang paling banyak mengambil tindakan terhadap ahli politik dalam isu rasuah berbanding Singapura dan Hong Kong, kata Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Mohd Shukri Abdull.

"Sejarah menunjukkan kita antara yang terbaik mendakwa ahli politik dalam rasuah.

"Undang-undang tak ikut sesiapa, tak lihat siapa dia, hakim atau ahli politik. Rasuah jenayah individu dan bukan lihat pada politik dia," katanya pada wacana Sinar Harian bertajuk "Rasuah Politik: Persepsi atau realiti" di Shah Alam hari ini.

Mohd Shukri yang berkhidmat 27 tahun bersama suruhanjaya itu berkata, sejak 1960-an sehingga kini, sudah ramai ahli politik yang telah diambil tindakan oleh SPRM.

Beliau dalam pada itu turut mengingatkan agar sebarang kes perlu dilaporkan terlebih dahulu kepada SPRM sebelum membuat apa-apa hebahan di blog atau sidang media.

"Ibarat kita nak masuk hutan memburu burung, lembu, gajah, tetapi pada masa yang sama kita bawa gendang. Belum sempat berburu, semua binatang dah lari," katanya sambil disahut gelak ketawa oleh hadirin.

Sementara itu, ketika ditanya oleh hadirin mengenai penggunaan kenderaan milik kerajaan semasa pilihan raya diadakan, Mohd Shukri berkata sehingga kini tiada garis panduan khusus mengenai perkara itu.

"Bila parlimen bubar sepatutnya perlu ada satu kerajaan sementara ditubuhkan untuk mengambil alih negara. Mengenai penggunaan kenderaan itu, saya rasa bukan hanya digunakan pada satu parti sahaja kerana ia termasuk kenderaan kerajaan negeri.

"Sekarang garis panduan lengkap tiada tetapi kita boleh usulkan pada kerajaan supaya adakan panduan yang tegas berhubung penggunaan kenderaan kerajaan," katanya.

SPRM: Kami siasat banyak, tapi tak didakwa

Zulaikha Zulkifli

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mendakwa terdapat kes rasuah yang telah disiasat tetapi tidak didakwa di mahkamah oleh pejabat peguam negara.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Mohd Shukri Abdull berkata, ia berpunca kerana apabila sesuatu kes di bawa ke mahkamah, bukti yang dikemukakan tidak mencukupi.

"Tujuan SPRM ditubuhkan adalah untuk ambil tindakan terhadap orang yang lakukan rasuah. Kita tak boleh tangkap berdasarkan sentimen.

"Banyak kes yang disiasat tetapi tidak didakwa... Tak bermaksud tiada kes. Ada kes. Tapi bila (hendak) bawa ke mahkamah, mereka (pejabat peguam negara) kata tak cukup bukti. Masyarakat kena faham.

"Tak timbul isu kita tak ambil tindakan terhadap 'ikan besar' atau tidak. Kita buat kerja siang malam. Kes rasuah rumit. Bukan mudah untuk dapat kerjasama orang ramai kerana tiada siapa yang nak bercakap," katanya pada wacana anjuran Sinar Harian di Shah Alam hari ini.

Mohd Shukri juga berkata, kes rasuah berbeza dengan jenayah lain kerana ia melibatkan kawan rapat, rakan parti dan ahli keluarga yang tidak akan 'buka mulut'.

"Mereka tak kan bercakap. Siapa yang nak datang bercakap bila kita tanya? Kita tak ada kuasa untuk dakwa orang," katanya.

Rafizi rela kerja separuh masa dengan SPRM

Sementara itu itu, Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli pula mencadangkan agar peguam negara ditukar bagi memudahkan siasatan dilakukan oleh SPRM.

Menurut Rafizi, negara memerlukan seorang peguam negara yang jujur serta bekerjasama dengan SPRM agar setiap kes boleh dihadapkan ke mahkamah.

"Kalau saya jadi perdana menteri... Tapi saya tak jadi lagi... Tanpa ubah perlembagaan, kita boleh tolong pegawai SPRM dengan (cara) menukar peguam negara. Peguam negara yang ada sekarang mempunyai rekod buruk, terkenal dengan menerapkan 20, 30 fail.

"Kita perlu cari peguam negara yang jujur yang akan bekerjasama dengan SPRM supaya, tidak kisah Pakatan Rakyat ke, BN atau pensyarah, kalau dia rasuah, akan dihadapkan ke mahkamah," katanya.

Rafizi bagaimanapun tidak bersetuju dengan kenyataan Mohd Shukri mengenai saksi yang sukar 'buka mulut' kerana masyarakat kini sudah berubah dan berani untuk membongkar sesuatu kes.

Merujuk kepada isu Pusat Fedlot Nasional, Rafizi berkata, hampir kesemua maklumat dan dokumen diberi oleh orang ramai.

"Masyarakat dah berubah. Sekarang ni kami sampai tak cukup tangan nak siasat. Maklumat, dokumen orang bagi tiap-tiap hari. Masyarakat kita telah ke depan kerana mereka yang rasa bahana dan jahanamnya gejala rasuah ini.

"Saya jika diberi peluang, rela kerja separuh masa dengan SPRM kalau diberi jaminan untuk menyiasat menteri yang berprofil tinggi ini," katanya.

Awang Adek Akan Menangis Tidak Berlagu?

MSO


Berita ini belum disahkan tetapi kemungkinan ianya sahih 90%. Malam tadi ketika singgah di sebuah kedai mamak di Kuala Lumpur yang menjadi setesen malam para broker politik dan facebooker saya terdengar satu berita yang menyayatkan hati. Sedih dan terkejut.

Mulanya saya kira ianya hanya gurauan sahaja sekadar untuk menyedapkan hati beberapa orang yang ada di situ tetapi bila saya minta kepastian penyampai berita itu mengesahkan. "Ini serius," ujarnya.

Turut ada di situ malam tadi dua orang wakil rakyat dan beberapa orang yang sedang mencari kerusi untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang. Saya tidak pasti orang lain peduli atau tidak pada cerita itu walahualam. Barang kali tidak kerana mereka sudah mengenali penyampai maklumat itu mungkin sudah boleh mengagak benar tidaknya.

Tetapi yang menyampaikan berita itu bukan sebarangan. Dia adalah seorang diplomatik yang baru pulang bercuti. Saya tidak fikir dia berbohong kerana maklumat sebegitu tidak boleh dibuat bergurau. Kapasititnya sebagai diplomnati cukup dipercayai. Dan saya juga tidak mengira dia bergurau kerana dia mengenali siapa saya, MSO.... sebutnya.

"Betul ke?" tanya saya ingin ketegasan terhadap apa yang dikatakan.

"Betul... mereka tunggu masa saja, mampus...," katanya.

"Apa sebabnya..." tanya saya lagi kurang percaya.

"Semua orang tahu, demo gi sendiri orang akan cerita...," balasnya. "Katanya seorang dah pun ambil keputusan..." sambungnya lagi. Tentang itu saya kurang mengambil peduli.

Malam 31 Mac ini ada keramaian di kawasan berkenaan. Katanya seorang yang telah membuat keputusan akan memberi maklumat lanjut. Jadi kalau hendak tahu silalah ke tempat itu. Sudah pasti benar atau tidak cerita diplomat itu.

Yang pastinya kalau berita semalam betul dan benar ini bermakna Awang Adek Hussein akan menangis tidak berlagu.

Fail Siasatan Rasuah Sangkut di Pejabat Peguam Negara



SHAH ALAM: Peguam Negara harus ditukar kerana dilihat menyekat pendakawaan rasuah politik di negara ini, kata seorang ahli panel di Wacana Sinar Harian petang tadi.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, Peguam Negara yang ada pada hari ini wajar ditukar kerana banyak keputusan yang dibuat sebelumnya amat mencurigakan.

Walhal Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dikatakan menjalankan tugasnya dengan menyiasat dakwaan rasuah tetapi apabila kes-kes ini dibawa ke pejabat Peguam Negara, ia tidak dibawa ke mahkamah pengadilan.

“SPRM siang malam buat kerja, bila sampai laporan kepada Peguam Negara, mati di situ. Mencurigakan betul. Sebab itulah isu rasuah ini jangan kita lihat pada SPRM sahaja,” ujar Rafizi di dalam wacana yang bertajuk ‘Rasuah Politik: Realiti Atau Persepsi’.

“Kerajaan tidak mahu bersungguh-sungguh membenteras rasuah.

“Kalaulah saya jadi Perdana Menteri tanpa ubah perlembagaan pun kita boleh tolong pegawai-pegawai SPRM macam Datuk Shukri (Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdul) ini dengan satu tindakan sahaja, iaitu apa dia, kita tukarkan peguam negara.”

Dalam pada itu, Mohd Shukri, yang juga ahli panel, menyangkal persepsi masyarakat bahawa SPRM hari ini hanya berani menangkap ikan bilis dan bukan jerung besar.

Mohd Shukri berkata SPRM hanya diberi kuasa menyiasat manakala pendakwaan mahkamah pada tangan Peguam Negara.

“Dalam kes-kes yang kita cadangkan kepada peguam negara pada pandangan kita ada kes tetapi pada dia tak cukup bukti.

“Nak dakwa macamana, kita tak ada kuasa untuk dakwa. Kita cuma siasat sahaja, kuasa pemutus untuk mendakwa tertuduh terletak pada Peguam Negara.

“Kalau nak ikutkan, memanglah saya dan pegawai-pegawai nak dakwa mereka ini,” ujar beliau.

Rafizi: Najib ‘Bapa Pengumuman’



SHAH ALAM: ‘Bapa Pengumuman’- Mungkin inilah gelaran yang secocok buat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi menggambarkan sikap obses beliau dalam membuat pelbagai pengumuman.

Ungkapan gelaran tersebut dinyatakan oleh Pengarah Startegi PKR, Mohd Rafizi Ramli ketika cuba menggambarkan beberapa pengumuman Najib yang dianggap tidak disertakan langkah realistik bagi membendung jenayah rasuah di dalam Wacana Sinar Harian semalam.

Menurut Rafizi, meskipun Najib mengumumkan agenda memerangi rasuah termasuk dalam enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), ianya masih tidak memadai kerana tidak disusuli tindakan yang realistik.

“Kalaulah tugas kerajaan cukup sekadar mengumumkan beberapa perkara, mudahlah jadi PM.

“sebab itulah ada orang berjenaka, PM Najib Razak ini suatu hari nanti akan dikenali sebagai bapa pengumuman sebab dia banyak mengumumkan ganjaran,” ujar beliau dan disambut dengan ketawa oleh para hadirin.

“Tetapi tidak cukup dengan itu, yang kita nak tengok kalau pun kita ada NKRA dan GTP (Program Transformasi Kerajaan) untuk membenteras rasuah, kesannya mesti dirasai oleh orang di bawah.

“Setakat ini selepas dua tahun, keadaannya bertentangan. Perancangan satu perkara, tetapi kuasa yang diberikan dan keseriusan kerajaan untuk tidak campur tangan,” ujar beliau.

Selain Rafizi, ahli panel lain yang turut diundang dalam Wacana Sinar Harian siri ke 12 ini adalah Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdul dan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Manakala ahli panel lain yang turut diundang ialah Presiden JUST, Dr Chandra Muzaffar bagi mengupas isu bertajuk Rasuah Politik: Realiti atau Persepsi.

Pada bulan April 2009, Perdana Menteri telah mengumumkan 6 NKRA dalam GTP, dan salah satu daripadanya merupakan NKRA memerangi rasuah.

Bagaimanapun, disebalik pengumuman mewujudkan NKRA dan meningkatkan peruntukan perangi rasuah,Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) Malaysia berterusan merudum di sepanjang pentadbiran beliau dari tangga ke 43 pada 2007 ke tangga 60 pada 2011, terburuk dalam sejarah.

Manakala markah CPI pada tahun 2007 mencatatkan 5.1 pada 2007 dan jatuh kepada 4.3 pada tahun 2011.

NFC: Noh nafi tender baru tutup kelemahan kerajaan

SAPINAH AB GHANI

noh omar

KOTA BHARU - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar menafikan dakwaan bahawa tindakan memberi tender baru bagi menguruskan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) bertujuan mahu menutup kelemahan kerajaan mengadakan projek lembu daging itu.

Sebaliknya, beliau berkata, tindakan itu bertujuan meneruskan matlamat penubuhan syarikat berkenaan yang memainkan peranan penting menghasilkan sumber bekalan daging lembu negara.

“Secara dasarnya ini tuduhan tidak betul, NFC ditubuhkan kerajaan untuk kita menambah hasil pengeluaran daging lembu, sebab terlalu banyak daging lembu yang kita import dari luar bagi memenuhi permintaan negara.

“Sebenarnya bukan sahaja lembu, kita juga buat untuk kambing, sayur-sayuran dan banyak juga projek-projek yang kita buat untuk menentukan dasar agro makanan negara berjaya,” katanya kepada media pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bagi bulan Mac 2012 di Auditorium Kebudayaan dan Kesenian Negara di sini, hari ini.

Noh berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan PKR yang membantah keras tindakan kerajaan yang ingin menjemput bidaan baru dengan memilih kontraktor untuk mengambil alih operasi NFC.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dalam kenyataannya semalam berkata, tindakan mempelawa bidaan baru bertujuan untuk menutup isu itu secepat mungkin tanpa mengambil kira langkah sebelum ini, termasuk pembekuan aset dan pelantikan audit bebas.

Noh berkata, NFC adalah projek kerajaan dan ia tidak boleh terbantut.

Bagaimanapun sebarang penjelasan lebih terperinci mengenainya diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk diumumkan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Noh ketika diminta mengulas mengenai dasar subsidi padi yang didakwa mempunyai had tertentu, menolak dakwaan tersebut dan akan menjalankan siasat berhubung perkara itu.

“Bagi setiap tan padi yang dihasilkan, sebanyak RM248.10 subsidi diperuntukkan tanpa ada sebarang had tertentu,” katanya.

Menurutnya, apa yang berlaku di Kelantan tentang isu had berkenaan akan disiasat termasuk merujuk kepada Bernas.

“Bagaimana boleh ada had di Kelantan sedangkan kita menjanjikan bonus kepada petani yang berjaya menghasilkan 10 tan padi, sebagai galakan kepada mereka,” katanya.

Jabatan Penjara nafi Hoslan islamkan banduan

Wartawan Sinar Harian

imam mahkamah

SHAH ALAM - Jabatan Penjara menafikan laporan media bahawa bekas imam Hoslan Husin, yang kini ditahan di penjara berhubung kesalahan menghina mahkamah, telah mengislamkan dua orang banduan di Penjara Kajang.

Hoslan menjalani hukuman penjara satu tahun sejak 8 Mac lalu kerana membaling kasut ke arah panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan.

"Ibu Pejabat Penjara telah menghantar pegawai untuk menyiasat laporan oleh media berkenaan kerana mendapati ia bertentangan dengan tatacara dan prosedur Jabatan Penjara.

"Hasil siasatan mendapati laporan (media) adalah tidak tepat dan boleh mengelirukan orang ramai," kata Ketua Unit Perhubungan Awam Jabatan Penjara, Supri Hashim dalam satu kenyataan media.

Menurut Supri, berasaskan prosedur yang diguna pakai oleh Jabatan Penjara, urusan pengislaman seseorang banduan di penjara dilaksanakan secara teratur dan melalui Jabatan Agama Islam dan bukannya oleh banduan lain.

Misalnya menurut beliau, sebaik sahaja seseorang banduan menyatakan hasrat untuk memeluk Islam, proses pengislaman akan dilaksanakan dengan kehadiran pegawai dari Jabatan Agama Islam, pegawai agama Jabatan Penjara serta saksi-saksi yang diperlukan.

"Ia bagi memastikan pengislaman tersebut dilaksanakan secara teratur," katanya.

Menurut beliau, salah seorang yang dilaporkan diislamkan oleh Hoslan sebenarnya telah memeluk agama Islam pada 2009 iaitu sebelum dia dipenjarakan.

"Manakala seorang lagi banduan sebenarnya dalam proses memeluk agama Islam, yang mana akan diuruskan oleh Jabatan Agama Islam dalam masa terdekat," kata beliau.

Malah dalam kenyataannya, Supri menekankan bahawa "dimaklumkan juga pegawai agama atau pembantu pegawai agama yang menjadi imam kepada banduan di surau-surau di dalam penjara dan bukannya banduan."

Selain itu kata beliau, semua program keagamaan Jabatan Penjara akan dikendalikan oleh penceramah bertauliah atau pegawai agama penjara.

"Kemungkinan penama (Hoslan) di atas hanya menjadi imam di sel di mana dia dia ditempatkan bersama beberapa banduan lain semasa mengerjakan sembahyang pada malam hari.

"Bagi tujuan keselamatan banduan tidak akan dikeluarkan dari sel mereka pada waktu malam. Oleh itu, pada kebiasaannya semasa mengerjakan sembahyang berjemaah dalam sel, pada waktu tersebut banduan akan bergilir-gilir menjadi imam sesama mereka," katanya lagi.

Wacana: Rasuah politik tidak bermusim

Wartawan Sinar Harian

Wacana Sinar Harian ke-12 bertajuk "Rasuah Politik: Persepsi atau Realiti"

SHAH ALAM - Rasuah politik memang wujud dan ia wujud bukan hanya semasa pilihan raya sahaja.

Parti pemerintah terutamanya, memang menjanjikan sesuatu ganjaran kepada rakyat, termasuk projek pembangunan bagi terus mendapat sokongan.

Soalnya, apakah itu juga boleh dianggap rasuah politik?

Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, pembangkang sering menuduh kerajaan rasuah apabila menjanjikan projek pembangunan kepada rakyat.

“Sedangkan itu tanggung jawab kita sebagai pemerintah," kata wakil rakyat kawasan Kota Belud ini.

Namun katanya, mereka sendiri sering terlupa turut menjanjikan ‘bulan dan bintang’ untuk meraih undi.

“Kita janji apa yang kita mampu tetapi janji mereka, mereka sendiri pun tak dapat nak tunaikan,” katanya lagi ketika hadir sebagai ahli panel Wacana Sinar Harian ke-12, bertajuk Rasuah Politik: Persepsi atau Realiti di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf di sini, semalam.

Selain Abdul Rahman, turut sama berhujah Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd Shukri Abdull; tokoh akademik dan hak asasi terkemuka, Dr Chandra Muzaffar dan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

Wacana dipengerusikan pensyarah­ Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik.

Ketika menjelaskan definisi tajuk bagi dirinya, Rafizi mengakui rasuah politik satu amalan membabitkan mereka yang berkuasa memberikan janji untuk mendapatkan sokongan agar keputusan pilihan raya memberi kelebihan kepada mereka.

“Di Malaysia, rasuah berlaku apabila seseorang individu menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi. Pemahaman rakyat terhadap rasuah politik ialah kuasa disalahgunakan untuk memberikan projek kepada pihak-pihak tertentu dan bon pada pilihan raya,” katanya.

Berlainan pula bagi Chandra yang menegaskan bahawa rasuah politik adalah janji dibuat individu yang mewakili parti politik bagi meraih undi.

Menurutnya, rasuah politik bukan hanya tertumpu di negara ini, tetapi merangkumi seluruh dunia dalam usaha seseorang atau sesuatu kumpulan mencari kuasa sebagai parti pemerintah.

“Rasuah politik melangkaui sempadan kerana ia merangkumi semua pihak termasuk parti kerajaan ataupun pembangkang dan ia tidak tertumpu satu pihak sahaja.

“Jika kita lihat mana-mana pilihan raya, pemimpin setiap parti politik menjanjikan pelbagai imbuhan untuk memancing undi,” katanya.

Namun kata Chandra, rakyat sedia maklum rasuah politik bukanlah parti, sebaliknya sikap individu atau ahli politik itu sendiri dalam usaha meraih kemenangan.

“Ia boleh disifatkan bahawa rasuah jenayah individu,” katanya.

Mohd Shukri mengingatkan orang ramai supaya tidak menyangka buruk atau memusuhi SPRM yang bekerja keras serta bebas mencegah perbuatan rasuah bagi menyelamatkan masyarakat serta negara.

“Semua orang, terutama pemimpin politik janganlah musuhi kami. Kami berjuang menyelamatkan negara. Marilah kita sama-sama selamatkan negara. Janganlah politikkan isu rasuah kerana musuh kita ialah jenayah rasuah,” katanya.

Bagi maksud yang sama, Mohd Shukri berkata, pemimpin BN dan PR perlu menunjukkan persepakatan mereka untuk tidak mempolitikkan isu rasuah sebagaimana dimeterai bersama dalam Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah.

Menurutnya, masalah dihadapi SPRM dalam menyiasat dakwaan rasuah membabitkan pemimpin politik ialah rasuah dipolitikkan demi kepentingan mereka.

“Isunya kini, jangan hanya bercakap tetapi kita perlu terjemahkan dalam bentuk tindakan.

“Mulai hari ini, dengan persetujuan wakil dua pemimpin daripada BN (Abdul Rahman) dan PR (Rafizi) tidak mempolitikkan rasuah, saya minta ianya terjemahkan dengan tindakan,” katanya.

Saya tiada niat langsung untuk baling selipar

Wartawan Sinar Harian

Nur Adha (kanan) bersalaman dengan anak muridnya Sritharan sambil diperhatikan oleh keluarga murid

PETALING JAYA – Guru Bahasa Inggeris yang tidak sengaja membaling selipar ke muka anak muridnya meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut di masa akan datang.

Guru berkenaan Nur Adha Mat Ali, 30, berkata, apa yang berlaku benar-benar di luar kawalan dan dia sendiri menyesal di atas apa yang berlaku.

“Saya minta maaf kepada murid saya iaitu Sritharan di atas apa yang berlaku begitu juga dengan ibu dan bapanya,” katanya pada sesi pertemuan dari hati ke hati antara pihak Sekolah Kebangsaan Damansara Damai 1 (SKDD 1) dan keluarga mangsa, semalam.

Dalam kejadian pada waktu persekolahan petang Isnin lalu, murid tahun satu terbabit M. Sritharan dibaling selipar oleh gurunya hingga menyebabkan dia mengalami cedera ringan pada bahagian mata kiri.

Sementara itu bapa mangsa A. Murugan, 46, ketika ditemui berpuas hati dan memaafkan guru itu di atas apa yang berlaku.

“Saya menerima maaf cikgu Nur Adha dan saya berharap selepas ini anak saya dapat meneruskan pembelajaran selepas mendapat tiga hari cuti sakit oleh pihak hospital,” katanya.

Murugan berkata, dia juga akan menarik semula laporan polis yang telah dibuat mengenai insiden tersebut sebelum ini.

Pertemuan yang dipengerusikan oleh Setiausaha PKR Cabang Subang G. Manivanan itu dianggap selesai selepas kedua-dua pihak saling bermaafan antara satu sama lain.

Mengulas lanjut mengenai insiden yang berlaku, Yang Dipertua PIBG SKDD 1 Zakir Abdul Rahman ketika dihubungi memaklumkan supaya ibu bapa yang mempunyai sebarang kemuskilan atau masalah membabitkan anak mereka di sekolah boleh melaporkan kepada pihak PIBG untuk diselesaikan.

“Jangan buat aduan atau tindakan yang boleh mengeruhkan lagi suasana kerana dalam kes ini apa yang berlaku boleh diselesaikan dengan cara yang paling baik,” katanya.

Khamis, 29 Mac 2012

Semak semula Akta Mahkamah Syariah

Mohd Azmi Abdul Hamid,

Jawatankuasa Sekretariat Gerakan Sokong Syariah (Gesa) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menuntut supaya Parlimen menyemak semula Akta 355 iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Disemak - 1988). Akta ini yang terpakai hanya bagi semua Negeri di Semenanjung Malaysia membantutkan bidangkuasa Mahkamah Syariah. Malah ia bertaraf jauh lebih rendah dari undang-undang sivil.

Mengikut bidang kuasa Jenayah Mahkamah Syariah yang sedia ada, di bawah undang-undang negeri, undang-undang tersebut hanya terpakai ke atas orang-orang yang menganuti agama Islam.

Akan tetapi ia terikat dengan syarat tidak boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau, denda melebihi lima ribu ringgit atau, sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.

Bukan sahaja status ini menempatkan Mahkamah Syariah masih berada di tahap lebih rendah dari Mahkamah Sivil, malah akta yang wujud itu sendiri bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Ini adalah kerana menurut Senarai 11 dalam jadual sembilan Perlembagaan Persekutuan, kuasa agama adalah terletak dalam bidang kuasa negeri. Jadi bagaimana sebuah akta diujudkan yang boleh menjejaskan kuasa negeri.

Jika Malaysia hendak memajukan status syariah di negara ini maka ia tidak boleh membiarkan undang-undang syariah terikat dan statik seperti yang berlaku sekarang.

Sesungguhnya perkembangan zaman dan keadaan semasa menuntut supaya Akta yang menghadkan bidang kuasa Mahkamah Syariah diubah.

Secara bandingan, soal binatang sahaja terdapat 6 buah akta. Kadar denda di bawah Akta Binatang 1953 (Semakan 2006) bagi kesalahan mendera haiwan telah diperketatkan.

Ternyata ada inisiatif untuk menaikkan hukuman kepada pendera binatang kepada cadangan denda yang lebih tinggi menunjukkan betapa rendahnya undang-undang syariah di negara ini bila undang-undang syariah hanya boleh mendenda maksima RM5,000 sahaja.

Gesa dan Mapim tidak boleh menerima samasekali kedudukan ini sedangkan Mahkamah Syariah sudah melalui pelbagai penambahbaikan dari segi prasaran dan pengurusan.

Persepsi dan hormat masyarakat terhadap undang-undang syariah ternyata sangat rendah kerana keadaan tersebut. Apatah lagi untuk menjadikan undang-undang syariah dihormati dalam masyarakat, ia jelas tidak akan mampu menjadi undang-undang yang mengekang (deterant) selagi kuasa menghukum oleh Mahkamah Syariah sangat terbatas.

Tidak mengejutkan jika pelbagai jenayah yang serius pada pandangan Islam seperti khalwat, kesalahan zina, bersekedudukan, musahaqah (lesbian), liwat, murtad, perbuatan membuang bayi, hamil luar nikah dan masalah tukar agama merupakan gejala sosial masa kini yang berleluasa.

Undang-undang syariah yang sepatutnya mempunyai keupayaan menyekat jenayah-jenayah tersebut dengan jauh lebih berkesan dari undang-undang sivil ternyata tidak mampu memberi bekas sewajarnya jika statusnya berada dalam keadaan yang sedia ada.

Gesa dan Mapim mendapati pindaan Akta Mahkamah Syariah 1965 yang terakhir dilakukan pada tahun 1988 iaitu 24 tahun yang lalu. Ini sudah tentu tidak sesuai dengan perkembangan semasa. Malah jika syariah ingin dijadikan sistem yang unggul dan boleh menawarkan penyelesaian yang terbaik kepada kemelut sosio-ekonomi dan politik umat masakini, Gesa menuntut supaya Akta Mahkamah Syariah dimansuhkan.

Mohd Azmi Abdul Hamid ialah Pengerusi Gesa dan Setiausaha Agung Mapim.

Peminjam PTPTN disenarai hitam banyak sekatan

Salmiyah Harun,


KUALA LUMPUR: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang disenaraihitamkan bukan sahaja tidak dibenarkan keluar negara bahkan mereka tidak boleh membuat sebarang pinjaman dengan mana-mana bank.

Seorang peguam, Abdul Malik Abdul Hakim (gambar) berkata, peminjam tidak boleh membuat pinjaman peribadi, kad kredit, rumah atau kenderaan sekiranya disenaraihitamkan.

"Tiga bulan tidak bayar hutang PTPTN, tiga bulan hutang tertunggak yang dianggarkan sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sudah di'blacklist' terus," katanya ketika mengunjungi Harakahdaily.

Malah beliau menyifatkan PTPTN lebih 'teruk' berbanding bank-bank yang ada di negara ini.

Malik berkata, PTPTN tidak dilesenkan sebagai sebuah institusi kewangan di bawah peruntukan Akta Perbankan dan Institusi Kewangan, apatah lagi tidak dikawal selia atau di bawah pengawasan Bank Negara Malaysia.

"Kalau kita disenaraihitamkan oleh bank kerana tidak membayar hutang baik rumah, atau kereta paling tidak mereka dakwa kita di mahkamah mengikut prosedur, dan kita masih boleh ke mana-mana hatta ke luar negara sekali pun," katanya.

Beliau yang mewakili Mandeep Singh, pelajar Unisel yang pertama menyaman PTPTN berkata, anak guamnya ditahan di LCCT pada 6 Julai tahun lalu meskipun telah menjelaskan jumlah hutang sebagaimana yang ditetapkan PTPTN sebelum itu.

Ekoran kejadian tersebut, perjalanan Mandeep ke China terpaksa ditangguhkan.

8 Jun 2011, Mandeep telah menjelaskan tunggakan sebanyak RM2,330.82 dan PTPTN telah mengesahkan pembayaran tunggakan itu, tetapi 6 Julai 2011 pelajar terbabit ditahan di LCCT oleh pegawai Imigresen kerana disenaraihitamkan dalam sistem komputer Jabatan Imigresen Malaysia.

"Di sini pihak PTPTN tidak mengeluarkan nama anak guam saya di dalam senarai hitam walaupun hutang tunggakan sudah dilangsaikan.

"Dan bagi anak guam saya, yang paling penting adalah soal keadilan kepada peminjam sepertinya yang baru merasai kehidupan selepas tamat pengajian," katanya.

Tambahnya, kira-kira 1.8 juta peminjam PTPTN dan mereka ini antara golongan muda yang berumur 20 hingga 35 tahun, akan merasai keperitan membayar balik hutang mereka.

Beliau juga mendapat maklumat sekurang-kurangnya purata sehari seramai 60 peminjam PTPTN ditahan Imigresen di lapangan terbang antarabangsa ketika mahu keluar negara.

Beliau mengingatkan mahasiswa supaya meneliti kandungan perjanjian dengan PTPTN atau serius mendapatkan nasihat peguam, sebelum perjanjian itu ditandatangani.

Sebelum wujudnya PTPTN, katanya, seseorang anak muda hanya mempunyai tiga sumber kewangan untuk membiayai pengajian ijazahnya, iaitu biasiswa sama ada dari kerajaan atau badan bebas yang lain, pinjaman daripada institusi kewangan seperti bank atau lazimnya ditanggung ibu bapa.

"Anak muda pada usia sebaik sahaja berjaya memasuki pusat pengajian tinggi mereka tidak mempunyai banyak pilihan pada ketika itu, kecuali untuk menerima pinjaman PTPTN, ditambah hanya tabung itu sahaja memberikan tawaran," katanya.