HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 Mac 2012

Semangat waja si miskin

Oleh Kasthuri Patto



Ada satu kisah yang membuatkan saya sangat terharu. Terdapat seorang lelaki di Hulu Selangor yang merupakan seorang India-Muslim. Beliau bukan mualaf kerana keturunan keluarga beliau sememangnya Islam. Beliau berkerja dalam hutan di kawasan turbin di Hulu Selangor.

Gajinya cuma RM800 sebulan. Ibunya menghidap katarak, isterinya pula mempunyai jantung berlubang, beliau mempunyai 3 anak kecil dan yang paling bongsu merupakan anak kurang upaya. Dengan hanya RM800, beliau kena buat segala-galanya.

Rumah yang didiami dibayar secara silih ganti. Maksudnya, sebulan dia bayar rumah, bulan kedua dia bayar bil. Beliau cuba untuk memusingkan wang tersebut sebaik yang mungkin.

Saya mendapat tahu bahawa terdapat seseorang di Pejabat Tanah Hulu Selangor yang inginkan tanah dan rumah yang didiami beliau sekeluarga. Oleh kerana rekod kurang baik pembayaran dan sebagainya, maka bank sememangnya mempunyai kuasa untuk melelongkan rumah tersebut.

Meminta bantuan

Beliau bersusah payah mencari bantuan di sana sini dan akhirnya datang kepada pejabat kami kerana tiada lagi tempat yang mahu mengadu. Masa itu saya bekerja di pejabat Ronnie Liu yang merupakan Exco Kerajaan Tempatan dan Kajian dan Penyelidikan Negeri Selangor.

Kita telah pergi ke bank untuk membantu orang yang susah itu. Kita telah bertanya kepada bank berapa yang perlu dibayar dahulu untuk mengelak rumah tersebut daripada ditarik.

Tetapi mereka enggan mendengar. Bank berkata bahawa Pejabat Tanah telah mengarahkan kami menarik rumah tersebut dan kami hanya membuat dan menyediakan kertas kerja.

Apabila saya menyemak dengan Pejabat Tanah, mereka berkata kepada kita, “tiada sesiapa boleh mengatasi undang-undang. Jika beliau tak bayar, maka bank akan memberikan surat”. Jadi siapa yang berkata benar?

Saya tidak datang dari latar belakang perbankan jadi saya tak tahu nak percaya pada siapa. Tiada sesiapa pun yang mahu berkerjasama dengan saya untuk melihat hitam putih bagi menjelaskan perkara sebenar. Siapa yang memberi arahan pada siapa?

Perkara ini berlanjutan sehingga sebuah surat diterima mengatakan tarikh rumah tersebut akan dilelong. Orang yang kita mahu bantu itu amat sedih dan hampir berputus harapan. Namun kita tetap juga berusaha membantu beliau. Lagi pun semangat wajanya memberi inspirasi kepada saya.

Kita kena faham bahawa mereka enggan berkerjasama dengan kita dari awal sehingga akhir – apabila Exco Kerajaan Selangor minta pun tak mahu bagi ke nombor-nombor telefon orang yang patut dihubungi.

Tidak putus asa

Pada saat akhir kita dapat juga nombor pegawai yang bertanggungjawab. Kita telah meminta beliau untuk menghentikan lelongan tersebut. Kita telah mengumpulkan duit untuk beliau, tapi bank tidak mahu mendengar. Ada duit nak bayar pun bank tak mahu dengar.

Apabila tanya kepada bank, bank berkata, Pejabat Tanah mengarahkan kami supaya tidak menerimanya. Banyak sungguh permainan kotor dan politik. Kita kena faham, Pejabat Tanah dan Pegawai Daerah hanya melapor terus kepada bos besar mereka, iaitu Kerajaan Pusat. Semua tahu kerajaan pusat dikuasai oleh BN.

Saya tidak pernah berdoa begitu banyak untuk membantu beliau, mengharapkan suatu keajaiban berlaku. Saya amat marah ketika itu. Namun kita tidak patut putus asa. Mereka berkuasa untuk buat dan hentikan lelongan itu berlaku tapi mereka tetap tidak mahu. Duit ada nak bayar pun mereka tak mahu terima.

Kita lawan mati-matian untuk orang yang susah itu. Kita tahu dia enggan mengalah kerana itulah satu-satunya tempat berteduh untuk beliau dan keluarganya. Sehari sebelum lelongan, saya melawat ibu saya di hospital yang selesai menjalani pembedahan. Sesuatu yang tidak disangka-sangka berlaku.

Saya terima SMS daripada lelaki tersebut yang berbunyi, “Alhamdulillah, kita berjaya mengeluarkan nama rumah saya dari senarai lelongan, dan rumah saya selamat. Ibu saya akan tidur aman malam ini dan saya tidak akan lupa jasa anda.” – Roketkini.com

Penulis adalah Setiausaha Politik kepada Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang

Tiada ulasan: