HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Mac 2012

Melayu belum sedar MCA bodohkan Umno?

oleh al_madd
Di mana-mana pun sangkaan atau keyakinan seperti ini memang ada. Bunyi sangkaan dan keyakinan itu adalah, "Dalam BN, Umno kuat dan boleh kuasai MCA. Tetapi, adakah dalam gabungan Pakatan Rakyat

yang masih rapuh itu, PAS boleh kuasai Dap?

Selalunya, kata-kata ini lahir dari lidah orang-orang Umno itu sendiri. Namun, isunya di sini bukanlah persoalan benar atau pun tidak.

Isu penting di sini - adakah kenyataan ini bertaraf sangkaan atau sebuah keyakinan yang cuba dijelmakan atas nama penyelidikan rambang.

Kalau benar MCA itu dikuasai Umno, maka pernahkah ahli-ahli Umno menyiasat dan membuat penyelidikan, kenapakah MCA masih diperbodohkan Umno jika benar Umno menunggang dan menguasai MCA itu?

Salah satu jawapan yang boleh menjelaskan kenapa MCA boleh dikuasai dan dipengaruhi Umno ialah - kuasa wang! Bagaimana Umno melakukannya ke atas MCA? Iaitu, melalui anugerah projek-projek dan dengan cara itulah MCA akan didiamkan.

Kedudukan ini amat merbahaya kepada Umno dan Melayu sendiri. Ini kerana, negara sedang menuju ke wilayah kemiskinan. Kedudukan perjanjian Umno dan MCA yang semangatnya berteraskan wang, projek dan kuasa ini menyebabkan MCA akan kembali menguasai dan menunggang Umno ketika parti itu semakin lemah lantaran ketiadaan wang lagi. Wang, bagi Umno adalah kekuatan paling tinggi!

Jadi perkara inilah yang paling kerap didengungkan dari telinga ke telinga masyarakat. Polemik 'siapa menunggang siapa' dalam BN atau Pakatan Rakyat adalah antara ramuan fikiran orang-ramai yang tidak kunjung berkesudahan menjadi bahan fikiran mereka.

Perkara ini penting bagi sesetengah orang Melayu sebab mereka mahu menyelamatkan survival Melayu. Jika Umno di dalam BN itu yang dianggap boleh menyelamat kepentingan Melayu, maka seburuk mana pun Umno dalam BN itu, parti itulah juga yang akan diundi Melayu lantaran parti korup itu diyakini dapat menyelamatkan kepentingan Melayu.

Soal sama ada benar atau tidak Umno dapat menyelamatkan kepentingan Melayu itu menjadi menjadi tidak penting lagi. Yang penting adalah kefahaman yang kerap berlegar dalam fikiran Melayu bahawa Umno itulah pembela Melayu di kala susah walaupun parti itu korup.

Jadi dengan mendedahkan keburukan Umno itu bukannya menjadi sebab lagi untuk menang. Yang perlu dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat ialah meyakini Melayu bahawa bangsa Melayu itu dibela terus-menerus di bawah kerajaan baru Pakatan Rakyat ini.

Maka, debat berterusan adalah cara terbaik untuk mencari arah hala tuju antara kedua-dua gabungan parti-parti besar ini. Debat, setidak-tidaknya boleh memudahkan rakyat membuat kesimpulan tentang persoalan ini, "Adakah Umno kuasai MCA atau sebaliknya? Adakah PAS kuasai Dap atau sebaliknya?"

Rakyat mahu tahu, adakah perkara di atas ini masih kekal sebagai suatu sangkaan atau kedudukan kenyataan itu masih lagi tegak berdiri sebagai sebuah tiang keyakinan yang teguh bagi sesetengah orang? Anwar Ibrahim misalnya sudah terlalu bersedia untuk berdebat, tetapi lawan Najib Razak nampaknya masih ragu-ragu, takut dan malu-malu untuk berdepan dengan debat itu.

Syahadan, baru-baru ini, pecahlah jawapan sebenar daripada lidah pemimpin nombor wahid MCA; Chua Soi Lek dalam debatnya bersama Lim Guan Eng.

Chua dengan tegasnya menyatakan: "Kita orang Cina, berani menentang-menentang dan melawan Umno terutama dalam bab hudud, adakah DAP berani dalam hal ini?"

Nampaknya, dalam pusingan ini pun, Umno sudah tewas kerana Chua sudah berani dan jelas menyatakan buah fikirannya yang menentang Hudud, dalam keadaan Umno gugup berdepan dengan pandangan itu. Maka, diketahuilah akan sekalian rakyat jelata bahawa sekalian Umno itu penakut rupa-rupanya.

Maka, terhadap kenyataan itu, Lim pun berkata: "Kita orang Dap, tidak boleh menghalang kepercayaan orang Islam dalam hal agama mereka, begitu juga orang PAS tidak pernah menghalang dalam bab agama kita..."

Lim tidak berkata bahawa beliau mewakili Cina walaupun memang ramai Cina dalam Dap. Tetapi, Lim berkata Dap tidak boleh halang kepercayaan orang Islam dan beliau turut mewakili suara hati PAS dengan berkata, bahawa PAS ini tidak menyekat agama lain juga.

Jadi, sudah jelas dalam pusingan awal ini, Umno memang dikuasai MCA dalam BN. Tetapi dalam Pakatan Rakyat, semangat musyawarah itu hadir. Tiada sesiapa pun yang menguasai sesiapa dalam Pakatan Rakyat ini, manakala debat-debat berlangsung dengan berterusan secara sihat.

Tiada ulasan: