HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 Mac 2012

KETENGAH Tidak Benar Rombongan WARIS Masuk Serahkan Memorandum

Wartawan Buletin

DUNGUN - Badan Bertindak Pewaris Bumi Malaysia (WARIS) gagal menyerahkan ‘Memorandum Rakyat Untuk KETENGAH’ apabila rombongan yang diketuai oleh Pengerusinya, Haji Roslan Ismail tidak dibenarkan masuk bagi menyerahkannya.

Rombongan WARIS tersebut bersama 30 orang ahlinya ‘ditahan’ di pintu masuk pagar utama oleh pihak pengawal keselamatan bangunan KETENGAH.

Haji Roslan melahirkan rasa dukacita dengan tindakan pihak KETENGAH yang tidak membenarkan rombongan WARIS memasuki bangunan pentadbirannya bagi menyampaikan memorandum tersebut.
Katanya, pihak WARIS telah menghantar wakil untuk berbincang sebanyak dua kali bagi memaklumkan rancangan penyerahan memorandum berkenaan.

“Kita (WARIS) datang pada hari ini hanya untuk menghantar memorandum rakyat kepada KETENGAH. Kita bersetuju untuk tidak bawa ramai penyokong dan cukup sekadar 20 orang sahaja dan dia (pegawai) setuju secara lisan.

“Oleh kerana, hari ini kita (WARIS) tidak dapat masuk dan kita akan datang semula pada bulan depan (April) dengan jumlah lebih ramai melebihi 1000 orang, Insya’Allah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan pintu masuk bangunan pejabat KETENGAH di Bandar Al-Muktafil Billah Shah (AMBS), Bukit Besi, Dungun, hari ini.

Menurutnya, kehadiran rombongan WARIS tersebut bukan mahu timbulkan masalah tetapi bagi memperbetulkan kepincangan yang berlaku dalam pengurusan KETENGAH.

Katanya, kewujudan KETENGAH sejak lebih 20 tahun lalu terlalu banyak kepincangan yang perlu diperbetulkan.

Hadir sama mengiringi rombongan tersebut Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman, Timbalan Pesuruhjaya (I) PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sura, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli dan Setiausaha WARIS, Naraza Muda.

Tiada ulasan: