Seramai 889 rakyat Malaysia ditahan di luar negara atas kesalahan dadah sejak 10 tahun lepas, sekaligus menjadikan jumlah paling tinggi rakyat negara ini ditahan atas kesalahan itu berbanding kes jenayah lain yang dilakukan di negara luar.Ini diikuti dengan pemalsuan kad kredit iaitu 248 orang, lain-lain (158), mencuri (105), Imigresen (85), jenayah komersial (84), menipu (65), pemerdagangan manusia (50), pemalsuan dokumen (44) dan membunuh seramai 27 orang.
Statistik Kementerian Luar yang diambil dari tahun 1991 hingga tahun lepas itu juga mendedahkan jumlah keseluruhan rakyat negara ini ditahan di negara luar adalah seramai 1,941 orang, menurut Pegawai Khas Menteri Luar Neow Choo Seong.
“Seramai 1,755 yang ditahan telah disabitkan kesalahan, manakala 186 lagi telah dibebaskan,” katanya dalam satu seminar Kesedaran Rakyat Mengenai Keldai Dadah (SEDARLAH) di Kolej Universiti Sains Kesihatan Masterskills di sini, Khamis.
Daripada statistik itu, katanya seramai 81 orang rakyat negara ini dipenjarakan seumur hidup, 33 dikenakan hukuman mati manakala selebihnya dipenjarakan antara lima hingga 30 tahun di luar negara, katanya.
“Daripada 33 orang yang dikenakan hukuman mati itu, 25 daripada mereka melakukan kesalahan berkaitan dadah, manakala lapan lagi kerana membunuh.
“Tahun paling tinggi rakyat negara ini ditahan atas kesalahan dadah pula adalah pada 2007 iaitu seramai 145 orang, 2008 seramai 138 ditahan, 2009 (135), 2010 (126) dan tahun lepas seramai 72 orang ditahan,” katanya.
Beliau berkata ini membuktikan kesalahan paling serius dilakukan rakyat negara ini di negara luar adalah dadah dan perkara yang sering dikaitkan dengannya adalah ‘keldai dadah’.
“Keldai dadah merujuk kepada seseorang yang secara sukarela atau terpedaya untuk menjadi kurier membawa dadah atau barang seludup ke negara lain. Antara taktik penyeludupan adalah menyembunyikan dadah tersebut di dalam kenderaan, dalam bagasi atau beg pakaian, mengikat atas badan atau menelannya,” katanya.
Neow juga mendedahkan, kira-kira 80 peratus daripada kalangan rakyat negara ini yang dikesan terlibat menjadi keldai dadah adalah terdiri daripada golongan lelaki. Katanya laporan dari Bahagian Konsular Wisma Putra itu membuktikan bilangan lelaki adalah golongan tertinggi terlibat menjadi keldai dadah berbanding wanita iaitu hanya 20 peratus.
“Bila bercakap mengenai keldai dadah, tentu kita akan terbayangkan wanita selalunya yang akan jadi mangsa atas faktor terjerat dalam percintaan atau mengejar kemewahan. Tetapi sebenarnya lelaki juga tidak terkecuali dan golongan ini dikesan paling ramai terlibat,” katanya kepada Bernama.
Neow berkata, kebanyakan golongan lelaki yang dikesan menjadi keldai dadah pula ditangkap secara berkumpulan kerana mereka sebelum itu mengagih-agihkan dadah tersebut bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan hukuman lebih berat dikenakan sekiranya ditangkap.
“Kalau wanita melakukannya (keldai dadah) secara seorang diri, lelaki pula melakukannya secara berkumpulan seperti apa yang berlaku di New Zealand tahun lepas. Enam lelaki kita ditahan di sana kerana membawa dadah. Ini adalah satu strategi bagi mengelakkan mereka dikenakan hukuman berat.
“Contohnya kalau seorang sahaja yang bawa tiga kilogram dadah, tentulah hukuman berat dikenakan ke atasnya. Tapi kalau seorang ditahan dengan membawa 500 gram dadah sahaja, (selepas dibahagikan dengan ahli kumpulan lain) hukuman yang dikenakan tentulah lebih rendah,” katanya.
Beliau berkata apa yang boleh dilakukan kementerian itu untuk membantu mangsa yang ditahan di luar negara adalah dengan membuat lawatan konsular ke pusat-pusat tahanan atau penjara, mendapatkan bantuan guaman dengan memberi jaminan perbicaraan dilakukan secara adil dan saksama.
“Kementerian juga bertanggungjawab menjamin hak-hak asasi rakyat Malaysia terlindung di bawah undang-undang tempatan dan undang-undang antarabangsa,” katanya.
Neow berkata antara kesan sosial dari gejala ‘keldai dadah’ ini adalah keruntuhan akhlak dan moral, modal insan kepada negara berkurangan dan pembangunan sosial terbantut.
“Dari segi ekonomi pula, ia akan mengakibatkan ketidakstabilan ekonomi akibat ketidakstabilan sosial. Ia akan menjejaskan pelaburan asing sekaligus membantutkan ekonomi negara,” katanya.
Neow berkata dari segi politik pula, imej negara di arena antarabangsa akan tercalar, menjejaskan hubungan baik dengan negara lain dan wawasan serta dasar negara sukar tercapai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan