HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 Mac 2012

PRU13: Rakyat gusar taktik kotor Umno BN

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: PAS Wilayah Persekutuan (PAS WP) merasa yakin sekiranya Pilihan raya Umum ke 13 dijalankan dengan adil, bersih dan telus berkemungkinan besar Pakatan Rakyat akan menguasai Putrajaya.

Ketua Penerangannya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, ini hasil kajian daripada pelbagai pihak, dan daripada ‘mood’ serta momentum yang dicetuskan oleh rakyat dengan semangat mahukan angin perubahan dalam pilihanraya umum ke 13.

Namun demikian, ujarnya sejak akhir-akhir ini, sudah beberapa gambaran taktik dan strategi kotor dalam PRU digunakan dapat dikesan melalui pendedahan beberapa individu.

Ini, katanya termasuk pendedahan bekas pemimpin terrtinggi Umno, Tan Sri Syeikh Abdul Kadir Syeikh Fadzir bahawa Umno mengamalkan taktik membeli undi dalam pilihanraya sebelum ini.

“Pengakuan bekas Ketua Penerangan Umno bahagian Pekan, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz bahawa Umno mengamalkan taktik persempadanan kawasan mengundi bagi memenangkan mereka menguatkan lagi hujah penipuan yang telah dan bakal dicipta,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Selain itu, katanya isu pertukaran tempat mengundi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari Parlimen Petaling Jaya Utara di Selangor kepada Parlimen Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan amat menggusarkan rakyat.

Tambahnya, tidak pasti pula berapa jumlah sebenar ‘mangsa’ pemindahan tempat mengundi dan tiada jaminan pengundi lain tidak akan diperlakukan perkara yang sama dalam PRU ke 13 nanti.

SPR pula, ujar beliau telah mendaftarkan seramai 240,000 petugasnya sebagai pengundi pos, suatu jumlah yang agak besar dan cukup untuk membantu memenangkan banyak parlimen yang terlibat kepada satu pihak.

“Pendedahan Dr Hatta Ramli, Pengarah Pilihanraya PAS Pusat yang juga ahli Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen bagi penambahbaikan pilihanraya bahawa terdapat seramai 79,098 pengundi ragu dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang mempunyai alamat sama menambah keraguan adakah pilihanraya kali ini akan berlangsung dalam suasana yang amat kotor,” katanya lagi.

Oleh yang demikian, katanya PAS WP meminta pemimpin serta jentera Pakatan Rakyat bersiap sedia dengan menumpukan usaha memastikan segala penipuan dalam PRU13 nanti dapat dihidu dan dibongkarkan agar taktik ini tidak dapat dilaksanakan nanti.

Tambahnya lagi, tidak mustahil semua taktik yang telah didedahkan termasuk ‘taktik tawan Terengganu 2004’ digunapakai di seluruh negara bagi memenangkan sebuah kuasa yang dalam keadaan terdesak sekarang.

Tegasnya, PAS WP percaya rakyat mahukan sebuah pilihan raya yang benar-benar adil dan bersih yang ditentukan oleh rakyat sebagai pengundi yang sah.

Rakyat juga, ujarnya lagi tidak mahukan sebuah pilihan raya kotor yang sarat di dalamnya dengan unsur penipuan.

“Masa depan negara perlu ditentukan oleh pengundi sah, bukan ditentukan oleh pengundi yang bukan mendapat warganegara segera, pengundi yang telah mati, serta pengundi pos,” katanya.

Justeru, kata beliau PAS WP mengingatkan Umno BN agar tidak berniat mahupun melakukan apa juga taktik kotor dalam menghadapi PRU13.

“Jadilah insan yang berjiwa besar dengan menerima apa juga keputusan rakyat dengan menjalani sebuah pilihanraya yang adil dan bersih.

“Jika tidak, jangan dikesali jika rakyat kemudiannya bangkit meruntuhkan rejim yang kotor dan korup ini dengan cara yang paling menghinakan,” katanya lagi.

Tiada ulasan: