HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 Mac 2012

NFC: Noh nafi tender baru tutup kelemahan kerajaan

SAPINAH AB GHANI

noh omar

KOTA BHARU - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar menafikan dakwaan bahawa tindakan memberi tender baru bagi menguruskan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) bertujuan mahu menutup kelemahan kerajaan mengadakan projek lembu daging itu.

Sebaliknya, beliau berkata, tindakan itu bertujuan meneruskan matlamat penubuhan syarikat berkenaan yang memainkan peranan penting menghasilkan sumber bekalan daging lembu negara.

“Secara dasarnya ini tuduhan tidak betul, NFC ditubuhkan kerajaan untuk kita menambah hasil pengeluaran daging lembu, sebab terlalu banyak daging lembu yang kita import dari luar bagi memenuhi permintaan negara.

“Sebenarnya bukan sahaja lembu, kita juga buat untuk kambing, sayur-sayuran dan banyak juga projek-projek yang kita buat untuk menentukan dasar agro makanan negara berjaya,” katanya kepada media pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bagi bulan Mac 2012 di Auditorium Kebudayaan dan Kesenian Negara di sini, hari ini.

Noh berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan PKR yang membantah keras tindakan kerajaan yang ingin menjemput bidaan baru dengan memilih kontraktor untuk mengambil alih operasi NFC.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dalam kenyataannya semalam berkata, tindakan mempelawa bidaan baru bertujuan untuk menutup isu itu secepat mungkin tanpa mengambil kira langkah sebelum ini, termasuk pembekuan aset dan pelantikan audit bebas.

Noh berkata, NFC adalah projek kerajaan dan ia tidak boleh terbantut.

Bagaimanapun sebarang penjelasan lebih terperinci mengenainya diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk diumumkan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Noh ketika diminta mengulas mengenai dasar subsidi padi yang didakwa mempunyai had tertentu, menolak dakwaan tersebut dan akan menjalankan siasat berhubung perkara itu.

“Bagi setiap tan padi yang dihasilkan, sebanyak RM248.10 subsidi diperuntukkan tanpa ada sebarang had tertentu,” katanya.

Menurutnya, apa yang berlaku di Kelantan tentang isu had berkenaan akan disiasat termasuk merujuk kepada Bernas.

“Bagaimana boleh ada had di Kelantan sedangkan kita menjanjikan bonus kepada petani yang berjaya menghasilkan 10 tan padi, sebagai galakan kepada mereka,” katanya.

Tiada ulasan: